Berita Harian: Sukan |
Posted: 18 Jul 2012 08:20 AM PDT Skuad badminton diketuai Chong Wei sandaran utama jadi juara Kuala Lumpur: Skuad badminton negara memiliki segala-galanya. Kemudahan, layanan kelas pertama, perlawanan antarabangsa bahkan terbaru, ditawarkan ganjaran tambahan jongkong emas bernilai RM2 juta jika membawa pulang pingat emas. Pemain juga berada di ranking yang baik dengan Datuk Lee Chong Wei di kedudukan nombor dua dunia, Tan Boon Heong-Koo Kien Keat (nombor lapan) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran-nombor tujuh). Cuma Tee Jing Yi (perseorangan wanita) yang berada di ranking ke-60 dunia. Di antara semua pemain itu, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dilihat mempamerkan peningkatan paling ketara sepanjang tahun ini manakala Chong Wei sebenarnya masih dibelenggu masalah kecederaan kaki ketika Piala Thomas. Sebelum ini, dia juga terpaksa menarik diri daripada aksi final All England. Sudah pasti ramai pemain utama dunia 'gembira' dengan keadaan Chong Wei yang agak diragui untuk mencapai kemuncak prestasi. Penonton juga mengimpikan final impian atau final ulangan antara Lin Dan dan Chong Wei. Tetapi jangan lupakan bintang muda China, Cheng Long dan juara dunia, Chen Ji yang sentiasa melakukan kejutan. Persiapan terakhir pasukan badminton negara juga mempunyai kelebihan kerana menjalani latihan dua minggu awal di London sebelum turun ke gelanggang serta lengkap dengan sembilan rakan sepelatih yang dibawa bersama. Tan dan Koo pula agak membimbangkan dengan prestasi 'yo-yo' sejak kebelakangan ini tetapi ramai yang percaya mereka masih mempunyai 'sesuatu' yang boleh membanggakan negara. Pengalaman bekas beregu nombor satu dunia itu juga menjadi pertaruhan kerana lawan yang bakal dihadapi bukan calang-calang. "Setiap pemain mempunyai teknik tersendiri yang menjadi asas kekuatan rentak permainan mereka. Setiap beregu mempunyai daya saing yang tidak boleh dipandang remeh," kata Koo. Pasangan Peng Soon dan Liu Ying pula menyedari kedudukan mereka dengan meletakkan sasaran awal melepasi pusingan kumpulan. Mereka mengharapkan dapat menimba sebanyak mungkin pengalaman dan meletakkan sasaran sebenar di Olimpik Rio de Janeiro 2016. Ini kerana, jika dinilai berdasarkan rekod, mereka tidak pernah menewaskan tiga daripada lima pasangan terbaik dunia sepanjang karier mereka. Mereka kalah dalam semua empat pertemuan menentang pasangan nombor satu dunia, Zhang Nan-Zhao Yunlei (China) dan nombor empat dunia, Ahmad Tantowi-Liliyana Natsir (Indonesia) - keduanya dilihat berpotensi besar meraih emas Olimpik London. Pasangan negara yang menduduki ranking ketujuh dunia itu juga kalah dalam empat daripada lima pertemuan menentang pasangan nombor lima dunia, Chen Hung Ling-Chen Wen Hsing . Satu satunya pasangan lima terbaik dunia yang pernah ditewaskan ialah Xu Chen-Ma Jin (China) di Terbuka China 2011. "Sasaran kami ialah merapatkan jurang dengan lima terbaik dunia dan buat sesuatu yang terbaik di Olimpik kali ini," kata Liu Ying. Bagi Tee Jing Yi, saingan paling kuat adalah pemain China dan Korea tetapi pemain berusia 21 tahun ini menjanjikan akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk negara. Beliau lebih selesa bergelar pemain bukan pilihan kerana Olimpik sentiasa penuh dengan kejutan - itulah yang cuba dilakukannya. |
FAM beri jaminan adili dengan telus Posted: 18 Jul 2012 08:14 AM PDT Kes 'kekasaran melampau' dua pemain Selangor Kuala Lumpur: Kes 'kekasaran melampau' dilakukan dua pemain Selangor - Amri Yahyah dan Bunyamin Umar - terhadap penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar pada Liga Super 29 Jun lalu akan diadili dengan telus tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk media. Jaminan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak, semalam. "Jangan risau, keputusan kami nanti bergantung kepada penelitian rakaman video insiden membabitkan ketiga-tiga pemain berkenaan. Keputusan yang dibuat adalah hasil perbincangan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib nanti. Ia akan dinilai dengan seadilnya," katanya. BH Sukan difahamkan, perbicaraan itu tertumpu kepada insiden Amri menumbuk kemaluan Ghaddar dan Bunyamin menumbuk muka penyerang dari Lubnan itu kerana jawatankuasa hanya menerima aduan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Insiden membabitkan kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha bersama Ghaddar, tiada dalam senarai. "Mungkin pada awal bulan depan selepas pemain itu pulang daripada menyertai kejohanan berkenaan," katanya. Ditanya sama ada Ghaddar yang dilihat melakukan provokasi terlebih dahulu ketika ketiga-tiga insiden itu, Taufik berkata: "Tunggulah perbicaraan nanti. Saya tak boleh komen sekarang." |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan