Kosmo Online - Sukan |
Posted: KOM tak berganjakOleh HELMI TALKAH
PINTU bagi melakukan sebarang perubahan berhubung penyertaan atlet olahraga negara menerusi slot wild card ke temasya Sukan Olimpik 2012 di London sudah tertutup. Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk R. Annamalai berkata, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) telah pun memaklumkan mengenai perkara tersebut menerusi surat yang dihantar kepada badan induk sukan olahraga negara itu baru-baru ini. "Dalam surat itu, IAAF memaklumkan kepada KOM bahawa penyertaan ke Sukan Olimpik 2012 menerusi slot wild card telah ditutup. "Jadi, kami tidak boleh melakukan sebarang perubahan berhubung penyenaraian atlet ke sana. Kami perlu hormati arahan yang telah dikeluarkan IAAF itu," kata Annamalai ketika dihubungi Kosmo! semalam. Annamalai berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim yang mendakwa KOM masih ada masa untuk melakukan perubahan terhadap senarai atlet yang benar-benar layak beraksi di London. Karim berkata, IAAF kebiasaannya masih boleh menerima sebarang perubahan dua minggu sebelum acara olahraga membuka tirainya pada 3 Ogos depan. Kosmo! semalam melaporkan Karim membidas keputusan KOM berhubung penyenaraian jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei dan ratu acara 400 meter lari berpagar, Noraseela Mohd. Khalid ke temasya Sukan Olimpik 2012 menerusi tiket wild card yang diberikan oleh IAAF. Berdasarkan pungutan mata yang dikeluarkan IAAF, atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian dan ratu lompat bergalah, Roslida Samsu lebih layak untuk beraksi pada temasya berprestij di dunia itu. Bagaimanapun, Annamalai tampil mempertahankan dirinya apabila menegaskan bahawa penyertaan atlet olahraga negara ke Sukan Olimpik 2012 dibuat oleh panel jawatankuasa pemilihan yang diketuai oleh Mohamad Awang. "Saya hanya dilantik sebagai pengurus skuad olahraga negara sahaja dan tidak ada kena mengena dalam hal pemilihan atlet ke Sukan Olimpik 2012. Jadi, mengapa mahu menyalahkan saya dalam hal ini. "Lagipun, selepas jawatankuasa pemilihan membuat keputusan, perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat ahli majlis KOM yang turut dihadiri oleh presiden (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Karim juga ada bersama sekali pada 15 Julai lalu. "Ya, memang ada pihak membantah keputusan tersebut. Namun, majoriti ahli majlis telah bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat oleh panel jawatankuasa pemilihan," jelas Annamalai. | |
Arsenal bawa semua pemain utama Posted: Arsenal bawa semua pemain utamaOleh NOR AZIRAN YUNUS ARSENE WENGER WALAUPUN masih ramai pemain yang terlibat dalam kempen Euro 2012 masih bercuti, namun jurulatih Arsenal, Arsene Wenger berjanji akan membawa kesemua pemain utama dalam penerbangan ke Kuala Lumpur bagi siri Jelajah Asia 2012, minggu hadapan. Menurut Wenger, antara mereka yang masih mengambil cuti rehat adalah Tomas Rosicky, Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain serta pemain baharu The Gunners, Lukas Podolski dan Giroud Olivier. "Pemain kami kini bebas daripada sebarang kecederaan dan apa yang menjadi fokus kami kini adalah untuk tampil dengan kesebelasan terbaik menentang pasukan Malaysia XI di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai ini," kata Wenger yang sudah tiga kali membawa Arsenal ke Kuala Lumpur sebagai pengurus. Katanya lagi, peminat di Malaysia cukup bertuah kerana Arsenal akan hadir dengan kesemua pemain kegemaran peminat dan paling penting peminat di Malaysia juga akan menjadi yang pertama di dunia untuk menonton pemain baharu seperti Podolski dan Giroud menyarung jersi Arsenal. Tambah Wenger, dia secara peribadi tidak sabar untuk tiba ke Malaysia kerana sebelum ini, mereka telah mendapat layanan yang terbaik dan sambutan terbesar. "Saya suka bercakap dengan peminat Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya kerana mereka tidak hanya ghairah tentang kelab Arsenal, tetapi mereka sangat berpengetahuan tentang bola sepak terutama Liga Perdana England, dan saya pasti kali ini akan menjadi satu lagi siri lawatan yang berjaya," kata Wenger dalam satu sidang akhbar khas di ibu negara semalam. Tiket untuk menyaksikan perlawanan itu berharga RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP pula berharga RM388 dan ia adalah terhad. Semua tiket boleh didapati di semua cawangan Ticketpro di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh menghubungi Ticketpro di talian, 03-7880-7999 serta melayari laman web, www.ticketpro.com.my. Pada 23 Julai, bermula 8.30 malam, pasukan Arsenal akan turun untuk sesi latihan pemanas badan di Stadium Nasional Bukit Jalil. | |
LTdL jenama unggul sukan negara Posted: LTdL jenama unggul sukan negaraOleh SHANIKA ABDULLATIB EMIR (kiri) bersama penceramah lain pada Persidangan Bisnes Sukan Asia Pasifik 2012 di ibu negara semalam. KEJAYAAN penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak tahun 1996 bukan sahaja menarik perhatian pelumba terkemuka dunia malah berjaya meningkatkan sektor industri sukan dan pelancongan di Malaysia. Sejak pelumba negara seperti Anuar Manan berjaya mencuri tumpuan dengan berada di podium kemenangan, ia secara tidak langsung turut menarik pelabur tempatan dan asing untuk menaja kejohanan berprestij itu. "Secara peribadi, saya menjangkakan perlumbaan ini mampu berdiri dengan sendirinya dalam masa tiga tahun memandangkan penajaan berterusan yang diterima. "Biarpun status kejohanan ini bukan ditahap Pro Tour, ia tetap berjaya menarik penyertaan pasukan terkemuka terutama dari Eropah dan Asia," jelas Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal. "Tidak dinafikan ada gesaan agar kami menaikkan status kejohanan ini ke tahap Pro Tour, namun kami mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkannya begitu," tambahnya ketika ditemui pada Persidangan Bisnes Sukan Asia Pasifik 2012 yang berlangsung di ibu negara semalam. Ekoran penganjuran tanpa gagal LTdL setiap tahun, Emir menjelaskan kerajaan juga harus memainkan peranan dalam menjayakan kejohanan ini sebagai sukan pelancongan biarpun LTdL mendapat penajaan daripada sumber luar. Bukan hanya pelumba terkemuka yang memberi impak kepada kejohanan ini, siaran selama 10 jam oleh media elektronik antarabangsa berjaya mempromosi Malaysia di pentas dunia. "Justeru, tanpa sokongan daripada pihak terbabit, kita bimbang penganjuran tersebut bakal terjejas kerana kejohanan itu sudah terbukti berjaya memajukan sukan berbasikal di Malaysia. "Gaya penganjuran kita juga terbukti lebih bagus berbanding apa yang disediakan pada Jelajah Perancis, namun apa yang lebih penting, pelumba terkemuka dunia menjadikan LTdL sebagai rujukan mereka," ujar Emir. Ini juga dapat dilihat dengan adanya beberapa firma asing yang berminat untuk mengambil alih penganjuran LTdL namun ditolak oleh pihak pengurusan LTdL. "Ia membuktikan sukan ini amat bernilai dan kita perlu mengekalkannya sebagai jenama sukan negara," katanya. Persidangan tersebut disertai 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor berkaitan industri sukan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan