Kosmo Online - Sukan |
Posted: GOMO KELATE GOMOOleh WAN FAKHRUL BAKAR PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan meraikan ke jayaan mereka muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi. KELANTAN terus mencipta sejarah, kali ini berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi. Jaringan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Badhri Radzi sudah cukup untuk menggagalkan hasrat Selangor meraih kejuaraan sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut. Tuah jurulatih baru, Datuk M. Karathu membawa kejayaan kepada Kelantan manakala aksi pemain Selangor kendalian K. Devan tampak lesu dan serba tidak menjadi. Perlawanan yang dimeriahkan dengan kehadiran 35,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Norshahrul setelah bek kanan Selangor, Razman Roslan menjatuhkan Nurul Azwan Roya. Tertekan dengan jaringan awal itu, Selangor cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-31 menerusi tandukan Safee Sali tetapi sekadar menggegar palang gol Kelantan. Sebaik babak kedua bermula, Selangor memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Safiq Rahim manakala Kelantan pula memasukkan Khairul Izuan Rosli menggantikan Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-58. Permainan terhenti hampir 10 minit pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan bertindak membaling botol minuman dan mercun ke arah padang. Begitupun ia tidak menghalang Kelantan untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Badhri dari sebelah kiri yang gagal diagak dengan baik penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi. Jaringan tersebut terus mematikan langkah Selangor meskipun terus menggandakan asakan untuk mencari gol. Trofi kejuaraan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa. "Turun selaku juara Piala Malaysia, tekanan hebat terpaksa dipikul Kelantan. Tapi para pemain telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi. "Ini merupakan kali pertama Kelantan muncul juara dan saya hadiahkan piala ini buat seluruh penyokong setia Kelantan," kata Karathu. Devan pula berkata: "Gol awal Kelantan menerusi sepakan penalti telah mematikan rentak permainan kami. " Pada perlawanan tersebut, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Astro. |
Posted: Anuar janji bangkitRAJA pecut 2010, Anuar Manan berazam untuk mempamerkan kayuhan lebih bertenaga pada saingan peringkat kelapan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Kuala Pilah ke Jasin hari ini. Anuar, 24, menyuarakan kesungguhan itu selepas dia terpaksa menyerahkan semula Jersi Biru (Raja Pecut) kepada pencabar utamanya, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli. Pada perlumbaan peringkat ketujuh dari Banting ke Tampin sejauh 149.5 kilometer semalam, Anuar yang mewakili pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) gagal merealisasikan impian untuk menjadi juara peringkat selepas menamatkan saingan di tempat ke-24. Lebih malang, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu juga gagal mengutip sebarang mata pada tiga zon pecutan di Sungai Pelek (44.6 km), Port Dickson (82 km) dan Chembong (124.7 km). "Hari ini (semalam) saya rasa sangat penat. Berlumba di laluan landai dan beralun sepanjang laluan itu menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga terutamanya apabila cuba mengejar kelompok pelumba yang membuat pemecahan. "Saya juga berasa sedikit kecewa apabila gagal menambah kutipan mata, sekali gus mempertahankan Jersi Biru ini. "Bagaimanapun, masih ada tiga peringkat lagi untuk dilalui dan jurang mata juga tidak besar. Jadi, saya rasa peluang untuk saya mengejar masih ada. "Strategi esok (hari ini), saya akan berkayuh bermati-matian dan mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan dalam usaha memenangi peringkat serta merampas semula Jersi Biru daripada Guardini," katanya. Anuar berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati untuk menghadapi perlumbaan hari ini kerana peringkat kelapan yang bermula dari Kuala Pilah ke Jasin itu dijangka lebih mencabar. Selain perlu berdepan laluan landai yang beralun, peringkat perlumbaan itu juga adalah yang paling jauh dalam kalendar LTdL 2011 iaitu sejauh 156.7 km. Berbanding Anuar, Guardini terus cemerlang apabila sekali lagi mempamerkan kehebatannya untuk menjadi pelumba pertama yang sampai ke garisan penamat, sekali gus yang keempat pada edisi ke-16 tahun ini. Kejayaan tersebut turut meletakkan pelumba berusia 22 tahun kelahiran Itali itu di kedudukan selesa dalam perebutan Jersi Biru apabila mengumpul 84 mata, 14 mata di hadapan Anuar. |
Perhitungan Chong Wei, Lin Dan Posted: Perhitungan Chong Wei, Lin DanRAJA Siri Super, Datuk Lee Chong Wei ataupun bintang sensasi China, Lin Dan? Persoalan tersebut hanya akan terjawab apabila kedua-dua pemain membuat perhitungan pada aksi final Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea Selatan 2011 di Seoul, hari ini. Kedua-dua pemain tersebut mara ke final setelah menewaskan lawan masing-masing pada aksi peringkat separuh akhir semalam. Chong Wei menang ke atas pemain China, Du Pengyu 21-10, 21-10 menakala Lin Dan pula mengenepikan cabaran bintang muda Indonesia, Simon Santoso 23-21 20-22 21-15. Jika pertemuan yang dinantikan itu tidak menjadi kenyataan pada Terbuka Malaysia minggu lalu, kali ini pertembungan antara Chong Wei dengan Lin Dan pasti mencuri tumpuan seluruh peminat sukan badminton dunia. Bagi Chong Wei yang merupakan pemain No. 1 dunia, dia ada misi yang tersendiri untuk dilaksanakan pada aksi final hari ini. Selain mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada kejohanan yang sama tahun lalu, Chong Wei pasti menyimpan dendam ke atas Lin Dan yang sering kali menghampakan dirinya dalam kejohanan-kejohanan besar dunia. Sebagai rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu baru tujuh kali mencatatkan kemenangan ke atas Lin Dan dalam 21 pertemuan sebelum ini. Selepas menarik diri daripada beraksi pada saingan suku akhir Terbuka Malaysia minggu lalu, Lin Dan seperti biasa dilihat sebagai pilihan untuk memenangi aksi final tersebut biarpun tidak diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan. Namun, tidak ada apa yang mustahil buat Chong Wei untuk mencipta kejutan ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China itu. Chong Wei sudah pastinya mahu mengekalkan rentak kecemerlanganya selepas berjaya muncul juara buat kali ketujuh Terbuka Malaysia. Sementara itu, beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong gagal mengikut jejak Chong Wei apabila terkandas pada aksi separuh akhir semalam. Kien Keat/Boon Heong tewas ditangan musuh tradisi mereka, Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan 22-20, 9-21, 10-21. Terbuka Korea Selatan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.2 juta (RM3.6 juta). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan