Kosmo Online - Sukan |
Posted: Pingat emas terlepasOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
HASRAT dua pelumba negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa untuk menghadiahkan pingat emas dalam acara pecut lelaki dan wanita elit tidak kesampaian apabila masing-masing tewas di final pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, pagi semalam. Perubahan masa dalam jadual acara daripada pihak penganjur ACC 2012 jelas merencatkan perancangan dan fokus dua pelumba elit negara ini, sekali gus menghalang kontinjen negara menambah kilauan emas selepas Mohd. Edrus Yunos menyumbang pingat pertama pada hari kedua kelmarin. Ini bukan kali pertama jadual acara diubah pada saat-saat akhir dan sepanjang tiga hari pertandingan setakat ini, pihak penganjur turut gagal memaklumkan perubahan tersebut lebih awal kepada pasukan, sekali gus mencetuskan kekalutan kepada pelumba-pelumba yang mengambil bahagian melakukan persediaan dan memanaskan badan. Natijahnya, kekalutan pada hari ketiga semalam akhirnya memakan diri sendiri apabila Azizulhasni dan Fatehah yang masing-masing turun berdepan pelumba Jepun, Kazunari Atanabe dan pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze pada final acara pecut, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sahaja. Ketua Jurulatih negara, John Beasley kecewa dengan situasi yang mengganggu persediaan dan fokus dua pelumba kendaliannya itu sambil menyifatkannya sebagai satu kerugian yang besar buat Malaysia kerana terlepas dua emas semalam. "Bagi saya ia bukan salah pelumba kita. Azizulhasni dan Fatehah hanya mengikut masa yang dicatat dalam jadual asal yang diberikan kepada mereka," kata Beasley semalam. "Pihak penganjur tidak sepatutnya merombak jadual sesuka hati, kami faham tekanan dan kekangan masa yang dihadapi oleh mereka (penganjur), namun mereka sekurang-kurangnya memaklumkan perubahan masa jadual itu kepada semua pasukan lebih awal. "Jadi, Azizulhasni dan Fatehah terpaksa menjalani sesi pemanas badan dalam masa yang singkat berbanding lawan mereka, oleh itu ia telah menjejaskan henjutan dan kayuhan mereka dalam acara tersebut," ujarnya lagi. Azizulhasni, 24, tumpas dalam dua pusingan dalam aksi final tersebut kepada Watanabe yang mencatat 10.554 saat (pusingan pertama) dan 10.520s (pusingan kedua) manakala pingat gangsa pula dimenangi pelumba China, Zhang Lei. Fatehah, 23, yang memenangi gangsa dalam acara 500m ujian masa wanita elit kelmarin, turut akur kepada pelumba No. 1 Asia, Wai Sze dalam dua pusingan (12.058s dan 12.134s), sementara pelumba China, Shi Jingjing mengutip gangsa. Beasley bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Azizulhasni dan Fatehah semalam, malah jurulatih dari Australia itu turut optimis dua pelumba kelahiran Terengganu itu akan kembali fokus kepada acara kegemaran masing-masing iaitu Keirin yang berlangsung esok. "Walaupun mereka kalah hari ini (semalam), saya tetap gembira dengan prestasi mereka sepanjang kejuaraan ini kerana banyak peningkatan yang mereka pamerkan. "Mereka berdua masih berpotensi memenangi pingat emas dalam acara Keirin nanti, namun dengan syarat jadual pertandingan tidak diubah lagi kerana Fatehah akan turun dalam acara scratch sebelah pagi esok (hari ini) sebelum acara Keirin sebelah petang," jelas Beasley lagi. Sementara itu, trio pecut berpasukan lelaki elit, Muhd. Edrus Yunos, Mohd. Fattah Amri dan Muhd. Fakhruddin Dawood gagal menyumbang pingat selepas menduduki tempat kelima di belakang juara, China, diikuti Jepun, Iran dan Thailand. Selepas berakhirnya saingan hari ketiga ACC 2012 semalam, skuad elit negara setakat ini telah berjaya mengutip satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa. | ||
Posted: Harimau Muda temui 'penawar'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE WAN ZACK HAIKAL (kiri) bertindak cemerlang bagi membantu merencanakan gerakan pada aksi pembukaan Liga S kelmarin. NESTAPA sekali lagi dikecewakan Bahrain dalam 'skrip' yang lebih kurang sama ketika aksi kelayakan akhir Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C pada Ahad lepas ternyata telah dibuang jauh-jauh oleh anak-anak buah Ong Kim Swee. Apa tidaknya, mereka jelas menemui 'penawar' yang cukup mujarab apabila mencatatkan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Gombak United dalam aksi sulung Liga Singapura (Liga S) 2012 di Stadium Yishun malam kelmarin. Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Muda berjaya mendahului seawal minit ke-14 apabila rembatan kaki kiri Thamil Arasu terus menerjah jaring lawan. Gol kedua pasukan negara pula hadir menerusi tolakan mudah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang menyempurnakan hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor hasil sepakan percuma kapten, Mahali Jasuli pada minit ke-81. Menurut Kim Swee, kemenangan itu disifatkan sebagai pengubat kekecewaan tewas 1-2 kepada Bahrain sebelum ini yang menyaksikan peluang pasukannya untuk menjejaki temasya Sukan Olimpik London sudah pun tertutup rapat. Meskipun berdepan masalah beraksi di atas padang tiruan serta faktor kecergasan pemain yang agak meragukan gara-gara tidak mempunyai tempoh rehat yang secukupnya, Kim Swee gembira para pemainnya dapat mengatasi tekanan Gombak United, sekali gus mengutip tiga mata berharga. "Ia suatu permulaan yang bagus buat pasukan saya, sekali gus dapat mengubati kekecewaan dalam aksi kelayakan Olimpik sebelum ini. "Bagi saya, Liga S dilihat medan terbaik buat pemain memberikan aksi yang mengagumkan, terutamanya kepada pemain-pemain yang jarang diturunkan sebelum ini," katanya kepada Kosmo! selepas tamat perlawanan. Sebelum ini di Manama, percaturan jurulatih Bahrain, Salman Shareeda yang memasukkan beberapa pemain gantian pada penghujung permainan seperti mana ketika menewaskan pasukan negara 3-2 dalam pertemuan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November tahun lepas, sekali lagi berjaya menjerat anak-anak buah Kim Swee bagi menghidupkan semula sisa peluang ke London. Ketika mengulas mengenai persembahan gugup penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan yang beberapa kali melakukan kesilapan mudah yang nyaris dihukum penyerang Gombak United, Kim Swee menegaskan, pemain itu masih memerlukan masa untuk mempamerkan aksi sebenar. "Saya percaya Izham memiliki kemampuan." | ||
Posted: Perhitungan dua gergasiOleh KHAIRI MOHAMAD
SELEPAS kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini. Namun, apa yang pasti rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka dijangka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu. Pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh selepas kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini. Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tanpa berselindung mahu semua pemain Kelantan fokus serta memberikan persembahan yang terbaik dalam misi utama untuk merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga daripada pasukan Perak. Menurutnya, pertembungan kali ini juga membawa misi menebus maruah selepas Kelantan tewas dalam perlawanan Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim lalu. "Pemain perlu ingat, kita turun dengan misi melangsaikan hutang lalu. Biarpun ia sekadar tiga mata bukannya perlawanan merebut piala, namun kita tidak boleh tewas, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri. "Terengganu sebuah pasukan yang hebat dan mantap di semua posisi dan saya yakin semua pemain menyedari perkara tersebut. "Justeru, mereka perlu berusaha untuk membenam cabaran Terengganu kali ini," katanya ketika dihubungi semalam. Tambahnya, kehadiran penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey yang bergandingan bersama Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan. Katanya, Terengganu juga mempunyai pemain yang seimbang di segenap posisi terutama dua pemain kebangsaan di benteng pertahanan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi. "Muhammad Ghaddar dan Shakir Shaari mengalami sedikit kecederaan dan kita harap kedua-dua mereka mampu pulih dalam tempoh terdekat dan boleh diturunkan malam esok (malam ini). "Kita juga mengharapkan sentuhan Ghaddar akan lebih kemas dan mengharapkan gandingannya dengan Norshahrul Idlan Talaha mampu memusnahkan gawang lawan," ujarnya. Beliau juga menaruh harapan supaya pemain import yang beraksi di posisi pertahanan, Obinna Nwaneri dapat beraksi dengan baik dan memberikan impak kepada pasukan selain mampu menyaingi kelincahan Forkey Doe. Bagaimanapun, apa yang meresahkan beliau adalah faktor keletihan selepas para pemain terpaksa mengharungi tempoh penerbangan yang panjang selepas aksi menentang Sabah di Kota Kinabalu tempoh hari. "Mereka semua pemain profesional dan saya harap semua pemain dapat rehat secukupnya, makan dan tidur yang cukup untuk kembali cergas ketika menentang Terengganu. "Saya juga ingin mengambil kesempatan menyeru para penonton supaya menjaga disiplin dan tingkah laku. "Jangan melakukan provokasi, terutamanya kepada pemain sendiri kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan, malah merugikan pasukan," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan