Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Skuad Raja megah

Posted: 09 Feb 2011 07:53 AM PST

SKUAD negara terus bernafsu untuk mencipta kejayaan dengan menjadikan Hong Kong mangsa terbaru apabila skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kemenangan pertama Malaysia selepas menjulang Piala Suzuki AFF Disember lalu itu diraih menerusi jaringan pada setiap babak oleh Safiq Rahim dan Mohd Amirulhadi Zainal.


Berikutan kecederaan pemain menyaksikan pengendali kebangsaan K Rajagobal membuat sedikit rombakan dalam skuad juara Piala Suzuki AFF itu dengan menurunkan dua pemain yang baru pulih daripada kecederaan, Mohd Aidil Zafuan Razak dan Ahmad Fakri Saarani.

Ketiadaan Amar Rohidan yang mengalami demam campak memberi laluan kepada pemain muda, K Gurusamy bertindak di bahagian tengah bersama Safiq Rahim yang kekal sebagai kapten.


Disaksikan hanya 5,000 penyokong setia Harimau Malaya di Stadium Shah Alam, aksi kedua-dua pasukan bermula agak perlahan dengan masing-masing seakan buntu mencipta peluang.


Bagaimanapun skuad negara yang lebih mendominasi permainan hampir memperoleh gol menerusi rembatan deras penyerang yang bakal berhijrah ke kelab Indonesia, Pelita Jaya FC Mohd Safee Sali namun percubaannya di minit ke-12 terkena tiang gol kanan Hong Kong walaupun penjaga gol, Yap Hung Fai sudah tertewas.

Malaysia lebih mengancam selepas itu, kali ini giliran pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli yang melakukan gerakan solo dan kemudian melintangkan bola di depan gawang pasukan lawat, namun Safee lambat tiba menyambar hantaran itu.


Penantian penyokong negara akhirnya terlerai di minit ke-43 apabila Safiq yang memulakan larian di sebelah tepi merampas bola daripada pemain pertahanan Deng Jinghuang sebelum melepaskan rembatan leret menerjah ke jaring.

Gol kedua negara dicipta menerusi pemain sayap Selangor, Amirulhadi yang melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan menewaskan Hung Fai untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Hong Kong.


Kemenangan itu menjadi detik manis buat Rajagobal buat menebus kegagalan apabila tumpas 1-3 di tangan Hong Kong di Kuantan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2004 ketika beliau menjawat tugas sebagai pengendali sementara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Fadzli tak kisah tanpa Safee

Posted: 09 Feb 2011 07:50 AM PST

PENYERANG Selangor, Mohd Fadzli Shaari tidak menganggap ketiadaan Safee Sali memberi tekanan dalam menajamkan lagi jentera serangan skuad kendalian K Devan itu.

Sebaliknya, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mahu membalas kepercayaan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), khususnya jurulatih yang memberi kepercayaan di barisan serangan.


Menurut Mohd Fadzli, ketiadaan Safee akan dirasai tetapi ia memberi lebih peluang kepadanya untuk mengetuai barisan serangan selepas berperanan sebagai pembantu.

"Pada dua perlawanan liga lalu, saya bertindak sebagai pembantu dan ketiadaan Safee akan meletakkan beban tugas akan lebih bertambah dalam usaha memburu gol.


"Saya tidak anggap ia tugas sukar memandangkan ketika bersama KL Plus musim lalu, saya memang bertindak sebagai penyerang dan berjaya menjaringkan 18 gol sepanjang musim lalu.


"Kepercayaan jurulatih sebagai penyuntik semangat untuk bekerja lebih keras untuk membantu Selangor mencipta kejayaan bermakna musim ini," katanya semalam.

Difahamkan, ketiadaan Safee memaksa Devan menggandingkan beberapa pemain termasuk Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal dan S Sritharan untuk bergandingan dengan Mohd Fadzli di bahagian depan.


Gandingan di bahagian serangan itu perlu segera dilakukan menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pada dua perlawanan lalu, Selangor tewas 0-2 kepada Kelantan sebelum bangkit mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perlis.


Dengan kepercayaan yang diberikan FAS, beliau berazam membantu pasukan itu mencipta kejayaan gemilang termasuk merampas kembali Piala Malaysia.


"Kejayaan menjaringkan 18 gol musim lalu, masing-masing 12 dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia (enam), membuktikan aksi penyudah masih lagi ada dan saya akan buktikan pada aksi Liga Super," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan