Kosmo Online - Sukan |
Posted: KOM siasat atlet, jurulatihOleh HELMI TALKAH
KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) nampaknya masih belum serik dengan kontroversi.Semalam, KOM sekali lagi mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan atlet dan jurulatih olahraga yang telah menghantar petisyen kepada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim pada 13 Februari lalu. Petisyen yang ditandatangani oleh oleh 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga meminta badan induk olahraga negara itu menyingkirkan Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim. Bagaimanapun, mereka pula yang disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin KOM dengan diketuai Setiausaha Persatuan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Padman Bhaskaran. Situasi itu nyata memeranjatkan kerana KOM sepatutnya terlebih dahulu menjalankan siasatan terhadap isi kandungan petisyen yang jelas sekali menjurus kepada Karim. Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatih 400 meter negara, Hamberi Mahat selain lima jurulatih lain terdiri daripada Mansahar Abdul Jalil, K. Jayabalan, S. Muthiah, A. Trapadi dan Ithnin Mahadi yang menghadiri soal siasat tersebut. "Apa yang kami harap adalah KOM mengambil tindakan berpandukan isi kandungan petisyen dan bukannya menjalankan siasatan terhadap atlet dan jurulatih yang membuat petisyen tersebut. "Sebab itu, kami tidak mahu soal siasat dijalankan secara berasingan, tetapi meminta untuk dijalankan secara berkumpulan yang terbahagi kepada dua iaitu atlet dan jurulatih kerana bimbang ada agenda tersembunyi. "Namun kami tetap memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan diharapkan keputusan yang bakal diperoleh nanti positif. "Kami juga berharap KOM akan turut menjalankan siasatan terhadap individu yang terbabit (Karim). Mereka kata akan jalankan siasatan, tetapi sehingga sekarang masih belum ada apa-apa lagi. "Kita tunggu dan lihat sahaja nanti. Kami mahu lihat sama ada benar-benar atau tidak ada jawantankuasa yang ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap individu yang dituduh itu," kata Hamberi selepas selesai siasatan di Bukit Jalil semalam. Selain enam jurulatih, lima atlet diketuai ratu baling tukul besi negara, Tan Song Hwa, Schezuan Ahmad Rosely (400 meter lelaki), Nurasyikin Mad Rashid (400 meter wanita), Loo Choon Sieng (jalan kaki lelaki) dan Norliana Mohd. Rusni (jalan kaki wanita) mewakili 37 atlet lain menghadiri soal siasat tersebut. Dalam pada itu, Hamberi menegaskan, tidak ada mana-mana individu yang menjadi dalang di sebalik petisyen tersebut seperti mana yang didakwa Shahidan sebelum ini. "Apa yang diperkatakan Datuk Seri Shahidan memang tidak benar sama sekali. Ini kerana, atlet dan jurulatih sendiri yang mahu membuat petisyen tersebut disebabkan sudah tidak boleh tahan dengan sikap Karim," tegas Hamberi. Sementara itu, Padman menjelaskan bahawa pihaknya akan menyediakan laporan penuh berhubung soal siasat tersebut dan akan dibentangkan kepada Shahidan. "Kami telah memperoleh maklumat yang dimahukan dan akan membuat rumusan mengenainya secepat mungkin," katanya. | |
KAFA, Butler sudah tiada jodoh Posted: KAFA, Butler sudah tiada jodohOleh KHAIRI MOHAMAD SETIAUSAHA Agung KAFA, Azman Ibrahim (kanan) berjabat tangan dengan Butler sambil diperhatikan oleh Affendi di Wisma KAFA, Kota Bharu semalam. KEMELUT yang mencengkam hubungan antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan ketua jurulatih Kelantan, Peter James Butler akhirnya terlerai. Hasil satu pertemuan selama satu jam di Wisma KAFA, Kota Bharu pagi semalam, KAFA membuat keputusan untuk melepaskan pengendali dari Halifax, England itu selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat. Menurut Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affendi Hamzah, beliau berbesar hati kerana Butler sudi meluangkan masa untuk hadir dan bertemu pihak pengurusan bagi menjernihkan segala kekeruhan yang melanda dalam skuad The Red Warriors sebelum ini. "Hasil perbincangan, kedua-dua pihak, KAFA dan Butler, secara persetujuan bersama, kontrak jurulatih berkenaan ditamatkan berkuatkuasa hari ini (semalam). "Jadi, ikatan kita telah terlerai dan kita telah tiada sebarang ikatan. Butler juga telah berpuas hati dengan apa yang dibincangkan. Ini adalah keputusan yang terbaik untuk kedua-dua pihak," kata Affendi ketika ditemui semalam. Affendi berkata, selepas kehilangan individu paling penting dalam pasukan, beliau percaya pengganti Butler akan diumumkan sedikit masa lagi oleh pihak pengurusan bagi mengelakkan persiapan The Red Warriors terjejas. Katanya, berdasarkan peraturan, KAFA perlu mendapatkan pengganti, namun buat masa ini pihaknya tidak boleh membuat sebarang pengumuman dan segalanya diserahkan kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa. "Kita sedar beberapa nama yang dikaitkan, antaranya Bojan (Hodak), Datuk M. Karathu dan Reduan Abdullah selain kita juga menerima beberapa permohonan untuk menjadi jurulatih Kelantan. "Buat masa ini, kita ada penolong jurulatih, Zahasmi (Ismail) dan Sidek Samsuddin dan juga pada masa yang sama, kita telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif Army (Bojan) yang baharu dan kita minta ketiga-tiga mereka untuk meneruskan program dan persiapan pasukan," ujarnya. Sementara itu, Butler berkata, beliau berpuas hati dengan pertemuan yang diadakan selain penamatan kontraknya dilakukan secara persetujuan bersama. "Ia suatu yang baik. Saya datang ke sini melalui pintu hadapan, sudah tentu saya juga mahu keluar melalui pintu hadapan. Saya tidak mahu ada perasaan yang tidak baik, ia merosakkan. "Saya sedih, tetapi semua yang ada di sini adalah yang terbaik. Apa yang penting kita semua berpuas hati selepas situasi ini dapat diselesaikan. Ia memori yang cukup indah buat saya di sini. "Saya harap Kelantan akan sentiasa cemerlang dan menjadi sebuah pasukan yang kuat dengan jurulatih baharu. Saya tak tahu sama ada penyokong Kelantan suka atau tidak dengan saya, tetapi saya sentiasa bersahabat dengan mereka," jelasnya. Sebagai rekod, Butler pernah mengendali Kelantan pada 2009 sebelum beliau meninggalkan The Red Warriors sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia musim tersebut. Butler dikatakan membawa diri ke Myanmar dengan menjadi pengarah kejurulatihan kelab Yangon United. Awal musim ini, Butler kembali dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan bagi menggantikan tempat Karathu. | |
Posted: Zabriske hilang statusLAPTHORNE kini pemilik baharu Jersi Kuning selepas tamat perlumbaan peringkat kelima LTdL 2012 di Pandan Indah, Kuala Lumpur semalam. JERSI Kuning kini telah bertukar milik selepas tamat perlumbaan peringkat kelima Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam. Selepas unggul selaku pendahulu keseluruhan selama empat hari berturut-turut, pelumba pasukan Garmin Barracuda, David Zabriske terpaksa menyerahkan Jersi Kuning kepada pelumba Drapac Cycling, Darren Lapthorne. Lapthorne kini muncul selaku pendahulu keseluruhan selepas berjaya menduduki tempat kedua pada perlumbaan peringkat kelima dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, Kuala Lumpur. Dia menamatkan perlumbaan di belakang pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jose Serpa yang merakamkan masa 4 jam 32 minit dan 17 saat. "Saya sebenarnya agak terkejut kerana berjaya merampas Jersi Kuning daripada David. Semua ini adalah hasil bantuan rakan sepasukan saya, Adam (Phelan). "Apabila saya mendengar bahawa David semakin jauh ketinggalan di belakang, ia memberi saya motivasi untuk terus berkayuh bagi memenangi Jersi Kuning ini," kata Lapthorne selepas perlumbaan semalam. Pelumba negara, Muhd. Adiq Hussainie Othman pula berjaya mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan sejauh 190 kilometer itu di tempat keempat. Adiq juga boleh berbangga kerana berjaya mengutip 13 mata hasil kejayaannya menduduki tempat kedua di zon pendakian Genting Perez dan tempat pertama di zon pendakian Bukit Tinjau. Pencapaian tersebut juga menyaksikan Adiq mengumpul 14 mata keseluruhan dalam persaingan Jersi Merah (Raja Bukit) untuk berada di belakang Matteo Rabottini yang mengumpul 18 mata. Sementara itu, pelumba Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini yang mencatat kemenangan hatrik dalam tiga perlumbaan sebelum ini masih lagi mempertahankan gelaran Jersi Biru (Raja Pecut) dengan kutipan 45 mata. Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik pelumba pasukan Astana, Alexandre Dyachenko yang merampas daripada rakan sepasukannya, Dmitriy Gruzdev. Pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh yang menduduki tempat ketiga pada perlumbaan keempat kelmarin, hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-94. Pelumba sensasi negara, Anuar Manan pula ditimpa malang selepas terlibat dalam kemalangan dan hanya mampu menduduki tempat ke-115 buat Champion System. Sementara itu, pelumba skuad kebangsaan Malaysia berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 20 pelumba terbaik dengan Mohd. Saufi Mat Senan di tempat ke-13, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi (15) dan Amir Mustafa Rusli (19). Peringkat keenam hari ini akan bermula dari Proton Shah Alam ke Genting Highlands sejauh 108 km dengan melibatkan dua zon pendakian (Puncak Alam - Km 24.1/ kategori 4 dan Genting - Km 108/ kategori Hors) serta tiga zon pecutan (Coalfields - Km 35, Paya Jaras - Km 43.7 dan Gombak - Km 63.3). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan