Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Inspektor antara 9 dicekup kes culik anak jutawan

Posted: 01 Apr 2012 10:32 AM PDT

SHAH ALAM: Seorang anggota polis Bukit Aman berpangkat Inspektor digantung tugas antara sembilan suspek ditahan berikutan dipercayai terbabit dalam kes culik anak lelaki jutawan kontraktor syarikat pembinaan membabitkan jumlah tebusan RM1.5 juta.

Dalam kes penculikan berkenaan pada 22 Mac lalu itu, mangsa berusia 34 tahun dapat diselamatkan sepasukan polis kelmarin, tanpa cedera walaupun rumah tempat mangsa dikurung di satu kawasan di Rawang, dekat sini dikawal rapi kumpulan penculik. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengarah projek berseorangan dalam perjalanan ke tapak pembinaan perindustrian Seri Kembangan, Serdang sebelum dipintas sebuah kereta dinaiki empat lelaki.


"Mangsa membantu ayahnya berusia 60 tahun yang juga pengarah urusan.

"Kejadian culik itu berlaku 22 Mac lalu ketika mangsa berseorangan memandu kereta dalam perjalanan ke tapak pembinaan di kawasan perindustrian Seri Kembangan sebelum dipintas kereta dinaiki empat suspek lelaki sebelum menculiknya.


"Kumpulan penculik terbabit meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta daripada keluarga mangsa," katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam. Mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata itu kemudian dibawa dan dikurung di sebuah rumah di kawasan Rawang.


Keluarga mangsa meletakkan beg berisi wang tunai RM300,000 ditinggalkan di satu tempat Jumaat lalu, sebelum polis melaksanakan beberapa serbuan berasingan sekitar Lembah Klang dan menahan sembilan suspek lelaki berusia antara 26 hingga 48 tahun, kelmarin.




Bertam Ulu FC garang

Posted: 01 Apr 2012 10:20 AM PDT

PASUKAN Bertam Ulu FC terus membuktikan keunggulan mereka apabila muncul juara Terbuka Lelaki pada Karnival Futsal Harian Metro Zon Tengah di Sports Planet Ampang, semalam.

Kemenangan itu bermakna, Bertam Ulu mengesahkan status mereka selaku 'raja' karnival ini selepas pernah muncul juara untuk tiga peringkat zon serta dua Grand Final iaitu pada edisi 2007 serta 2010.


Pada aksi final semalam, pasukan dari Melaka itu menundukkan Court Soccer B 3-0 untuk membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala Court Soccer B terpaksa berpuashati sebagai naib juara sekali gus membolot wang bernilai RM3,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik Dani A yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.


Pengurus pasukan Bertam Ulu, Sani Abdul Rahman berkata, pasukannya sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara sekali gus menambah koleksi kemenangan mereka sebelum ini.


"Sebagai pengurus memang saya amat berpuas hati dengan aksi mereka kerana mencapai sasaran yang ditetapkan. Tapi apa yang lebih penting ialah kami sudah berjaya menempah tiket ke saingan Grand Final," katanya.

Jelas Sani, kemenangan semalam juga dapat mengubat kekecewaan mereka musim lalu selepas gagal mempertahankan gelaran juara terkeseluruhan apabila kandas pada saingan awal di Grand Final.


"Tahun lalu kami berdepan beberapa masalah, antaranya ada pemain kami yang bermain untuk pasukan Malaysia. Jadi ketika itu, persiapan kami agak kelam-kabut sedikit.

"Tapi sebaik semua dapat kembali sebagai satu pasukan musim ini, kami akhirnya dapat menemui rentak sebenar dan hari ini (semalam) menjadi juara.


"Untuk saingan Grand Final nanti, kami akan cuba melakukan yang terbaik. Kalau boleh cuba ke saingan final dan memenangi aksi Grand Final buat kali ketiga," katanya.


Selain Bertam Ulu, Court Soccer B dan Dani A, lima lagi pasukan yang mengesahkan tempat ke Grand Final ialah Royale NR FC B, De Stadium YT B, Pemuda Medan Batu Caves, TMFT dan Glory A.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan