Kosmo Online - Sukan |
Posted: Fatehah hampiri Olimpik 2012FATEHAH Mustapha kini semakin hampir untuk menjadi pelumba basikal wanita pertama negara layak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia - Sukan Olimpik 2012 di London yang akan bermula Julai tahun depan. Berdasarkan prestasi semasa, Fatehah ketika ini berada pada landasan tepat untuk merealisasikan impian tersebut. Buktinya, dia kini muncul satu-satunya pelumba wanita dari Asia yang berjaya mengumpul mata bagi melayakkannya beraksi pada temasya berprestij dunia itu berbanding pencabar terdekatnya dari Hong Kong, Jepun dan China. Semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu tampil bergaya apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara keirin pada aksi final Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 2 di Cali, Columbia. Kejayaan itu sekali gus membolehkan Fatehah mengutip lima mata dalam misinya beraksi di bumi London kelak. Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, sekiranya Fatehah mampu mengekalkan rentak kecemerlangan tersebut tidak mustahil dia mampu menjadi pelumba wanita pertama negara beraksi pada Sukan Olimpik. "Mengikut peraturan yang ditetapkan, hanya dua pelumba yang mengutip mata tertinggi dalam satu-satu acara dari Asia layak beraksi pada Sukan Olimpik nanti. "Setakat ini, hanya Fatehah sahaja yang berjaya mengutip mata. Pencabar-pencabarnya dari Hong Kong, Jepun dan China masih belum memperoleh sebarang mata. Jadi, saya lihat peluang Fatehah kini sangat cerah. "Apa yang saya harapkan adalah Fatehah perlu bekerja keras selepas ini agar dia dapat memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik dalam setiap kejohanan yang menawarkan mata bagi membolehkan dia layak ke Sukan Olimpik," kata Naim ketika dihubungi Kosmo! semalam. Selain Fatehah, jaguh acara trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang turut mengumpul tujuh mata manakala seorang lagi pelumba, Josiah Ng (sembilan mata). Peluang buat pelumba-pelumba negara untuk terus mengumpul mata bakal hadir pada Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 3 di Beijing, China, Januari tahun depan dan Siri 4 di London sebulan kemudian. Percubaan terakhir buat semua pelumba untuk mengumpul mata bagi layak ke Sukan Olimpik ialah pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Melbourne, Australia pada April tahun depan. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: United kehilangan HernandezJAVIER HERNANDEZ BIRMINGHAM - Manchester United terpaksa membayar harga yang tinggi biarpun berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana England di Villa Park awal pagi semalam. Ini kerana, penyerang utama skuad The Red Devils, Javier Hernandez terpaksa diketepikan untuk tempoh selama sebulan selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya. Bintang muda Mexico itu terpaksa diusung keluar padang pada pertengahan babak pertama perlawanan selepas terbaring kesakitan akibat kakinya terseliuh. Ferguson berkata, Hernandez, 23, berkemungkinan tidak boleh diturunkan sepanjang bulan ini. "Hernandez mengalami koyak di bahagian buku lalinya dan terpaksa berehat untuk tempoh tiga atau empat minggu bagi menjalani rawatan pemulihan. "Ia merupakan satu berita buruk buat kami (United) tetapi kami masih memiliki skuad yang mantap biarpun tanpa Hernandez," kata Ferguson. Situasi itu sekali gus menyaksikan Hernandez tidak boleh diturunkan menjelang pertemuan menentang FC Basel pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Liga Juara-Juara awal pagi pada Khamis ini. Selain Hernandez, Ferguson turut kehilangan khidmat perancang tengah, Michael Carrick yang dikenakan hukuman penggantungan perlawanan. Terdahulu, pada aksi menentang Villa itu, tonggak pertahanan United, Phil Jones muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-20 sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad The Red Devils. Kemenangan itu juga menyaksikan anak-anak buah Ferguson terus mengekori rapat pendahulu carta liga, Manchester City. Ketika ini, United berada pada kedudukan kedua dengan mengumpul 33 mata, lima mata dibelakang City. "Kami memang berhak untuk menang pada pertemuan dengan Villa ini biarpun tidak dinafikan beraksi di Villa Park bukanlah satu tugas yang mudah buat kami. "Kami mengawal pergerakan bola dengan baik. Namun, pada babak kedua, ketumpulan jentera serangan telah mensia-siakan banyak peluang bagi menambah jaringan. "Jones merupakan tonggak pertahanan tengah yang hebat dan dia boleh beraksi di mana-mana posisi sekalipun," jelas Ferguson. - AFP Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Keputusan tak pentingOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
SEANDAINYA ada kata-kata 'sumbang' yang berhasrat mahu mengkritik pasukan Harimau Muda jika mereka tersungkur ketika 'berguru' di bumi Australia tidak lama lagi, lebih baik lupakan sahaja niat itu. Ini kerana pengendalinya, Ong Kim Swee langsung tidak peduli dengan apa juga keputusan yang bakal dicatatkan anak buahnya ketika berdepan cabaran tiga buah kelab elit di sana nanti sebagai persediaan mengharungi Liga Singapura (Liga-S) pada Februari tahun depan. Jika menang sudah tentu dianggap bonus, namun pada masa sama Kim Swee lebih teruja menjadikan aksi di sana sebagai medan terbaik menguji pemain baharunya seperti Sharil Saari (Terengganu), Syazwan Yusof (Kelantan) dan Nik Mohd. Syahrul Azim Nik Abd. Halim (Kelantan) termasuk pemain-pemain yang jarang diturunkan tidak kira sama ada ketika temasya Sukan SEA mahupun saingan kelayakan kempen Olimpik sebelum ini. "Apa juga keputusan tidak mustahak. Sudah tentu, peluang berdepan dengan tiga buah kelab elit di Australia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya menguji pemain baharu dan juga pemain yang jarang diturunkan sebelum ini. "Bagi saya, pengalaman yang diraih pemain ketika di sana adalah jauh lebih penting terutamanya bagi perancangan masa panjang menghadapi Sukan SEA 2013 (Myanmar) dan Sukan Asia 2014 (Korea Selatan), tambahan pula pemain saya masih muda dan perlu didedahkan dengan perlawanan-perlawanan antarabangsa yang bagus seperti ini," katanya kepada Kosmo! Kesemua senarai 30 pemain akan mula berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini sebelum dijadualkan berlepas ke bumi Kanggaru pada 10 Disember depan. Difahamkan, tiga buah kelab elit yang bakal ditentang Harimau Muda sepanjang 12 hari berada di Australia nanti ialah Mariners FC, Newcastle Jets FC dan Sydney FC. Untuk rekod, Mariners FC merupakan naib juara Liga Australia (Liga-A) pada musim lalu, sementara Newcastle Jets FC pula pernah layak ke suku akhir Liga-Juara-Juara Asia pada 2009. Reputasi Sydney FC juga dikhabarkan tidak kurang hebat apabila pernah mendapat sentuhan bekas tonggak Manchester United, Dwight Yorke, Juninho (Brazil) dan Kazuyoshi Miura dari Jepun yang pernah menyarung jersi The Sky Blues itu tidak lama dahulu. Kim Swee begitupun enggan mengesahkan ketiga-tiga kelab elit tersebut kerana masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara itu. Dalam pada itu, ada khabar gembira menyelubungi harapan dua tonggak yang digugurkan sebelum ini iaitu Nazirul Naim Che Hashim dan Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang masih berpeluang 'terbang' ke Australia apabila Kim Swee memberitahu masih belum menetapkan senarai akhir 30 pemain yang akan dibawa ke sana. "Saya akan menilai semula senarai akhir pemain selewat-lewatnya esok (hari ini) sebelum membuat keputusan memandangkan hanya akan menyisihkan pemain yang tercedera ataupun tidak berada di prestasi yang terbaik," katanya. Pasukan Harimau Muda yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini begitupun mengalami 'detik suram' di pentas kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia apabila tewas dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Jepun, Syria dan Bahrain sebelum ini. Mereka kini terperosok di tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan