Kosmo Online - Sukan |
T-Team hampir hilang tiga mata Posted: T-Team hampir hilang tiga mataOleh
MESKIPUN dipaksa berhempas pulas, T-Team berjaya mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan pasukan tercorot Liga Super, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. Skuad kendalian Yunus Aliff itu berjaya memperoleh gol seawal minit pertama menerusi pemain import, Marco Tulio. Namun, kealpaan pemain tuan rumah memberi ruang kepada Kuala Lumpur untuk bangkit, sekali gus memperkemaskan rentak permainan. Penyerang Kuala Lumpur, Muhd. Afiq Azmi menghukum benteng pertahanan T-Team menerusi larian pantas untuk mengikat kedudukan pada minit ke-23 dengan menumpaskan penjaga gawang, Mohd. Iqbal. Bagaimanapun, pada minit ke-75, Norfazly Alias berjaya mengatasi perangkap ofsaid pemain pertahanan Kuala Lumpur dengan menanduk masuk bola ke gawang. Yunus memberitahu, pemain-pemain kelihatan tertekan apabila pasukan pelawat mendapat gol semangat, sekali gus menyebabkan mereka hilang tumpuan di atas padang. "Saya sudah mengingatkan para pemain agar tidak terlalu 'santai' dalam permainan kerana ia akan memberi peluang kepada pihak lawan untuk memperoleh gol terutama apabila kami mendahului seawal minit pertama. "Apabila Kuala Lumpur menyamakan kedudukan, kita sudah hilang arah dan tidak bermain mengikut strategi yang diterapkan. Mujur ada Rosdi Talib dan Tulio untuk membantu menggerakkan semula permainan pasukan," katanya. Yunus berkata, para pemain perlu bangkit dan meningkatkan keyakinan diri apabila bertandang ke Sabah malam esok. "Sabah bukan calang-calang pasukan dan sejarah telah membuktikan bahawa kami sukar untuk meraih kemenangan apabila bertandang ke sana (Stadium Likas). "Saya akan merangka strategi sebaik mungkin kerana kita berdepan kemelut kecederaan pemain-pemain. Mereka perlu bersedia dalam mengharungi perlawanan ketika menentang Sabah," ujarnya. Yunus memberitahu, dia berharap penyerang akan mengambil peluang yang diperoleh apabila berdepan gawang lawan. Katanya, dia masih bersyukur kerana T-Team berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang Kuala Lumpur. | |
Posted: Penantian berakhirOleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN PARA pemain negara menamatkan penantian selama 20 tahun apabila menewaskan Pakistan 2-1 pada final Hoki Piala Remaja Lelaki Asia ke-7 di Stadium MBMB, Bukit Serindit, Melaka semalam. DENDAM selama 20 tahun skuad hoki negara kepada Pakistan berakhir malam semalam. Pada aksi final di Stadium MBMB, Bukit Serindit, Melaka itu, skuad negara menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan Pakistan 2-1, sekali gus menjuarai Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Asia ke-7. Sorakan kira-kira 7,000 menyuntik semangat para pemain muda negara apabila memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang diambil Faizal Saari. Terkejut dengan dengan jaringan itu, Pakistan kemudian melakukan asakan bertali arus bagi mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, dalam kerancakan mencari gol penyamaan, gawang Pakistan yang dikawal Abbas Mazhar sekali lagi dibolosi menerusi Mohamad Syamim Mohd. Yusof pada minit ke-17. Kerja keras Pakistan untuk merobek gawang skuad negara pada minit-minit terakhir babak pertama menerusi pukulan sulung penalti juga tidak berhasil. Namun, Pakistan mencipta suasana cemas seawal babak kedua permainan sebelum berjaya membolosi gawang Malaysia pada minit ke-41 menerusi Irfan Muhammad. Tiga minit sebelum perlawanan tamat, berlaku sedikit kekecohan apabila pemain Pakistan, Khalid Muhammad terpukul pemain negara, Mohamad Syamim. Insiden itu telah menyebabkan permainan dihentikan seketika selepas berlaku pertelingkahan antara kedua-dua pasukan. Kemenangan memihak kepada Malaysia, sekali gus mengakhiri penantian selama 20 tahun. Turut menyaksikan perlawanan itu ialah Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Sultan Azlan Shah, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Sementara itu, India menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Korea 2-1 pada aksi penentuan tempat ketiga yang berlarutan ke masa tambahan. Pemain India, Akashdeep Singh muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan setelah 10 minit beraksi di masa tambahan. Gol pertama India, dijaringkan Pulyanda Lokesh Thimmanna pada minit ke-54 manakala Korea menjaringkan gol penyamaan menerusi You Seungju. | |
Posted: TSG dominasi J1M 2012Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH BARISAN pelumba TSG bergambar selepas menguasai perlumbaan peringkat terakhir J1M 2012 dari Ipoh ke Dataran Merdeka semalam. TERENGGANU Cycling Team (TSG) menutup tirai Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2012 dengan bergaya apabila mendominasi tiga tempat teratas pada perlumbaan peringkat keenam dari Ipoh, Perak ke Dataran Merdeka petang semalam. Pada saingan sejauh 199.5 kilometer itu, tiga pelumba TSG, Shinichi Fukushima muncul juara selepas mencatat masa 4 jam 24 minit dan 31 saat diikuti gandingan dua beradik, Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan masa lapan saat. Kejayaan itu merupakan yang kedua buat Fukushima selepas pelumba Jepun itu turut menjadi juara pembuka tirai J1M 2012 dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar, Selasa lepas, sekali gus menghadiahkan kejayaan kelima buat TSG dalam enam peringkat saingan. Sebelum ini, Mohd. Shahrul Mat Amin menjuarai perlumbaan peringkat ketiga (Kulim-Felda Chuping) sebelum Harrif menjuarai peringkat keempat (Kangar-Sungai Petani) dan kelima (Sungai Petani-Ipoh). "Sudah tentu saya gembira kerana berjaya muncul juara pada peringkat pembuka dan penutup J1M 2012 ini," kata Fukushima pada sidang akhbar semalam. "Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak bekerja keras membantu saya sepanjang perlumbaan ini. "Selepas gagal mempertahankan Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) pada peringkat kedua, kami mula memberi tumpuan utama untuk memenangi peringkat perlumbaan pula dan nampaknya ia berhasil dengan kerjasama yang hebat daripada pelumba pasukan ini. "Saya bangga kerana menyertai pasukan ini. Semua pelumba TSG masih muda dan mempunyai potensi yang cerah pada masa hadapan," tambahnya lagi. Sementara itu, pelumba yang menjadi pilihan beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London, Muhd. Adiq Husainie Othman berjaya mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut setelah mengumpul 89 mata selain muncul pelumba terbaik Malaysia (Jersi Putih 100PLUS). Jersi Kuning selaku juara keseluruhan pula dimenangi Yusup Abrekov dari Uzbekistan Suren dengan kelebihan 0.18s ke atas pelumba Australia, Jai Crawford dari pasukan RTS Racing. "Lega kerana akhirnya berjaya juga mengekalkan Jersi Kuning ini selama lima peringkat, ia bukan satu tugas mudah kerana saya tahu Crawford mungkin masih berpeluang memenanginya. "Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya dalam saingan J1M yang agak mencabar kali ini," kata Abrekov yang turut memenangi Jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia. Pelumba Indonesia daripada pasukan Putra Perjuangan, Dadi Suryadi pula berjaya memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata. Pasukan Terengganu muncul pasukan terbaik Malaysia sementara pasukan Putra Perjuangan mengungguli kategori pasukan keseluruhan dan terbaik Asia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan