Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tumpu sepakan penalti

Posted:

Tumpu sepakan penalti

HODGSON


KRAKOW, Poland – England bersedia menghadapi sepakan penalti.Untuk itu, jurulatih, Roy Hodgson telah memberi penekanan terhadap latihan sepakan penalti ke atas semua pemainnya sebagai persediaan menghadapi aksi suku akhir kempen Euro 2012.

Bagi Hodgson, ia sangat penting kerana sejarah telah membuktikan bahawa skuad The Three Lions sering kali tewas pada pusingan kalah mati menerusi penentuan sepakan penalti.

Anak-anak buah Hodgson yang muncul juara Kumpulan D akan berdepan Itali (naib juara Kumpulan C) pada aksi suku akhir di Stadium Oliympic Kiev, Ukraine Isnin ini.

Sebagai rekod, England hanya berjaya memenangi sekali sahaja penentuan sepakan penalti iaitu ketika menentang Sepanyol pada 1996 manakala tewas lima kali selepas itu.

Hodgson berkata, biarpun latihan sepakan penalti tidak boleh dilakukan ketika waktu latihan sebenar namun ia tetap perlu diberi keutamaan dalam misi menewaskan skuad The Azzurri pada aksi suku akhir nanti.

"Kami (England) telah pun mengadakan latihan sepakan penalti. Kami melakukan sejurus tamat sesi latihan sebenar.

"Kini, kami lebih serius dalam penentuan sepakan penalti. Namun, kamu hanya boleh melakukan latihan sepakan penalti selepas tamat latihan sebenar kerana kamu memerlukan ketenangan, keyakinan dan kemampuan yang tersendiri untuk menyempurnakannya.

"Berdasarkan pengalaman saya, seorang pemain memerlukan ketenangan, keyakinan dan kekuatan minda untuk menyempurnakan sepakan penalti.

"Ada ketika, kita lihat ada beberapa pemain terbaik turut gagal menyempurnakan sepakan penalti. Sebaliknya, pemain yang kita rasa bukan pakar untuk mengambil sepakan penalti pula yang berjaya menyempurnakannya," kata Hodgson.

Penentuan sepakan penalti bakal dijalankan bagi menentukan pemenang perlawanan sekiranya kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat masa tambahan pada perlawanan pusingan kalah mati.

Chris Waddle dan Stuart Pearce merupakan dua pemain England yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika skuad The Three Lions tewas di tangan Jerman Barat pada aksi separuh akhir Piala Dunia 1990.

Empat tahun kemudian, nasib malang terus menghantui England apabila turut tewas pada penentuan sepakan penalti ketika separuh akhir kempen Euro di tangan Jerman dan kali ini giliran Gareth Southgate pula yang gagal menyempurnakannya.

Malah, England juga tewas kepada Argentina pada kempen Piala Dunia 1998 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kegagalan yang sama turut menghantui skuad The Three Lions pada kempen Euro 2004 dan Piala Dunia 2006.

– AFP

Jerman hormati Sepanyol

Posted:

Jerman hormati Sepanyol

GDANKS, Poland - Jurulatih Jerman, Joachim Loew menegaskan bahawa juara bertahan, Sepanyol tetap menjadi pilihan untuk menjuarai Euro 2012.

Loew, 52, menyuarakan pendapat itu menjelang aksi suku akhir menentang Greece di stadium PGE Arena, Poland awal pagi esok.

Jerman yang tewas kepada Sepanyol pada final 2008 menjadi pasukan tunggal pada kejohanan ini memiliki rekod 100 peratus selepas memenangi ketiga-tiga aksi dalam Kumpulan B.

Selain itu, mereka memenangi kesemua 10 perlawanan pada kempen kelayakan Euro 2012.

Selepas membelasah Republik Ireland 4-0 dalam Kumpulan C sebelum seri 1-1 dengan Itali, Sepanyol selaku juara dunia 2010 menamatkan saingan di kedudukan teratas.

Sepanyol memperoleh kejayaan itu hasil kemenangan 1-0 ke atas Croatia pada aksi terakhir kumpulan menerusi jaringan pemain muda, Jesus Navas pada minit ke-88, Selasa lalu.

Skuad kendalian Vicente del Bosque itu akan bertemu Perancis di Kiev, Ukraine pada aksi suku akhir manakala Jerman berdepan Greece di Gdansk, Poland.

Namun, Loew berkata, beliau tidak memandang rendah kemampuan skuad La Roja yang ketika ini beraksi di bawah tahap sebenar.

"Saya menyaksikan Sepanyol bermain sebanyak dua kali dan aksi berkelas dunia sangat menakjubkan hasil kombinasi pemain yang dimiliki," kata Loew.

Ketika ini, Jerman dan Sepanyol diundi dalam kelompok yang berlainan dan kemungkinan mereka untuk bertemu adalah di final pada 2 Julai ini.

"Mereka (Jerman) mengalami nasib yang kurang baik, sama seperti pasukan lain di sini (Euro 2012). Kamu mempunyai lawan yang sangat sukar dan mereka cuba untuk merosakkan rentak kamu.

"Kamu masih boleh berharap kepada Sepanyol untuk menjaringkan gol. Mereka memiliki ramai pemain yang hebat contohnya, Andres Iniesta (pemain tengah) adalah produk bola sepak yang hebat," kata Loew. - AFP

Misi 'hidup mati' Greece

Posted:

Misi 'hidup mati' Greece

SANTOS (kanan) mengendalikan sesi latihan pemain-pemain Greece menjelang aksi suku akhir Euro 2012 menentang Jerman di Stadium Municipal Legionowo, Poland kelmarin.


POLAND - Ketua pasukan Greece, Costas Katsouranis mengharapkan keajaiban untuk menewaskan Jerman buat pertama kalinya pada aksi suku akhir Euro 2012 di Stadium PGE Arena awal pagi esok.

Katsouranis, 33, bimbang untuk menghadapi perlawanan itu berdasarkan aksi cemerlang yang dipamerkan Jerman untuk melayakkan diri ke kelompok lapan pasukan terbaik selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan B.

Greece pula hanya memenangi satu perlawanan ketika menewaskan Rusia 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A, sekali gus mencatat kemenangan pertama sejak menjulang trofi Euro 2004.

Kemenangan ke atas Rusia itu cukup bermakna kerana ia memberi kelebihan kepada Greece untuk melangkah ke suku akhir berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan.

Namun, Greece dianggap tidak setanding kerana mereka tewas sebanyak lima kami dan seri tiga kali sepanjang lapan aksi pertembungan menentang Jerman dan skuad terdahulu, Jerman Barat.

Katsouranis yang tidak yakin keputusan akan memihak kepada pasukan itu berkata, para pemain akan bermain bermati-matian pada aksi suku akhir itu.

"Anda pasti mengetahui bahawa kami akan berjuang untuk menang. Ia merupakan satu perlawanan, bukan 10 permainan yang terbaik.

"Jika ada keajaiban dan tuah, kami akan tersenyum. Jika tidak, kami akan balik awal.

"Kami berjanji, akan bermain bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit perlawanan itu nanti," kata Katsouranis sebelum menyertai kem latihan pasukan kelmarin.

Katsouranis akan mengambil tugas sebagai kapten ekoran pergantungan bintang Greece, Giorgos Karagounis.

Sementara itu, jurulatih Greece, Fernandos Santos dilaporkan akan melupakan formasi 4-3-3 ketika menewaskan Rusia 1-0 pada 17 Jun lalu.

Katanya, strategi baharu pasukan itu mungkin akan lebih terarah kepada corak bertahan yang dianggap mampu menyekat kemaraan jentera serangan Jerman. - Agensi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen