Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rahsia Fabregas

Posted: 28 Jun 2012 11:36 AM PDT

DONETSK: Cesc Fabregas mengaku bercakap dengan bola dan memintanya supaya 'melakar sejarah' sebelum menendang masuk sepakan penalti yang membawa Sepanyol ke final Euro 2012, Ahad ini.

Pemain tengah Barcelona itu menjaringkan gol kemenangan pada sepakan kelima untuk menghidupkan peluang juara Dunia dan Eropah itu muncul juara kejohanan utama ketiga berturut-turut.


Fabregas juga menjaringkan gol penalti kemenangan ketika Sepanyol menewaskan Itali menerusi penentuan penalti di suku akhir Euro 2008.

"Kami ingin melakar sejarah," katanya. "Perasaan saya pada masa itu sukar digambarkan tapi saya gembira untuk mengambil sepakan penalti dan masih memikirkannya tengah hari tadi.


"Pada awalnya mereka memilih saya mengambil sepakan kedua tapi saya minta mengambil yang kelima kerana memiliki firasat yang baik.


"Apabila melangkah untuk mengambil sepakan, saya berkata kepada bola, kami perlu melakar sejarah dan ia tidak boleh kecewakan saya," kata Fabregas.

"Empat tahun lalu ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Itali, saya katakan perkara yang sama dan bola itu juga tidak mengecewakan saya." Selepas menewaskan Portugal 4-2, Fabregas langsung tidak kisah siapa akan dihadapi Sepanyol pada final. Jerman menentang Itali awal pagi tadi.


"Saya tidak kisah siapa lawan kami. Paling penting kami berada di final. Sesiapapun yang layak pasti memberi cabaran getir," kata Fabregas yang tidak berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Portugal.

"Ia sungguh memuaskan, kemenangan ini begitu bermakna buat kami. Kami kini sudah mara ke final ketiga dalam empat tahun, saya bagaikan tidak percaya. Sungguh menakjubkan apa yang bola sepak boleh berikan dan harap-harap kami akan menjadi juara Eropah sekali lagi dalam tempoh empat hari lagi." Fabregas mengaku masih belum puas hati dengan persembahannya tapi berkata kejayaan negaranya lebih penting.


"Saya bermain teruk tapi pasukan ini bekerja keras," kata Fabregas. "Saya memiliki firasat kami akan mara ke akhir jika permainan berlanjutan ke sepakan penalti dan ia menjadi kenyataan. Untuk mara ke final sekali lagi amat menakjubkan. Ia sungguh luar biasa." - Agensi


Saingan kian sengit

Posted: 28 Jun 2012 11:28 AM PDT

SEMUA pasukan yang tiada dalam senarai undian Karnival Futsal Harian Metro dan Karnival Bola Jaring yang dibawa oleh AmBank bagi saingan Zon Selatan, disiarkan semalam, perlu menyemak jadual masing-masing hari ini.

Terdapat penambahan pasukan yang menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 333. Justeru, sekiranya ada lagi pasukan yang tidak tersenarai dalam senarai terbaru itu, mereka dikehendaki segera menghubungi penganjur di talian 016-6400885.


Jumlah terkini pasukan yang akan berentap di Sports Prima Johor Bahru kini menyaksikan 175 beraksi dalam kategori Terbuka Lelaki, 39 Terbuka Wanita dan 87 Lelaki Bawah 17. Bola Jaring pula mencatat 32 penyertaan dengan 21 pasukan Terbuka Wanita dan 11 Terbuka Lelaki.

Bagi mengelak sebarang kesulitan di saat akhir, semua pasukan dinasihatkan mematuhi syarat pertandingan memandangkan penganjur berhak membatalkan penyertaan sekiranya didapati ada pasukan yang ingkar. Justeru, jika senario itu berlaku, ia sudah pasti merugikan pasukan yang ingin beradu nasib memburu gelaran juara mutlak di Grand Final dijadualkan berlangsung di Melaka, bulan depan. Setiap pasukan diingatkan tidak menurunkan pemain dikuarantin, yakni tidak layak beraksi seperti pemain kebangsaan dan negeri kecuali dua yang dibenarkan kerana tiada sebarang kompromi terhadap pasukan yang melanggar syarat pertandingan. Karnival dua hari itu bermula esok dengan pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi. Seperti biasa, pasukan Terbuka Lelaki terlebih dulu beraksi hingga ke suku akhir dengan separuh akhir dan final dijadualkan berlangsung keesokan harinya (Ahad). Bagi Karnival Bola Jaring, kedua-dua kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita hanya akan dilangsungkan pada Ahad saja. Bagaimanapun, semua pasukan diingatkan untuk membawa kad pengenalan asal masing-masing. Kad pengenalan fotostat tidak diterima malah sebarang penukaran pemain di saat akhir turut tidak dilayan. Untuk Karnival Futsal, habuan wang tunai menanti juara sehingga tempat kelapan setiap kategori dengan hadiah keseluruhan bernilai RM37,500. Karnival Bola Jaring pula mempertandingkan RM8,000 keseluruhan. Selain Ambank selaku penaja utama, karnival tahun ini turut menampilkan H-TWO-O sebagai penaja minuman rasmi selain Lancast (pakaian rasmi) dan Sani Express (pengangkutan rasmi). Maklumat dan sebarang pertanyaan berhubung Karnival Futsal Harian Metro dan Karnival Bola Jaring 2012 boleh melayari laman sosial Facebook dan Twitter.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan