Utusan Online - Sukan |
Harrif terkilan tidak terpilih ke ACC Posted: Harrif terkilan tidak terpilih ke ACCOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat hanya akan bermula Rabu ini, namun sudah ada pelumba yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak terpilih. Tampil meluahkan perasaan terkilan adalah pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh yang menyangkakan dia akan dipilih mewakili skuad lebuh raya kebangsaan dan terkejut apabila namanya langsung tidak tersenarai. Pemenang tempat ketiga peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 itu menganggap, keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) adalah tidak adil sedangkan pemilihan perlu dikira berdasarkan prestasi semasa pelumba. Menurutnya, PKBM telah berjanji bahawa pemilihan pelumba ke ACC adalah berdasarkan prestasi semasa pelumba dan perlumbaan LTdL adalah medan terbaik untuk memilih pelumba kerana ia baru sahaja berakhir, Selasa lalu. "Bagaimanapun saya agak terkejut kerana tidak terpilih beraksi dalam skuad lebuh raya kebangsaan, sedangkan prestasi saya serta beberapa lagi pelumba lain di TSG termasuk Shahrul Mat Amin dan Mohd. Saufi Mat Senan begitu menyerlah di LTdL," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. Jelasnya, dia tidak pasti atas dasar apa pemilihan tersebut dilakukan, namun ia seperti usaha dan keputusan yang dicatatkan oleh pelumba TSG yang lain, kecuali Anuar Manan seolah-olah dipandang sepi. Shahrul merupakan pelumba terbaik Malaysia ketika di peringkat keempat dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands, manakala Saufi pula menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di puncak Genting Highlands pada peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands, yang mana kedua-duanya merupakan pendakian berstatus Hors. Selain itu Saufi juga muncul sebagai pelumba terbaik keseluruhan Malaysia di LTdL dengan menduduki tempat ke-31 daripada 117 pelumba. PKBM telah memilih enam pelumba yang bakal membawa cabaran acara lebuh raya di ACC, selain Anuar, lima lagi pelumba adalah Amir Mustafa Rusli, Mohamad Adiq Husainie Othman, Suhardi Hassan, Mohamad Rauf Nur Misbah dan Ahmad Fakrullah Alias. Bagaimanapun Harrif sama sekali tidak memperkecilkan kemampuan pelumba yang dipilih oleh PKBM untuk mengambil bahagian dalam kejohanan itu, cuma dia merasakan perlu ada penjelasan di atas pemilihan skuad lebuh raya kebangsaan. "Ia seolah-olah pelumba dari TSG seperti dianaktirikan dan setidak-tidaknya seorang pelumba dari pasukan ini dipilih ia sedikit-sebanyak mampu mengekalkan rentak kayuhan bersama Anuar, seperti apa yang kami buktikan di LTdL lalu," katanya pelumba kelahiran Terengganu itu. Tahun lalu skuad lebuh raya pulang dengan tangan kosong pada ACC yang yang berlangsung Emiriah Arab Bersatu (UAE). | ||
Azlan hampiri kejuaraan sulung Posted: Azlan hampiri kejuaraan sulung
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 negara, Mohd. Azlan Iskandar hanya selangkah lagi dipisahkan daripada menjulang kejuaraan antarabangsa pertamanya tahun ini selepas mara ke final Kejohanan Skuasy Bluenose Classic di Halifax, Kanada semalam. Azlan, 29, bagaimanapun perlu melepasi halangan terakhir jaguh Mesir, Hisham Ashour untuk membawa pulang kejuaraan pada kejohanan yang menawarkan AS$50,000 (RM160,000) itu. Semalam, Azlan menepati status sebagai pilihan kedua kejohanan apabila mudah menyingkirkan pemain bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Gilly Lane 11-6, 11-5, 11-5 dalam masa tidak sampai 40 minit. Hisham, pilihan ketiga pula dipaksa berhempas pulas sebelum mengetepikan cabaran seorang lagi pemain Amerika Syarikat, Julian Ilingworth 14-12, 11-9, 14-12. Azlan mungkin tidak memulakan kempen 2011 dengan baik apabila tersingkir seawal pusingan pertama dalam kejohanan pembuka tirai di New York bulan lalu, namun pemain No. 13 dunia itu memegang rekod kemenangan ke atas Hisham dengan menang kedua-dua pertemuan terakhir mereka. Kemenangan terakhir Azlan dilakar pada Cabaran NSC 2009, selain Terbuka Petrosport 2008. Bagaimanapun kedua-dua perlawanan berlangsung sengit, di mana Azlan menang dengan keputusan 3-1. Selepas dikecewakan di pusingan pertama Kejohanan Juara-Juara di New York, Azlan tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya mempamer aksi mantap dalam laluan memburu kejuaraan pertama tahun ini. Semalam, pemain kelahiran Sarawak itu menunjukkan permainan bertenaga sejak set pertama apabila mendahului 4-1, sebelum melebarkan kedudukan kepada 6-2 dan 9-2. Dia hanya diberi sedikit tentangan oleh Lane tetapi tiada masalah untuk menutup saingan dengan 11-6. Set kedua menyaksikan kedua-dua pemain melakukan banyak kesilapan. Lane mendahului perlawanan buat sementara pada kedudukan 3-2, namun tiada apa yang mampu dilakukan oleh pemain itu untuk menyekat permainan pantas Azlan, yang bangkit mengutip tujuh mata berturut-turut dan meninggalkan lawan 9-3. Lane cuba bangkit merapatkan kedudukan 9-5 tetapi Azlan pantas melajukan tempo permainan untuk kemenangan mutlak 11-5. Pada set penentuan, juara Asia itu meneruskan rentak cemerlang dengan bermula agresif seawal permainan untuk mendahului 3-0 dan 11-2, sebelum akhir mengesahkan kemenangan 11-5. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan