Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Final impian

Posted: 29 Jan 2011 09:06 AM PST

PERTEMUAN yang amat dinanti-nantikan antara pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei dengan jaguh China, Lin Dan menjadi kenyataan akhirnya apabila kedua-dua pemain itu menewaskan lawan masing-masing pada separuh akhir kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Korea, semalam.

Chong Wei, pilihan utama, memerlukan hanya 34 minit sebelum menundukkan pemain muda China, Du Pengyu 21-10, 21-10 namun Lin Dan dipaksa bekerja keras bermain dalam tiga set untuk memastikan tempat dengan mengatasi bintang Indonesia, Simon Santoso 23-21, 20-22, 21-15 dalam tempoh 75 minit.


Ramai meramalkan Chong Wei akan berdepan seteru utamanya itu pada separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lalu tetapi pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan bekas juara dunia itu mengambil keputusan menarik diri kerana kecederaan dan memberikan kemenangan percuma kepada rakan senegaranya, Chen Long pada suku akhir.

Chen Long nyata bukan tandingan Chong Wei yang seterusnya berjaya memenangi Terbuka Malaysia buat kali ketujuh dalam tempoh lapan tahun selepas menundukkan pemain utama Indonesia, Taufik Hidayat pada perlawanan akhir.


Sekalipun tampil sebagai pilihan keenam, Lin Dan memastikan tempatnya ke perlawanan akhir dengan mengatasi Taufik pada suku akhir kelmarin sebelum menjinakkan Simon dalam tiga set semalam.


Berdasarkan rekod perlawanan utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Lin Dan mengungguli pertembungan dengan Chong Wei dengan 14-7 sekalipun pemain nombor satu dunia itu memenangi pertemuan terakhir pada perlawanan akhir Terbuka Jepun September tahun lalu dalam tiga set.

Perlawanan akhir hari ini dijangka menarik dengan Chong Wei, yang berada di puncak prestasi, berusaha untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu apabila dia mengalahkan bintang Denmark, Peter Hoeg Gade.


Dia pasti tidak sabar untuk menewaskan Lin Dan, yang sebelum ini mengecewakannya dua kali dalam pertandingan utama - Sukan Olimpik Beijing 2008 dan Sukan Asia Guangzhou 2010, selain merebut hadiah wang tunai AS$90,000 (RM275,000) sebagai juara.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan dua wakil negara bermain pada perlawanan akhir hari ini tidak menjadi kenyataan apabila beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kecundang di tangan beregu kental Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae.


Beregu Korea itu yang nyata menjadi badi buat pasangan negara kerana mencatat kemenangan kesembilan daripada 11 perlawanan, mengesahkan tempat ke perlawanan akhir sekalipun tumpas tipis pada set pertama 20-22.


Kien Keat-Boon Heong, yang kecundang seawal pusingan pertama di Bukit Jalil minggu lalu, berjaya memperbaiki pencapaian dengan layak ke separuh akhir kali ini namun corak permainan mereka pada set kedua dan penentuan agak memalukan apabila mereka tumpas 9-21, 10-21. Perlawanan itu berlangsung dalam tempoh 62 minit.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Anuar hilang Jersi Biru

Posted: 29 Jan 2011 09:04 AM PST

HASRAT pelumba sensasi negara, Anuar Manan untuk mengekalkan Jersi Biru (Raja Pecut) tidak kesampaian apabila ia dirampas semula oleh pelumba pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini dari Itali selepas berakhir peringkat ketujuh dari Banting ke Tampin, semalam.

Guardini lebih bergembira apabila dia memenangi peringkat sejauh 149.5 kilometer itu, peringkat keempat yang dimenanginya pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini, sesudah melepasi garisan penamat dengan masa tiga jam 24 minit dan 57 saat.


Robert Forster dari United Healthcare Pro Cycling dan Dene Rogers dari Giant Kenda Pro Cycling Team masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga peringkat ketujuh, semalam. Guardini kini mengungguli Jersi Biru dengan 84 mata diikuti Anuar dengan 70.

Bagaimanapun, pelumba Le Tua Cycling Team (L2A), Libardo Nino Corredor dari Colombia masih kekal mengungguli Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan jelajah yang akan berakhir Selasa ini.


Namun hanya dua saat memisahkan Corredor dengan pelumba di tangga kedua, Jonnatha Monsalve dari pasukan Androni Giocattoli manakala rakan sepasukan Monsalve, Emanuele Sella di tangga ketiga, 19 saat di belakang.


Perlumbaan peringkat kelapan hari ini adalah dari Kuala Pilah ke Jasin sejauh 156.5km.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan