Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kelantan yakin

Posted:

Kelantan yakin

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

MOHD. AFIQ AZMI (kanan) merupakan senjata sulit dalam skuad Kelantan.


KELANTAN cukup optimis untuk melangkah ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia 2012.

Malam ini, mereka bakal melayan kunjungan Felda United pada aksi suku akhir kedua di Kota Bharu.

Selepas berjaya memperoleh kelebihan dua gol di gelanggang lawan, di atas kertas Kelantan sudah pastinya berdepan tekanan hebat untuk menjadi pasukan pilihan mara ke pusingan seterusnya.

Malah, saingan daripada Felda United juga seharusnya tidak boleh dipandang mudah terutama apabila anak-anak buah E. Elavarasan mempamerkan aksi mantap dan telah banyak kali Felda United membuktikan mereka adalah pasukan berstatus kelab yang berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimanapun, hakikat tersebut pantas disedari oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang sudah merasakan bahawa cabaran yang bakal dihadapi pasukannya malam ini pastinya cukup sengit.

"Kita mempunyai segala kelebihan, beraksi di laman sendiri selain reputasi semasa sudah pastinya menjadikan kita pasukan pilihan berbanding Felda United yang beraksi tanpa tekanan.

"Saya fikir gol awal akan membantu memudahkan tugas kita melangkah ke separuh akhir. Sudah tentu ia akan menjarakkan kedudukan dan memberi tekanan kepada Felda United.

"Tetapi ia bukan tugas yang mudah kerana mereka (Felda United) juga akan turun habis-habisan untuk mencari kemenangan," katanya di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, beliau menjangkakan Felda United yang tewas 1-2 dalam perlawanan minggu lalu akan turun dengan taktik

bertahan dan memburu gol melalui serangan pantas yang sudah tentunya

menyukarkan jentera hadapan dan benteng pertahanan The Red Warriors.

Katanya, mungkin sokongan daripada para peminat mampu memberi tonik tambahan kepada para pemain Kelantan.

"Mungkin sembilan atau 10 pemain mereka akan berkampung di kawasan pertahanan dan saya harap kita tidak melakukan kesilapan dan terlalu ghairah memburu gol sehingga menyebabkan kita terperangkap."

Jelasnya, dua gol melalui aksi di gelanggang lawan sudah memberi kelebihan namun beliau tidak mahu anak-anak buahnya berpuas hati dengan keputusan tersebut. Hodak mahu Kelantan melangkah dengan penuh

bergaya dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku beberapa rombakan yang akan dilakukannya, Hodak menjawab:

"Saya akan lakukan perubahan satu atau dua pemain tetapi saya belum fikir tentang rombakan tersebut lagi, mungkin saya akan tengok dalam sesi latihan petang ini (semalam).

"Muhammad Ghaddar masih berada di bangku simpanan. Saya bersedia menurunkan dia pada babak kedua. Saya yakin kita boleh menewaskan Felda United malam esok (malam ini). Dengan stadium penuh dan sokongan peminat, kita boleh menewaskan Felda United untuk ke separuh akhir," jelasnya.

Guna pakar Britain

Posted:

Guna pakar Britain

ABU Samah menjelaskan bahawa pakar dari Britain sudah membuktikan kemampuan mereka.


KESATUAN Berbasikal Antarabangsa (UCI) mencadangkan Malaysia menggunakan tenaga kepakaran Britain atau Jerman dalam memastikan velodrom baharu yang bakal dibina di Seremban bertaraf dunia dan memenuhi spesifikasi untuk menjadi penganjur Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik nanti.

Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab, cadangan tersebut dilakukan kerana UCI benar-benar mahu memastikan negara ini menjadi penganjur Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik seawal 2015 iaitu selepas hak penganjuran milik Kazakhstan berakhir.

Ini memandangkan kejayaan yang diraih oleh China dan Kazakhstan menjadi penganjur kejohanan tersebut berdasarkan kepada velodrom yang diiktiraf oleh UCI.

"China adalah negara pertama di Asia yang diberikan hak menganjur Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik diikuti Kazakhstan.

"Kini UCI sudah pun memulakan perbincangan dengan Malaysia yang mana mereka berhasrat membawa pertandingan tersebut ke negara ini. Justeru, kami menyasarkan penganjuran pertama pada 2015.

"Jika velodrom tersebut menepati standard yang ditetapkan, pelumba trek Malaysia akan banyak menerima faedah daripada penganjuran Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik tersebut.

"Kita tidak perlu lagi berbelanja besar sehingga ratusan ribu ringgit bagi menyertai kejohanan di Cali, Colombia semata-mata untuk memu- ngut mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Sebaliknya, kita hanya perlu berlatih dan berlumba di Kuala Lumpur kerana memang ada perbezaan kalau berlumba di tempat sendiri," katanya yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC).

Tambahnya lagi, kepakaran Britain dalam pembinaan velodrom sudah lama diakui dan Malaysia seharusnya tidak ketinggalan dalam mendapatkan sentuhan mereka.

"Bukan sahaja Malaysia, Beijing juga meminta nasihat kepakaran Britain ketika membina velodrom untuk Sukan Olimpik 2008.

"Jadi Presiden UCI, Pat MacQuaid ada mencadangkan agar Malaysia turut meminta tenaga kepakaran dari Britain dalam memastikan velodrom di Seremban muncul antara stadium terhebat di dunia," katanya.

Abu Samah turut mencadangkan agar pembinaan velodrom tertutup di Seremban turut mempelbagaikan kemudahan seperti dewan utama, kemudahan gimnasium dan restoran agar ia lebih bernilai komersial.

"Seperti yang kita maklum, kejohanan besar seperti Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik hanya akan diadakan setahun sekali. Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pula bergantung kepada nasib hak penganjuran.

"Jadi, lebih baik kita selit- kan ciri-ciri komersial agar velodrom tersebut sentiasa boleh digunakan oleh semua pihak.

"Jika hanya bergantung kepada tujuan penganjuran pertandingan bertaraf dunia, ada kemungkinan ia boleh menjadi projek gajah putih," katanya.

‘Saya dengan Rajagobal okey’

Posted:

'Saya dengan Rajagobal okey'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

CERITA kononnya hubungan antara dua watak penting dalam skuad bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal dan Ong Kim Swee (gambar) yang dikatakan 'tersulam dingin' sebelum ini ternyata tidak berasas.

Semalam, Kim Swee menegaskan, beliau sentiasa menghormati kredibiliti Rajagobal sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Sebelum ini, spekulasi itu dilihat rancak meniti di bibir segelintir pemerhati bola sepak tempatan ekoran lima pemain Harimau Muda – Izham Tarmizi Roslan, Gary Steven Robbat, Zubir Azmi, Mohd. Fadhli Shas dan Wan Zack Haikal Wan Noor – dipanggil Rajagobal menyertai 33 pelatih lain di Wisma FAM, Jumaat ini.

Ia sebagai persiapan awal Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong pada 16 Oktober depan.

Sedangkan pada masa sama, Kim Swee bersama Harimau Muda bakal menggalas tanggungjawab mengharumkan nama negara pada Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di Vietnam selama lapan hari bermula 13 Oktober ini.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Kim Swee sebaliknya mengambil pendekatan 'mengunci mulut' berhubung perkara itu.

"Hubungan saya dengan Datuk (Rajagobal) okey, tidak ada apa- apa masalah. Saya sentiasa menghormati beliau.

"Benda ini sebenarnya normal dan tidak perlu dijadikan isu. Saya pun ada memanggil khidmat skuad Harimau Muda B sebelum ini.

"Jadi, saya tidak tahu mengapa isu tersebut boleh timbul," tegasnya kepada Kosmo! semalam.

Enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kim Swee berharap supaya isu tersebut tidak disensasikan mana-mana pihak.

Ketika ditanya sama ada isu tersebut bakal memberikan kesan terhadap peluang pemain Harimau Muda menyarung jersi kebangsaan, Kim Swee menegaskan: "Macam inilah, biar saya mengadakan pertemuan (dengan Rajagobal) terlebih dahulu.

"Selagi belum berjumpa beliau, saya enggan mengeluarkan sebarang komen."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan