Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Asah bakat muda

Posted: 03 Dec 2011 07:59 AM PST

DEMI negara tercinta dan 'kegilaannya' dalam sukan badminton, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Peninsular Gold Limited, Datuk Sri Andrew Tai Yeow Kam atau lebih dikenali sebagai Andrew Kam sanggup melupakan peristiwa hitam yang hampir membantutkan cita-citanya itu.

Beliau sanggup membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun pernah 'dikhianati' badan induk badminton negara tiga tahun lalu ketika menjadi calon tunggal Malaysia bertanding merebut kerusi Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF).


Ketika ditemubual, isu itu enggan disentuh sebaliknya beliau lebih senang memperkatakan mengenai cita-cita besarnya melahirkan pemain yang mampu memenangi pingat emas Olimpik.

Beliau mengambil langkah membina kelab badminton KLRC sejak enam tahun lalu dengan memberi peluang kedua kepada pemain yang tidak mampu menyinar lagi bersama BAM selain menaungi ramai pemain antarabangsa seperti Saina Nehwal dari India dan Zhou Mi dari Hong Kong.


Kini arah tuju KLRC makin jelas sejak sensasi remaja Zulfadli Zulkifli, 18, menyertai kelab itu tiga tahun lalu.


"Kita sebuah negara kuasa badminton dunia tapi belum dapat menang walau satu pingat emas. Saya sekadar membantu mencapai hasrat itu dan bukan mahu menyaingi sesiapa," kata Andrew di pejabatnya di ibu negara.

"Kami di KLRC sudah merangka pelan untuk memastikan Zulfadli berada di landasan tepat membawa pulang pingat emas Kejohanan Dunia dan Olimpik.


"Saya harap dia mampu menjadi Datuk Lee Chong Wei yang seterusnya. Saya pasti selepas Olimpik London, ramai pemain ternama dunia akan bersara. Berapa lama lagi masa untuk Chong Wei dan Lin Dan bertahan dalam sukan ini.

"Waktu itulah yang paling sesuai untuk Zulfadli menonjol tapi saya tidak nafikan masih ada pemain yang baik di peringkat usia yang lebih tua daripadanya seperti Chen Long, Du Pengyu (China) serta Tommy Sugiarto, Yunus Alamsyah (Indonesia).


"Zulfadli sudah buktikan mampu mengejutkan pemain Denmark yang pernah mengatasi bekas pemain nombor satu dunia Peter Gade iaitu Viktor Axelsen di Kejohanan Remaja Dunia lalu. Ini adalah gambaran jelas perjalanan seorang juara dan saya amat puas dengan pencapaiannya.


"Bukan mudah untuk seorang pemain sepertinya menjuarai tiga gelaran dalam acara individu pada tahun yang sama iaitu Remaja Asia, Komanwel dan Dunia. Malah dia juga terpaksa bermain dalam semua perlawanan membabitkan acara berpasukan," kata Andrew dengan wajah ceria melihat program pembangunan KLRC mula menampakkan hasil.


Katanya Penaung BAM, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut tidak melepaskan peluang mengutus surat tahniah kepada pemain itu.


Justeru Andrew tidak mahu mencari hanya seketul jongkong emas dilahirkan KLRC. Pemilik syarikat cari gali emas itu mahu terus melahirkan bakat emas di masa depan.


KLRC kini merancang satu pertandingan mencari bakat baru remaja untuk diserap masuk ke dalam kelab itu.


"Saya tidak mahu selepas kita ketandusan pemain selepas Zulfadli. Saya merancang untuk melahirkan pemain yang menyerlah bakatnya sekurang-kurangnya setiap dua tahun kerana kita perlu membentuk bilangan pemain terkuat yang ramai.


"Lihat saja sekarang, kita hanya bergantung kepada Chong Wei. Bebanan dipikulnya amat tinggi jadi saya fikir lebih baik ramai pemain yang memikul tanggungjawab memasyhurkan negara berbanding hanya seorang." Kelebihan yang dimiliki KLRC tentunya kepelbagaian rakan 'sparring' yang terdiri daripada pemain antarabangsa.


Mereka memiliki 15 pemain yang bernaung di bawah KLRC ketika ini dan sedang menanti kehadiran juara remaja Afrika Selatan yang memohon untuk berada di bawah KLRC.


Malah usaha memperkuatkan pemain beregu juga giat dilakukan kerana KLRC kini sedang berusaha membawa masuk beberapa pemain beregu dari Indonesia untuk menjadi rakan 'sparring' kepada Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dan Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif.


Andrew juga menyimpan hasrat membina pusat latihan serba lengkap suatu hari nanti, tetapi sampai bilakah beliau mampu bertahan membantu negara melahirkan pemain badminton ternama tanpa bantuan sektor swasta lain? Satu tugas yang tentunya sukar buat beliau namun beliau sedar amat sukar untuk mengajak rakan penaja lain berkongsi usaha membangunkan badminton negara, namun jika ada yang sudi Andrew mengalu-alukan sokongan dari sektor swasta yang lain.

Full content generated by Get Full RSS.

Buru gelaran ketiga

Posted: 03 Dec 2011 07:53 AM PST

HAFIZH Syahrin Abdullah semakin hampir meraih kemenangan ketiga di litar Padang Kota Lama, Pulau Pinang apabila menguasai sesi ujian masa Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011, semalam.

Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline itu mencatat masa terpantas, 46.492 saat pada pusingan kesembilan untuk mengatasi Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing, kedua dengan catatan 46.936s diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) ketiga, 47.202s.


Hafizh, juara perlumbaan kategori Expert/CP130 pada tahun 2009 dan 2010 di litar ini puas hati dengan catatan yang dilakukannya.

"Saya berjaya memperbaiki catatan masa dilakukan dalam setiap sesi. "Keadaan jentera begitu baik dan kompetitif. Namun saya akan melakukan sedikit pertukaran terutama suspensi depan yang belum cukup selesa," jelas pelumba 17 tahun itu.


Hafizh yang akan bertindak selaku pelumba terakhir pada sesi Superpole bersedia menghadapi perlumbaan akhir dan berusaha mempertahankan kemenangannya di sini.


"Saya juga mahu mencatat masa sepusingan terpantas perlumbaan memadam catatan lama milik Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing). Selain itu, jika menang, saya meningkatkan kedudukan senarai keseluruhan di samping membantu melonjakkan kedudukan pasukan dalam senarai keseluruhan berpasukan. "Mengenai siapa yang mampu menghalang hasrat saya, ia bergantung kepada sesi Superpole esok kerana apa saja boleh berlaku." Dalam kategori CP115, selepas muncul pelumba terpantas pada pusingan lalu di Sepang, S Sasitharen sekali lagi muncul pelumba terpantas apabila mengungguli sesi ujian masa dengan catatan 47.916s.

Catatan pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu 0.052s lebih pantas berbanding catatan pendahulu keseluruhan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM yang mencatatkan masa 47,968s diikuti Mohd Farid Ahmad (Global Bike Rock Oil Racing), 48.102s.


Pelumba berusia 20 tahun itu berkata, keadaan jenteranya sama seperti di Sepang tetapi nasibnya tidak begitu baik dalam perlumbaan sebelum ini apabila terjatuh sewaktu perlumbaan akhir. "Saya mahu menebus kesilapan itu dengan meraih kedudukan podium di sini. Saya tidak akan melakukan sebarang perubahan terhadap jentera, cuma akan menukar strategi sewaktu perlumbaan bagi memastikan berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium," kata Sasitharen yang berjaya muncul naib juara Pusingan 8 di Melaka.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan