Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Usah berani impi emas’

Posted: 02 May 2012 09:31 AM PDT

"KALAU itulah aksi yang diketengahkan, usah mimpi untuk merangkul emas pada Sukan Olimpik nanti," itulah peringatan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah kepada pasangan beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Beliau merujuk kepada aksi Kien Keat-Boon Heong pada kejohanan Terbuka India yang berakhir baru-baru ini apabila sekadar mampu ke saingan separuh akhir sebelum tewas di tangan beregu Indonesia, Angga Pratama/Ryan Agung Saputra 21-18, 15-21, 21-19.


Justeru, Tengku Kamil Ismail mengarahkan Kien Keat-Boon Heong supaya melakukan 'post mortem' bagi memastikan pingat emas menjadi milik negara pada temasya Olimpik yang dijadualkan berlangsung Julai nanti.

Menurutnya, perkara itu bukanlah mustahil jika Kien Keat-Boon Heong berusaha kembali ke landasan terbaik seperti yang pernah dilihat sebelum ini.


"Sebagai pasangan yang pernah mencipta banyak kejayaan di pentas antarabangsa, mereka harus segera membentuk persefahaman mantap dan mempamerkan prestasi lebih bertenaga jika mahu meraih emas di London.


"Namun, jika prestasi semasa yang mereka pamerkan nanti, impian mencipta gelaran di pentas Olimpik pasti kabur. Emas jauh sekali begitu juga perak atau gangsa.

"Saya harap kegagalan di Terbuka India akan memberi pengajaran kepada dua pemain itu untuk kembali berusaha menjadi yang terbaik terutama ketika Olimpik hanya berbaki kurang tiga bulan lagi," katanya semalam.


Pada masa sama, Tengku Kamil Ismail berkata, temasya Sukan Olimpik London itu juga mungkin menjadi medan terakhir buat beregu berkenaan memandangkan usia mereka yang semakin meningkat.

Menurutnya, sudah tiba masanya Kien Keat-Boon Heong mencari kaedah terbaik untuk muncul atlet disegani pada temasya sukan terbesar itu.


"Oleh itu, saya harap mereka bijak memanfaatkan segala peluang yang ada dan mencatat keputusan membanggakan buat kontinjen negara," katanya.


Tekad cipta sejarah

Posted: 02 May 2012 09:28 AM PDT

SEJARAH yang dicipta menjadi kelab pertama beraksi di pentas final mahu dilengkapkan dengan menjulang Piala FA pada final di Stadium Shah Alam, 19 Mei ini.

Itu tekad yang ditanam 'pembunuh gergasi' Piala FA musim ini, Sime Darby FC selepas gah menyingkirkan juara bertahan, Terengganu menerusi agregat 2-1 bagi menempah tiket menentang Kelantan yang menewaskan Kedah dalam satu lagi saingan separuh akhir malam kelmarin.


"Memang bangga apabila mencipta sejarah dalam kancah bola sepak negara namun saya mahu melengkapkan sejarah ini dengan mendakap Piala FA walaupun sedar Kelantan bukanlah sebuah pasukan yang mudah ditumbangkan. "Tempoh masa yang tinggal saya perlu gunakan sebaik mungkin bagi merangka persediaan terbaik menentang Kelantan yang mempunyai barisan pemain yang sudah beberapa kali merasai aksi di pentas final. Tanpa persediaan yang rapi, pasti kami akan dibelasah lawan," kata jurulatihnya, Ismail Zakaria.

Keyakinan Ismail turut ditambah dengan kehadiran semula penggempur berbisanya dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh serta Mohd Irme Mat yang tidak dapat diturunkan ketika separuh akhir kedua kerana penggantungan satu perlawanan.


"Dua pemain ini pasti akan menambahkan kekuatan pasukan. Lebih menggembirakan tiada pemain saya yang mengalami kecederaan sekali gus membolehkan barisan terbaik digunakan," katanya.


Namun sebelum turun ke pentas final Piala FA, Sime Darby FC yang kini berada di tempat ketiga Liga Perdana akan mengharungi dua perlawanan sukar menentang ATM (tempat pertama) dan Pahang (tempat kedua) selain Perlis bagi meneruskan saingan merebut tiket ke Liga Super musim depan.

Kejutan Sime Darby FC dalam Piala FA bermula pada pusingan pertama apabila menewaskan Sabah diikuti USM FC (pusingan kedua), Johor FC (suku akhir) dan kejutan terbesar apabila menyingkirkan juara bertahan, Terengganu.


Seandainya berjaya mengejutkan Kelantan di pentas final nanti, Sime Darby FC bukan saja menjadi kelab pertama bergelar juara dengan menjulang piala 'baru', malah mereka turut mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi dengan meraih tiket ke saingan Piala AFC 2013.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan