Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Fergie hati-hati

Posted: 27 Aug 2011 07:22 AM PDT

MANCHESTER, United Kingdom: Sir Alex Ferguson mengingatkan Manchester United perlu berwaspada dengan kebangkitan Arsenal apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam ini.

Juara bertahan itu memulakan kempen penuh bergaya dengan kemenangan berturut-turut manakala Arsenal pula hanya berjaya mengutip satu mata.


United mungkin mempunyai kelebihan lapan mata selepas perlawanan di Old Trafford itu tetapi Ferguson enggan mememandang mudah aksi itu.

Beliau sedar Arsenal dan pengurusnya Arsene Wenger kini terluka selepas permulaan hambar serta penjualan dua bintang, Cesc Fabregas dan Samir Nasri.


Namun, Feruson mengiktiraf kemampuan Arsenal selepas menewaskan Udinese untuk layak beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan ia pastinya menaikkan semangat pemain kelab itu.


"Mereka menjawab segala kritikan kerana ramai menyangka mereka akan tersingkir tapi saya tidak fikir begitu," katanya.

"Saya yakin mereka menang. Perlawanan hari ini menjadi satu lagi batu loncatan buat mereka.


"Mereka pasti cuba menang tapi prestasi kami baik dan tidak sabar menantikan perlawanan itu.

"Pertembungan ini selalunya hangat dan penting menentukan kedudukan liga pada hujung musim. Ia perlawanan yang sering dinantikan," katanya.


Wenger yakin zaman tidak berdisiplin kini sudah berakhir.


"Saya percaya kami lebih mantap Ahad ini dan mempamerkan persembahan hebat," katanya.


"Kami tertekan dan anda boleh rasakan suasana tegang dalam pasukan sebelum perlawanan menentang Udinese. Pada perlawanan pertama saya boleh rasakan kedudukan skuad terancam dan ia terserlah ketika menentang Liverpool.


"Semua itu sudah berakhir dan saya yakin anda akan melihat pasukan yang lebih meyakinkan di Manchester," katanya.


Pertahanan, Thomas Vermaelen menjalani ujian kecergasan tetapi Laurent Koscielny dijangka kembali manakala Tomas Rosicky dan Johan Djourou bakal kembali cergas. - AFP

Messi julang Barcelona

Posted: 27 Aug 2011 07:19 AM PDT

MONACO: Cesc Fabregas menjaringkan gol pertamanya buat Barcelona ketika juara Eropah itu mengetepikan cabaran Porto 2-0 untuk menjuarai Piala Super, semalam.

Fabregas, yang berpindah dari Arsenal dengan bayaran 29 juta euro (RM125.5 juta) awal bulan ini menjaringkan gol dua minit sebelum tamat perlawanan selepas diturunkan sebagai pemain gantian lapan minit sebelum itu.


Lionel Messi meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-39 ketika skuad gergasi Sepanyol itu menambah gelaran Piala Super Eropah selepas Piala Super Domestik, minggu lalu.

Porto, juara Liga Europa musim lalu menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Jorge Rolando dan Fredy Guarin dilayangkan kad merah pada hujung permainan. Jaringan Fabregas pasti dikenang sebagai antara yang tercantik pernah dijaringkannya.


Messi menyungkit bola melepasi barisan pertahanan untuk disambut Fabregas yang dengan tenang mengawal bola di dada sebelum melakukan voli melepasi Helton di gawang Porto.


Ia adalah jaringan pertama Fabregas selepas dia menjaringkan gol Arsenal ke atas Huddersfield dalam Piala FA Januari lalu.

"Terima kasih atas sokongan anda. Apa yang boleh saya ingati ketika ini adalah apa yang dilakukan Arsenal untuk karier saya. Pastinya akan saya kenang selama-lamanya," tulis Fabregas di laman Twitter selepas Barcelona memenangi Piala Super kedua dalam tempoh tiga tahun.


Messi menyumbang jaringan awal buat Barcelona di Stade Louis II apabila Porto kehilangan bola di bahagian tengah dan lenggokan tubuh Messi berjaya memperdayakan Helton sebelum menolak bola ke gawang.

Jurulatih Barcelona, Josep Guardiola memuji bintang Argentina itu.


"Kami semua tahu apa yang Leo mampu lakukan. Dia melakukan perkara hebat biarpun ketika latihan," kata Guardiola.


"Bila kami dalam perlawanan akhir, saya sedar kami boleh mengharapkannya. Pemain saya sungguh bangga. Mereka masih muda dan inginkan kejayaan," katanya. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan