Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Sudah terbukti

Posted: 14 May 2012 11:12 AM PDT

"KEJAYAAN ini sebagai bukti kepada mereka yang tidak yakin dan percaya kemampuan skuad negara sebelum ini serta sering melabelkan kami pasukan kelas dua."

Demikian luahan pengendali skuad hoki remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas menyaksikan anak buahnya mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Hoki Remaja Asia buat kali pertama selepas menewaskan Pakistan kelmarin, sekali gus memecah badi 20 tahun dengan kali terakhir mara ke final pada 1992.


Bukan mahu melepaskan geram, sebaliknya bagi Muhammad Dharma, cukuplah tanggapan negatif ramai pihak terhadap skuad negara selama ini yang sering dilabel sebagai pasukan yang sering mencipta kegagalan dan untuk itu, kejayaan kedua yang dilakar kelmarin selepas muncul juara Piala Sultan Johor, diharap dapat mengubah persepsi semua pihak.

"Sejak diberi tanggungjawab memikul tugas sebagai jurulatih pada 2009, saya bertekad mahu mengubah tanggapan negatif ini dan buruan pertama saya adalah menjadikan pasukan ini sebagai kuasa baru di rantau Asia.


"Selepas ini kita akan cuba meletakkan pasukan ini di kelas dunia pula, terutama pada kempen kelayakan Sukan Olimpik 2016 apabila sebahagian besar pemain sekarang bakal beraksi pada saingan itu nanti," katanya.


Muhammad Dharma berkata, kejayaan kelmarin juga adalah 'hasil terbesar' yang diraih skuad ini sejak ditubuhkan pada 2009 menerusi perancangan teliti Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), dulunya dikenali Persekutuan Hoki Malaysia (PHM).

"Jika anda tanya saya sama ada penubuhan pasukan ini berbaloi, saya akui memang ya. Setiap pasukan yang ditubuhkan sebelum ini memang melalui proses sama.


"Cuma pasukan kendalian saya berbeza kerana sejak hari pertama, saya sudah menerapkan disiplin tinggi, latihan keras dan tidak mahu mereka melupakan matlamat asal penubuhan pasukan ini," katanya.

Selain mencipta sejarah, skuad negara juga layak beraksi pada Piala Dunia Remaja di New Dehli, India tahun depan.


Kejayaan skuad remaja negara kelmarin sedikit sebanyak menutup rekod hambar skuad hoki negara selepas pasukan senior gagal pada misi kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland, Mac lalu yang menyaksikan mereka menerima kritikan hebat selepas itu.


Kegagalan anak buah Tai Beng Hai itu juga gagal ditebus skuad hoki wanita negara yang turut kandas pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Kakamigahara, Jepun.




Butler sah latih Penyu

Posted: 14 May 2012 11:07 AM PDT

KEHADIRAN Peter Butler menduduki kerusi panas Terengganu bukan lagi spekulasi apabila jurulatih berasal dari Halifax, England itu disahkan mengisi tempat dikosongkan pengendali sebelum ini, Mat Zan Mat Aris.

Pengesahan itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dalam sidang media dan majlis menandatangani kontrak di pejabatnya semalam bagi menamatkan teka-teki sebelum ini mengenai siapa bakal menjadi ketua jurulatih selepas Mat Zan yang pernah dijulang wira pada 2001 apabila membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama, melepaskan jawatan selepas lima bulan mengemudi Penyu.


Che Mat berkata, jurulatih berusia 46 tahun itu yang juga bekas pemain pertahanan kelab West Ham United memulakan tugas pertamanya pada 1 Jun selama 18 bulan dan dibantu penolong jurulatih, Khalid Mohd Dahan.

"Saya harap Butler berjaya meningkatkan lagi prestasi kami dalam misi mengejar pendahulu liga serta melayakkan diri ke final Piala Malaysia selepas gagal mempertahankan Piala FA, " katanya.


yang turut mengesahkan kontrak bekas jurulatih pasukan Liga Super Indonesia, Persiba Balikpapan itu akan diikat hingga 30 November 2013.


Sebelum memilih Terengganu, Butler pernah mengemudi Kelantan pada 2009 namun mengubah haluan apabila berhijrah ke Myanmar bagi membimbing kelab Yangoon United FC sebagai Pengarah Teknikal.

Selepas setahun bersama kelab itu, jurulatih yang fasih berbahasa Melayu itu memilih kelab BEC Tero Sasana dalam saingan Liga Super Thailand sebelum sekali lagi membimbing Kelantan bermula Januari lalu, namun kontraknya ditamatkan akhir Mac lalu gara-gara kritikan pedas terhadap persatuan bola sepak negeri itu.


Dalam sidang media itu, Butler menaruh harapan Terengganu kembali bangkit mencipta kemenangan dengan mengharapkan peminat memberikan sokongan padu kepadanya dan pemain.

"Saya akan berusaha memastikan Penyu berada pada prestasi sebenar dan sedikit perubahan perlu dilakukan daripada segi taktikal dan strategi.


"Yang penting pemain memberi fokus dan menunjukkan disiplin serta semangat juang yang tinggi," katanya.


Mengenai kedudukan Mat Zan, Che Mat berkata, secara rasminya PBSNT membuat keputusan melanjutkan tempoh rehat bekas pengendali itu hingga 31 Mei ini.


Sementara itu, Mat Zan ketika dihubungi berkata, dia tidak mendapat sebarang maklumat berhubung permintaan tuntutan gajinya serta tempoh rehat dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.


"Apa pun, saya harap PBSNT memenuhi permintaan berhubung soal gaji itu," katanya.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan