Kosmo Online - Sukan |
Piala FA akhirnya milik Kelantan Posted: Piala FA akhirnya milik KelantanOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI GHADDAR (kiri) dicabar kapten Sime Darby, Es Lizuan Zahid pada aksi final Piala FA 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. KELANTAN muncul juara Piala FA selepas menewaskan Sime Darby 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Penyerang import, Muhamad Ghaddar muncul watak utama di sebalik kejayaan manis Kelantan itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti. Sepakan penalti itu berpunca selepas tonggak pertahanan Sime Darby, menolak pemain Kelantan, Obinna Nwaneri dalam kotak penalti. Ghaddar yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu mudah menolak masuk bola ke gawang Sime Darby yang dikemudi penjaga gol, Mohd. Redzuan Harun. Jaringan tunggal penyerang kelahiran Lebanon itu sudah cukup buat Kelantan memadam kekecewaan sebelum ini apabila tewas dalam aksi final Piala FA edisi 2009 dan 2011. Pada 2009, Kelantan tewas 1-4 kepada Selangor pada penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan. Musim lalu, Kelantan terus kempunan mendakap Piala FA apabila tewas 1-2 kepada jiran tetangga, Terengganu pada aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Kejayaan Kelantan menjulang Piala FA yang baharu itu malam tadi diraikan bersama kira-kira 67,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir ke stadium. Pada aksi itu, rentak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung. Bagaimanapun, Sime Darby terlebih dahulu menguji benteng Kelantan apabila percubaan Azmirul Azmi seawal minit kesembilan berjaya dinafikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. Kelantan menerima tamparan apabila tonggak pertahanan, S. Subramaniam terpaksa dikeluarkan apabila mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas bertembung dengan penyerang Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-28. Peluang terbaik Kelantan untuk mencipta jaringan hadir menerusi kapten, Mohd. Badhri Radzi, namun bola tandukannya pada minit ke-36 gagal menerjah gawang Sime Darby. Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sime Darby bagi memburu gol. Akhirnya gol yang dicari-cari menjelma pada minit ke-59 hasil sepakan penalti Ghaddar. Tersentak dengan gol tersebut, Sime Darby mula mengatur rentak lebih kemas bagi mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, beberapa peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dengan baik. Kelantan hampir menggandakan jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun percubaannya pada minit ke-85 dinafikan Mohd. Redzuan. |
Pentas final PSAS jadi sasaran Posted: Pentas final PSAS jadi sasaranOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH FAIZAL (dua dari kanan) antara pemain remaja yang dipanggil menyertai kem latihan skuad senior bagi menghadapi PSAS 2012. TUGAS berat menanti skuad senior negara apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang bakal bermula 24 Mei hingga 3 Jun di Ipoh, Perak. PSAS yang telah memasuki edisi ke-21 tahun ini bakal menampilkan saingan cukup istimewa kerana enam pasukan yang diundang, telah layak ke Sukan Olimpik 2012 di London, sekali gus ia menjadi medan terakhir buat negara-negara tersebut sebelum menghadapi temasya di London Julai depan. Meskipun sedar kualiti yang dimiliki Britain, Argentina, New Zealand, Korea Selatan, India dan Pakistan, Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad menjelaskan, Malaysia seharusnya menggunakan kelebihan selaku tuan rumah, selain perlu lebih bersikap optimis apabila beraksi menentang enam pasukan tersebut. "MHC meletakkan sasaran layak ke final supaya kekecewaan kita pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 di Dublin, Mac lalu dapat ditebus. "Ini bukan satu tekanan kepada pemain-pemain negara kerana PSAS bukan satu kejohanan bertaraf kelayakan, jadi secara peribadinya, saya rasa mara ke final adalah sesuatu yang lebih optimis. "Kita tidak akan rugi apa-apa, malah saya mahu semua pemain negara menganggapnya sebagai satu cabaran untuk merealisasikan sasaran tersebut," kata Nur Azmi pada majlis Penyerahan Cek Tajaan PSAS 2012 di Kuala Lumpur semalam. Menurut Nur Azmi, kejayaan skuad Projek 2013 menjulang Piala Remaja Asia baru-baru ini juga mampu dijadikan suntikan semangat kepada barisan pemain senior untuk melakar kejutan di Ipoh. Jelasnya lagi, Malaysia mungkin akan menurunkan skuad gabungan daripada beberapa pemain remaja dan senior pada PSAS kali ini. "Buat masa ini, lapan pemain skuad Projek 2013 telah dipanggil menjalani latihan dalam kem negara tetapi tidak bermakna kesemuanya akan disenaraikan. "Semuanya terpulang kepada jurulatih Tai Beng Hai untuk memilih pemain skuadnya," kata Nur Azmi. Lapan pemain remaja yang dipanggil menyertai kem latihan skuad senior ialah adik beradik, Faizal dan Fitri Saari, Firhan Ashaari, Mohd. Faiz Helmi, Nor Izzat Sumantri, Mohamed Ramadhan Rosli, Noor Faeez Ibrahim serta Amir Farid. Sementara itu, sejumlah RM1.42 juta keseluruhan penajaan telah disampaikan kepada Sultan Azlan Shah pada majlis penyerahan cek daripada 21 pihak penaja semalam. Antara 21 penaja yang tampil memberi sokongan kepada PSAS kali ini ialah Astro sebanyak RM300,000, kerajaan negeri Perak (RM100,000) dan Majlis Sukan Negara (RM100,000). |
Posted: Malaysia membaraWUHAN - Kempen Piala Thomas/Uber 2012 membuka tirai secara rasminya di Pusat Sukan Wuhan, China hari ini. Bagaimanapun, skuad Piala Thomas negara tidak akan beraksi pada saingan pembukaan hari ini tatkala tuan rumah, China akan membuat perhitungan dengan England dalam Kumpulan A. Kumpulan B pula bakal menyaksikan pertemuan antara Jepun dan New Zealand manakala Denmark akan menentang Afrika Selatan dalam saingan Kumpulan C. Bagi aksi pembukaan Kumpulan D, Korea Selatan akan berdepan cabaran Amerika Syarikat. Malaysia hanya akan turun ke gelanggang esok apabila dijadualkan menentang Afrika Selatan sebelum membuat perhitungan dengan Denmark, Selasa ini. Atas kertas, Malaysia yang diketuai pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei diramal tidak berdepan banyak masalah untuk menumbangkan Afrika Selatan. Bagaimanapun, ujian getir menanti mereka apabila menentang Denmark. Pertembungan antara Malaysia dan Denmark itu lebih dilihat sebagai penentuan juara Kumpulan C. Malaysia perlu bergelar juara Kumpulan C bagi membolehkan mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam undian untuk saingan suku akhir. Jika itu berlaku, Malaysia dapat mengelak daripada bertembung China yang dijangka mengungguli saingan Kumpulan A. Menyedari laluan berliku menanti mereka, Malaysia awal-awal lagi telah meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke saingan separuh akhir. Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan kekuatan Malaysia pada kempen kali ini. "Namun apa yang penting kita bermain sebagai sebuah pasukan dan kekalkan semangat berpasukan. Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya," kata Rashid. Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah berkata, semua pemain berada dalam keadaan ceria dan bersemangat. "Semua pemain sihat... yang demam, sakit semua telah sembuh. Mereka sudah tidak sabar lagi untuk beraksi," katanya. Sebelum berangkat ke Wuhan, barisan pemain negara menjalani latihan pusat di Guangzhou selama seminggu sebagai persiapan terakhir menghadapi Piala Thomas 2012. Pada kempen kali ini, Malaysia mempertaruhkan Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Chong Wei Feng dalam acara perseorangan manakala beregu diwakili Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan