Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Guardini terus cemerlang

Posted: 27 Feb 2012 01:39 PM PST

Sukan

GUARDINI menunjukkan isyarat 4 sebagai tanda dominasinya di Peringkat 4 dari Batu Pahat ke Muar, semalam.

GUARDINI menunjukkan isyarat 4 sebagai tanda dominasinya di Peringkat 4 dari Batu Pahat ke Muar, semalam.

Juarai saingan Peringkat 4, hampiri rekod 9 peringkat Graeme Brown

RAJA pecut pasukan Farnese-Vini dari Itali, Andrea Guardini melakar kejayaan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) kelapan buat dirinya, sekali gus menghampiri satu angka lagi untuk menyamai rekod kemenangan peringkat terbanyak yang dipegang pelumba Australia, Graeme Brown.

Jika Brown yang mewakili Panaria sebelum ini merakamkan sembilan kemenangan sepanjang LTdL, Guardini yang memenangi lima peringkat perlumbaan LTdL 2011, menambah tiga lagi koleksi kejuaraan apabila menjuarai Peringkat 4 dari Batu Pahat ke Muar, semalam.

Saya bukan saja datang ke sini untuk menang, tetapi juga untuk menang besar. Apapun, saya tidak meletakkan sasaran dan menempuhnya satu peringkat demi satu peringkat. Sehingga kini, pasukan kami bekerja dengan sempurna, kata pelumba 22 tahun itu.

Peringkat 4 sejauh 169.4 kilometer semalam, sekali lagi menyaksikan kehebatan henjutan Guardini apabila mendahului henjutan penamat dalam kelompok besar, diikuti pelumba United Healthcare, Jacobe Keough dan Mohd Harrif Salleh daripada Terengganu Cycling Team yang semuanya merakam 3 jam 57 minit dan 11 saat.

Pasukan saya bekerja keras pada satu kilometer terakhir, dengan bantuan pasukan Astana untuk menangkap kelompok depan (Louis Crosby, Shinichi Fukushima, Rhys Pollock, Kevin Reza) sebelum saya mula melakukan pecutan daripada 300 meter menuju penamat, katanya yang terus mengukuhkan cengkaman jersi biru Raja Pecut dengan 45 mata.

Penyarung jersi kuning masih milik David Zabriskie daripada Garmin-Barracuda, Raja Bukit (jersi merah) Floris Goesinnen (Drapac Cycling) dan pelumba terbaik Asia (jersi putih), Dmitriy Gruzdev tidak bertukar tangan sejak Peringkat 1.
Perlumbaan Peringkat 5 sejauh 190km dari Ayer Keroh, Melaka ke Pandan Indah hari ini berkemungkinan menyaksikan perubahan pemenang jersi dengan jangkaan peloton akan berpecah memandangkan tiga zon pendakian sukar di Bukit Tangga, Genting Perez dan Bukit Tinjau.

Detik getir Butler, KAFA hari ini

Posted: 27 Feb 2012 01:38 PM PST

Sukan

PETER James Butler yang menghilangkan diri selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bertindak merehatkannya daripada tugas, akhirnya mengambil keputusan pulang ke Kota Bharu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan statusnya dalam pasukan.

Dengan perkembangan terbaru itu, keputusan jurulatih dari England itu sekurang-kurangnya memberi sedikit petanda positif semua permasalahan membabitkan dirinya dengan KAFA akan diselesaikan dengan cara baik.

Saya minta maaf tapi saya mesti balik ke Kota Bharu hari ini (semalam) juga. Lepas itu, esok (hari ini) saya akan ada satu perjumpaan dengan pihak KAFA bagi membincangkan perkara ini, katanya ketika dihubungi, semalam. Pada pertemuan Butler dengan pengurus pasukan, Azman Ibrahim, 17 Februari lalu, konflik yang melanda dalam pengurusan dalaman pasukan pendahulu Liga Super itu boleh dianggap selesai selepas kedua-dua pihak dilihat mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, penyokong setia The Red Warriors sekali lagi dikejutkan apabila KAFA secara tiba-tiba merehatkan Butler daripada tugasnya ketika seluruh pasukan sedang meraikan kejayaan layak ke pusingan kedua Piala FA.

Keadaan menjadi lebih panas apabila laporan kelmarin menyebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) yang baru, Bojan Hodak menjadi calon terbaik untuk menggantikan Butler sebagai ketua jurulatih musim ini.

Namun ditanya mengenai status itu termasuk jawatannya dalam pasukan, Butler sekali lagi enggan mengulas.
Cukup... saya akan ada perjumpaan dengan KAFA esok (hari ini) dan dalam tempoh sehari dua ini saya tidak akan beri apa-apa komen, katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan