Kosmo Online - Sukan |
Posted: 'Terima kasih KOAM'Oleh HELMI TALKAH
KEPUTUSAN Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang mahu menghantar Noraseela Khalid menjalani latihan di Afrika Selatan disambut baik oleh atlet 400 meter lari berpagar wanita negara. Bukan sahaja dapat menjalani latihan, malah Noraseela juga akan kembali mendapat khidmat bimbingan jurulatihnya sebelum ini, Henni Kriel seperti mana ketika dia berada di Afrika Selatan tahun lalu. Bagi Noraseela, KOAM telah melakukan satu keputusan yang bijak dengan menghantarnya ke Afrika Selatan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan. "Memang saya gembira selepas mendapat tahu KOAM akan menghantar saya menjalani latihan di Afrika Selatan dan ia merupakan satu keputusan yang bijak. "Apa yang lebih penting adalah saya kembali bersama dengan jurulatih saya sebelum ini Kreil. "Selepas pulang ke Malaysia pada Jun tahun lalu, saya sudah tidak mendapat bimbingan daripada mana-mana jurulatih dan hanya berhubung dengan Kriel menerusi emel sahaja. Ia ternyata yang sukar untuk saya. "Jadi... peluang menjalani latihan semula di Afrika Selatan kali ini akan saya gunakan sebaik-baiknya dalam usaha mempersiapkan diri sebelum menyerti Sukan SEA nanti," kata Noraseela. Sebelum ini, Noraseela meluahkan kekecewaannya selepas terpaksa menjalani latihan secara bersendirian sejak pulang ke Malaysia dari Afrika Selatan pada Jun tahun lalu. Malah, atlet berusia 32 tahun itu turut mengakui bahawa ia merupakan salah satu faktor utama mengapa dia gagal menyerlah pada Kejohanan Olahraga Trek dan Balapan Asia (ATF) 2011 di Kobe, Jepun pada Julai lalu. Turut bersama Noraseela ke Afrika Selatan ialah tiga lagi atlet yang turut layak ke Sukan SEA iaitu dua atlet 400 meter lari berpagar lelaki, Mohd. Firdaus Masalan dan Mohd. Baihaqi Razlan serta Rayzam Syah Wan Sofian (110 meter lari berpagar lelaki). Ditanya mengenai sasarannya pada Sukan SEA nanti, Noraseela menjawab: "Sudah pasti saya mahu mempertahankan pingat emas yang saya menangi di Loas pada 2009. "Maltamat utama saya adalah memenangi pingat emas. Bagi saya itu adalah lebih penting jika dibandingkan dengan catatan masa yang akan saya rekodkan nanti. "Sukan SEA bukanlah satu temasya yang besar malah atlet pun tidak ramai yang mengambil dalam acara saya ini. "Jadi memenangi pingat emas sudah cukup memberi kepuasan dalam diri saya," ujar Noraseela yang memiliki catatan peribadi terbaik 56.02 saat. Sebagai rekod, Noraseela berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Vientiane, Loas selepas mencatat masa 56.9 saat. | ||
Villas-Boas balas ‘serangan’ Lambert Posted: Villas-Boas balas 'serangan' Lambert
LONDON – Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas membalas kenyataan Paul Lambert selepas pengendali Norwich City itu mendakwa skuad kendaliannya sebagai 'kurang ajar'. Lambert hilang pertimbangan setelah mendakwa jurulatih kecergasan Chelsea, Jose Mario Rocha menyerang kawasan teknikal pasukannya ketika Norwich tewas 1-3 kepada Chelsea di Stamford Bridge malam kelmarin. Dakwa Lambert, Villas-Boas telah gagal mengawal para pegawainya sehingga membiarkan Rocha memasuki kawasan Norwich. Namun Villas-Boas bingkas menafikannya sambil menyatakan kepada Lambert bahawa beliau tidak dapat mengawal situasi tekanan ketika itu. "Saya tahu Lambert turut teruja bukan hanya dengan insiden itu. Ia sesuatu yang sukar untuk mengawal emosi ketika berada di bangku simpanan. "Tapi saya beranggapan ia sesuatu yang sangat pelik jika dia mengatakan bahawa pegawai pasukan saya tidak menghormati pasukan lawan. "Mungkin dia hanya mahu menunjukkan emosinya ketika itu, tetapi jika Lambert tidak dapat menerimanya, saya minta maaf," kata Villas-Boas. Terdahulu, Lambert memberitahu bahawa dia begitu berang dengan tindakan Rocha itu. "Saya tak tahu siapakah dia (Rocha), tetapi secara tiba-tiba dia masuk ke kawasan kami. "Saya tak biasa dengan suasana di Portugal tetapi jika dia memahami adat kami orang Scotland, pasti dia akan tahu apa yang saya maksudkan. "Dia tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian kerana ia umpama tidak menghormati lawan," jelas Lambert. Pada perlawanan tersebut, jaringan Frank Lampard dan Juan Mata memastikan tiga mata penuh milik Chelsea. Sebelum itu, Grant Holt berjaya memadam gol pendahuluan Chelsea menerusi Jose Bosingwa. – Agensi | ||
Liverpool tunjuk taring sebenar Posted: Liverpool tunjuk taring sebenarHENDERSON (dua dari kanan) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya selepas meledak gol pertama Liverpool ketika menentang Bolton di Anfield kelmarin. LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish tampil memuji barisan pemainnya selepas cemerlang membenam Bolton Wanderers 3-1 di Anfield awal pagi semalam. Jaringan Jordan Henderson, Martin Skrtel dan Charlie Adam memastikan Liverpool merampas seketika tangga teratas Liga Perdana England. Bolton pula berjaya memperoleh gol saguhati menerusi Ivan Klasnic pada masa kecederaan. "Ia suasana yang seronok untuk dilihat. Kami memperolehi keputusan ini kerana kami telah berkerja keras, beraksi sebagai satu pasukan dan masing-masing melaksanakan tanggungjawab. "Bolos satu gol pada 40 saat terakhir mungkin sedikit mengecewakan, tetapi para pemain telah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan," kata Dalglish. Biarpun tidak meledak gol pada perlawanan tersebut, penyerang utama Liverpool, Luis Suarez tetap mendapat pujian daripada rakan-rakan sepasukannya. "Pergerakannya cukup pintar. Dia sentiasa bergerak dan menyelinap daripada belakang pemain lawan. "Dia akan sentiasa memberikan mimpi ngeri kepada pemain pertahanan lawan," kata pemain tengah Liverpool, Henderson. Seorang lagi pemain tengah Liverpool, Stewart Downing pula berkata: "Kami semua tahu yang dia (Suarez) merupakan seorang pemain yang cukup hebat." "Dia mampu mencipta gerakan dan turut melakukan jaringan. "Dia telah mengharungi musim panas dengan aksi yang padat tetapi ia langsung tidak menjejaskan prestasinya." Liverpool kini mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan liga yang telah diharungi. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan