Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Cardiff bawa semangat Malaysia

Posted:

Cardiff bawa semangat Malaysia

Cardiff bawa semangat Malaysia

Daripada NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

BARISAN pemain Cardiff sudah bersedia berdepan Liverpool pada aksi final Piala Liga di Wembley malam ini.


LONDON - Cardiff City akan beraksi dengan semangat juang yang tinggi pada final Piala Liga menentang Liverpool di Stadium Wembley malam ini.

Meskipun turun selaku pasukan underdog, kelab Wales itu tidak gentar untuk berdepan skuad The Reds yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang.

Pengerusi Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee berkata, para pemain sudah berse- dia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan yang dianggap penting dalam sejarah kelab itu.

"Apa sekalipun keputusannya malam esok (malam ini), saya tetap berasa bangga. Ini kerana kejayaan Cardiff melangkah ke final sudah dianggap sebagai suatu kejayaan dan sejarah buat kelab ini.

"Bermain di Stadium Wembley adalah suatu kebanggaan buat para pemain dan penyokong Cardiff. Namun, apa yang lebih penting adalah kejayaan Cardiff juga dianggap sebagai suatu kejayaan buat rakyat Malaysia.

"Nama Malaysia akan terpampang di jersi para pemain Cardiff dan ia adalah sesuatu yang membanggakan," kata Tien Ghee kepada pemberita Malaysia di Hotel Berjaya Eden Park semalam.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan malam ini, Tien Ghee berkata, para pemain Cardiff telah berlepas ke padang latihan Chelsea di London untuk menjalani latihan ringan bagi menghadapi aksi final itu.

Katanya, meskipun menyedari cabaran getir yang bakal dihadapi, para pemain tidak menunjukkan sedikit pun perasaan takut, sekali gus berazam untuk melakar satu lagi sejarah malam ini.

"Pagi tadi (semalam), saya sempat bertemu para pemain sebelum mereka berlepas ke London. Saya lihat mereka semua bersemangat dan tidak sabar untuk menghada- pi perlawanan itu.

"Malah, status pasukan underdog langsung tidak menjejaskan persiapan mereka. Sekiranya semangat seperti ini dapat dikekal- kan sehingga perlawanan sebenar nanti, saya percaya kami mampu mencipta kejutan.

"Saya yakin para pemain Cardiff dapat menyesuaikan diri dengan suasana malam esok (malam ini) meskipun bermain di gelanggang lawan dan di depan ribuan penyokong Liverpool.

"Namun, dengan kehadiran kira-kira 32,000 orang penyokong Cardiff ke Stadium Wembley, ia sudah cukup untuk memberikan motivasi dan semangat kepada para pemain," katanya yang turut yakin Jalur Gemilang akan berki- bar di Stadium Wembley malam ini.

Memiliki rekod selaku juara kelab Eropah sebanyak lima kali, Liga Perdana England (18 kali), Piala FA dan Piala Liga (7 kali), Li- verpool yang dibimbing Kenny Dalglish diletakkan sebagai pilihan untuk menjadi juara.

Keyakinan itu semakin jelas selepas skuad The Reds dibarisi ramai pemain berstatus bintang seperti kapten Steven Gerrard, Andy Carroll, Dirk Kuyt dan penye- rang kontroversi Uruguay, Luis Suarez.

Selain itu, kehadiran semula penyerang Wales, Craig Bellamy di Anfield dianggap sebagai satu kelebihan buat Liverpool kerana bekas pemain Manchester City ini pernah dipinjamkan ke Cardiff pada musim 2010-2011.

Bagaimanapun, kemampuan Cardiff yang dibimbing Malky Mackay tidak boleh dipandang rendah kerana ketika ini semangat para pemainnya berada di puncak.

Selain memburu slot ke kempen Liga Perdana England musim depan, kelab Liga Kejuaraan itu turut berazam untuk menamatkan kemarau trofi selepas kali terakhir menjuarai Piala FA pada 1927.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah dalam kempen Piala Liga pada 31 Oktober 2007 yang berkesudahan Liverpool menang 2-1, sekali gus mara ke pusingan kelima.

Ia juga adalah kali kelima Cardiff beraksi di Stadium Wembley selepas kali terakhir pada final playoff Liga Kejuaraan 2010 menentang Blackpool.

Hafiz dalam senarai terawal BAM

Posted:

Hafiz dalam senarai terawal BAM

Hafiz dalam senarai terawal BAM

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


HAFIZ diberi kepercayaan oleh BAM bagi membawa cabaran Malaysia pada Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan.


JUARA Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim antara pemain yang terawal yang disahkan akan beraksi pada pusingan akhir kejohanan badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai berkata, selain Hafiz, jaguh negara yang juga pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei turut tersenarai.

Beregu handalan, Koo Kien Keat- Tan Boon Heong juga berada dalam senarai BAM bagi menggalas cabaran skuad negara di Wuhan nanti.

"Majoriti pemain yang beraksi pada kempen kelayakan Piala Thomas 2012 baru-baru ini mungkin akan disenaraikan tetapi Hafiz yang terawal disenaraikan.

"Prestasi Hafiz semakin baik dan kita harap dia mampu melakukan yang lebih baik pada pusingan akhir Piala Thomas nanti," kata Chin Chai pada sidang media di Bukit Kiara semalam.

Menurut Chin Chai, BAM juga mahu Hafiz menghadiri latihan lebih awal sebaik sahaja berakhirnya kejohanan Seluruh England bulan depan.

"Ia bagi membolehkan semua pemain negara yang dipilih nanti bersedia untuk menghadapi pusi- ngan akhir Piala Thomas nanti," jelasnya.

Sementara itu, keputusan untuk menggunakan khidmat juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli pada kempen Piala Thomas 2012 masih belum diputuskan lagi.

Meskipun BAM mahu menyena- raikan pemain senior pada saingan di Wuhan nanti, namun Chin Chai memberitahu, peluang untuk Zulfadli masih lagi terbuka dan segala- galanya bergantung kepada prestasi pemain muda itu.

Ketika ini, Zulfadli diberitakan mengalami kecederan di bahagian lutut kanan sehingga menyebabkan dia tersingkir pada aksi suku akhir Terbuka Selangor 2012 semalam.

Malah Zulfadli juga terpaksa menarik diri pada Grand Prix Emas Terbuka Jerman yang akan bermula 28 Februari ini akibat kece- deraan yang dialami.

Chin Chai turut berkata, pemain yang akan disenaraikan bagi menyertai Piala Axiata juga masih belum disahkan lagi.

"Pemilihan pemain akan diputus- kan pada Mesyuarat Majlis BAM, Selasa ini dan hanya pemain terbaik sahaja akan dipilih untuk mengisi kekosongan dua pasukan tersebut.

"Kami akan menggandingkan pemain remaja dan senior dalam setiap pasukan. Malah, kejohanan itu juga akan dijadikan sebagai sebahagian daripada program latihan Piala Thomas," jelasnya.

Gagal tahan sebak

Posted:

Gagal tahan sebak

Gagal tahan sebak


HARRIF ditenangkan ibunya, Esah Abdullah selepas tamat peringkat kedua LTDL 2012 di Melaka semalam.


PERLUMBAAN peringkat kedua kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam serba tidak menjadi bagi pelumba Terengganu Pro Asia (TSG) Mohd. Harrif Salleh.

Pada saingan yang bermula dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151 kilometer itu, Harrif masih gagal mempamerkan kayuhan cemerlangnya apabila hanya mampu menamatkan cabaran di tempat ke-16 dalam kelompok besar pelumba hadapan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu jelas sekali gagal menyembunyikan perasaan kecewanya meskipun ditenteramkan oleh ibunya, Esah Abdullah sebaik sahaja tamat perlumbaan semalam.

"Saya rasa amat kecewa sekali pada perlumbaan hari ini (semalam). Saya tidak tahu kenapa semua strategi saya serba tidak menjadi.

"Saingan hari ini (semalm) sangat sukar dan sasaran saya untuk mengutip mata di zon pecutan juga tidak berjaya.

"Malah, saya juga cepat berasa letih hari ini selepas terpaksa mengejar peloton hadapan yang melakukan breakaway lebih awal di Kilometer 30.

"Pelumba Astana juga banyak mengawal perlumbaan. Meskipun di laluan yang sempit, mereka tetap cuba menguasainya, sekali gus menyebabkan saya tiada peluang untuk meloloskan diri," kata Har- rif selepas tamat perlumbaan semalam.

Sementara itu, strategi skuad kebangsaan Malaysia pula lebih banyak menyaksikan pelumba pecut mereka mengerah segala keringat sepanjang saingan dengan pelumba pendaki hanya melakukan henjutan pada saat-saat akhir perlumbaan.

Strategi tersebut adalah idea jurulatihnya, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan yang menggunakan kudrat pelumba pecut seperti Suhardi Hassan, Ahmad Fallanie Ali dan Mohd. Nur Rizuan Zainal untuk mengutip mata di zon pecutan.

"Saya rasa, prestasi mereka sangat baik dan saya masih berpuas hati dengan kesungguhan yang mereka tunjukkan.

"Pada perjumpaan semalam (kelmarin), saya telah menasihatkan mereka agar memberi ruang kepada pelumba pecut, manakala Amir Mustafa Rusli, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi dan Mohd. Rauf Nur Misbah perlu menyimpan tenaga secukupnya pada laluan yang lebih berbukit," kata- nya.

Pencapaian terbaik pelumba skuad kebangsaan Malaysia hadir menerusi Amir Mustafa yang menamatkan saingan di tempat ke-57, diikuti Suhardi (58), Rauf (65), Fauzan (77), Rizuan (84) dan Fallanie (102).

Bagaimanapun, lebih mencuri tumpuan pada saingan kali ini ialah Nor Rizuan yang ber- jaya meraih lima mata selepas muncul sebagai pelumba ketiga tiba di zon pecutan pertama di Salak Tinggi dan mengulanginya sekali lagi di zon pecutan kedua di Port Dickson, manakala di zon pecutan ketiga di Masjid Tanah, dia menduduki tempat keempat terpantas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan