Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Bryan, Huang serasi

Posted: 06 May 2012 09:57 AM PDT

JAGUH terjun negara, Bryan Nickson Lomas dan rakan segandingan, Huang Qiang, menepati ramalan apabila merangkul pingat emas pada sirkit kedua, Grand Prix Terjun Fina di Montreal, Kanada, awal pagi semalam.

Bryan dan Huang Qiang mengutip catatan 431.10 mata untuk acara 3m papan anjal seirama, mengenepikan tuan rumah Reuben Ross-Alexandre Despatie (419.58), di tangga kedua dan Rommel Pacheco-Jonathan Rovalcabab dari Mexico, 388.71, ketiga.


Kejayaan itu sekali gus membuktikan Bryan dan Huang sememangnya serasi, meskipun keduanya baru saja digandingkan ketika mencipta kejutan meraih pingat gangsa di Piala Dunia FINA di London, Mac lalu.

Tanpa penyertaan juara dunia dari China, Chen Roulin dan Hu Yadan, ratu terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee, sekadar berada di tangga kelima dengan catatan 301.32 mata dalam acara kegemaran 10m paltform seirama.


Namun, ketiadaan dua bintang China itu, tidak dipersiakan tuan rumah, Kanada, apabila mendominasi kedudukan satu dan dua, acara 10m platform seirama, menerusi wakilnya Meaghan Benfeito-Roseline Filion, 327.96 dan pasangan adik beradik, Carol Ann-Pamela Ware, 326.28. Tangga ketiga dimenangi Australia, Loudy Wiggins-Rachel Bugg, 316.86. China, menerusi wakilnya, Li Kang-Sheng Yi, akur ditundukkan di tangga keempat, dengan catatan 315.18 mata.


Meskipun tidak begitu menyerlah dalam acara individu, negara masih boleh berbangga dengan kemaraan Huang Qiang (3m papan anjal lelaki), Bryan (10m platform individu lelaki), Pandelela (10m platform wanita) dan Cheong Jun Hoong, 3m papan anjal wanita yang layak ke final, kelmarin.

Kejayaan mereka sekali gus melakar sejarah Malaysia yang kali pertama mempunyai wakil dalam kesemua empat acara individu dalam saingan GP.


Bagaimanapun, Bryan dan Jun Hoong sekadar berada di tangga keenam dengan catatan 390.75 dan 275.00 mata di final acara masing-masing.

Huang Qiang menduduki tempat ketiga dengan catatan 424.85 mata pada separuh akhir A bersama Pandelela yang tamat saingan separuh akhir B di tangga ketiga selepas mengumpul 343.50 mata. Final kedua-dua acara ini berlangsung jam 10 malam waktu tempatan semalam dan dijangka tamat, awal pagi ini.




Peluang pertama Kaito

Posted: 06 May 2012 09:52 AM PDT

PASUKAN Pachie Yuzy Honda Racing menyenaraikan pelumba muda Jepun, Kaito Toba bagi mengharungi musim kedua di pentas Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) yang membuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 hingga 13 Mei ini.

Pelumba berusia 11 tahun itu akan beraksi atas tiket wildcard dan bakal bergandingan bersama Mohd Amirul Ariff Musa dan Mohd Rozaliman Zakaria yang juga kali pertama bersama pasukan ini di pentas antarabangsa.


Ini bukan kali pertama pasukan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini membimbing pelumba muda Jepun kerana musim lalu, abang Kaito, Ren Toba turut membuat penampilan bersama pasukan berpangkalan di Malaysia ini pada pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Malah, kedua-duanya turut hadir menyertai sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, April lalu. Shahrol Yuzy menjelaskan pada peringkat awal Ren yang akan membawa cabaran mereka pada pusingan pembukaan ARRC di Sepang namun terpaksa menyerahkan kepada adiknya memandangkan dia perlu beraksi di pusingan ketiga MFJ All Japan Championship dalam kategori J-GP3 (Moto3) di Litar Tsukuba yang turut berlangsung pada tarikh sama. Namun, Shahrol Yuzy berpendapat pertukaran ini tidak memberikan masalah memandangkan Kaito telah membuktikan kemampuan setanding abangnya.


"Walaupun Kaito lebih muda, dia mempamerkan kemahiran dan kualiti setanding abangnya dan menjadikannya calon pengganti terbaik.


"Tambahan pula, Kaito masih belum didedahkan dengan jentera perlumbaan berkuasa tinggi dan ini membolehkan dia memahami jentera Underbone dengan mudah," kata Shahrol Yuzy.

"Namun, Kaito hanya akan berlumba di Sepang sahaja. Selepas kami menilai kemampuan dan prestasinya minggu ini, kami akan mengadakan perbincangan lanjut tentang peluang untuk mengikuti perlumbaan pusingan berikutnya." Menjawab objektif memperkenalkan pelumba Jepun, Shahrol Yuzy menjelaskan antara sebabnya ramai pelumba Jepun yang beranggapan perlumbaan Underbone ini cukup menarik dan unik.


Ada juga yang menganggap ia landasan terbaik untuk pelumba muda memahami dan membiasakan diri dengan perlumbaan kompetitif sebelum beralih ke peringkat lebih tinggi. "Selain itu juga, saingan pasti lebih menarik dan mencabar apabila negara lain juga sudah mula beraksi dalam acara yang didominasi pelumba Malaysia dan Indonesia saja selama ini," kata Shahrol Yuzy lagi.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan