Kosmo Online - Sukan |
Posted: Satu mata cukup buat KelantanOleh KHAIRI MOHAMAD
KELANTAN hanya perlu mengutip satu mata sahaja apabila turun menentang Ayeyawady United dari Myanmar di Kota Bharu malam ini untuk melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Bagaimanapun, pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak tidak mahu anak-anak buahnya sekadar turun untuk mencari satu mata tersebut, sebaliknya mahu terus mempamerkan aksi sebenar pasukan. "Kita akan cuba menang dalam semua perlawanan. Satu mata sepatutnya sudah mencukupi tetapi saya fikir jika anda bermain untuk seri mungkin anda akan tewas. Sudah tentu kita bermain untuk menang malam esok (malam ini). "Kita sudah beraksi dalam 16 perlawanan dan hanya tewas sekali. Kita berada dalam momentum yang sangat baik ketika ini, satu lagi kemenangan malam esok (malam ini) mungkin menjadikan kita lebih baik," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar semalam. Mengulas mengenai persediaan pasukan Kelantan, Bojan berkata, ia tidak berjalan dengan begitu lancar apabila sesi latihan kelmarin terganggu ekoran hujan lebat selain faktor keletihan ekoran jadual mereka yang agak padat. "Menentang Lions XII tempoh hari kita sudah memberikan segala-galanya dan perlawanan malam esok (malam ini) juga memerlukan kita memberikan yang terbaik sekali lagi," ujarnya. Katanya, fokus Kelantan kini adalah untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super dan perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby FC pada 19 Mei ini dan tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk Piala AFC "Mungkin kalau boleh saya katakan, pada dasarnya sasaran kita adalah Liga Super dan Piala FA. AFC bukan sasaran utama kerana kita menyertainya untuk mencari pengalaman, namun kita sudah berada di sini dan kita akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk terus meraih kemenangan," jelasnya. Kelantan kini sedang menerajui Kumpulan H dengan mengumpul 10 mata sambil diekori Navibank Saigon dan Ayeyawady United yang berkongsi tujuh mata, manakala Arema FC di tangga tercorot dengan empat mata. Sementara itu, jurulatih Ayeyawady United, Josef Harel ternyata sudah dapat menggambarkan tentangan sengit yang bakal diterima pasukannya terutama Kelantan yang bakal disokong oleh puluhan ribu peminat mereka. "Ia pastinya perlawanan yang sengit. Peluang kita di dalam Piala AFC ini cukup sempit tetapi kita bernasib baik kerana berjaya mendapat tujuh mata. Kita akan tengok apa yang berlaku malam esok (malam ini). "Setiap perlawanan berbeza. Di Myanmar tempoh hari kita juga tidak menang dengan mudah. "Kelantan adalah sebuah pasukan yang bagus kerana mereka mempunyai pemain yang berpengalaman tetapi kita akan cuba mendapatkan keputusan yang baik kali ini," katanya. | ||
Posted: Mat Zan pilih letak jawatanOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
TEKA-TEKI berkenaan masa depan Mat Zan Mat Aris bersama Terengganu akhirnya terjawab apabila ketua jurulatih Skuad Penyu itu mengambil keputusan untuk meletak jawatan semalam. Ia berkuat kuasa 1 Jun depan. Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan bekas jurulatih Pos Malaysia itu. Terdahulu, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir Piala FA. Selepas Mat Zan direhatkan, penolongnya, Mohd. Khalid Dahan dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih. Mengulas lebih lanjut, Che Mat berkata, keputusan itu diambil atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut. "PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini. "Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas kegagalan layak ke final Piala FA. "Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebelum berlepas ke Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. Tambah Che Mat, kini terdapat beberapa individu yang berminat untuk membimbing skuad Terengganu. Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat. "Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu. "Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari Korea Selatan dan juga Singapura. "Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu. "Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya. | ||
Posted: Gergasi Merah buru kemenanganOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI JURULATIH Selangor, Ifran Bakti Abu Salim tampil dengan nada positif dan yakin bahawa skuad Gergasi Merah itu mampu meraih kemenangan pada aksi menentang Negeri Sembilan pada aksi Liga Super pada malam ini. Beraksi di Stadium Shah Alam, Irfan percaya kelebihan beraksi di laman sendiri bakal memberikan kelebihan kepada skuad kendaliannya itu untuk melakar kemenangan. Sekiranya Selangor berjaya mendapatkan tiga mata berharga ketika menentang skuad kendalian Azraai Khor Abdullah itu, harapan untuk menduduki tiga tangga teratas liga kembali cerah. "Sebenarnya kami belum tewas lagi selepas kali terakhir tewas kepada Kedah 0-1 pada 3 Mac lalu. "Cuma kami hanya seri dan menang pada dua perlawanan terakhir. Mungkin kami kurang konsisten tetapi kami tekad untuk memburu kemenangan pada perlawanan malam esok (malami ini). "Selain itu, saya percaya kami masih mampu memperbaiki kedudukan liga dengan sekurang-kurangnya menduduki tangga tiga teratas liga musim ini. "Justeru, kami akan berjuang hingga ke wisel penamat. Apa yang kami pasti adalah kami akan memberikan segalanya untuk melakarkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Irfan menambah, mereka tetap akan waspada dengan ancaman Negeri Sembilan dan menyeru barisan pemainnya tidak menyerah mudah terhadap ancaman lawan. "Skuad Negeri Sembilan pada tahun ini mempunyai kekuatan tersendiri kerana membariskan pemain-pemain yang berbakat dan berpengalaman," katanya. "Saya tidak mahu pemain-pemain Selangor terlalu yakin menghadapi perlawanan ini kerana ia hanya akan mengundang padah," tegas beliau. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan