Utusan Online - Sukan |
Azizulhasni, Fatehah terlepas emas Posted: Azizulhasni, Fatehah terlepas emasOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Perubahan jadual perlumbaan saat akhir pada hari ketiga Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam, meleburkan hasrat Mohd. Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa untuk meraih emas dalam acara pecut akhir. Kedua-dua pelumba yang berpangkalan di Melbourne itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan mengakui beraksi dalam keadaan tidak bersedia sepenuhnya akibat perubahan jadual pertandingan. Azizulhasni tewas kepada pelumba Jepun, Kazunari Watanabe manakala Fatehah pula tumpas kepada jagoan Hong Kong, Lee Wai Sze. Mengikut jadual asal, acara akhir pecut bermula pada pukul 11.30 pagi tetapi dilangsungkan sejam lebih awal. Menurut Azizulhasni, sebelum tiba ke velodrom, dia mula terbayangkan pingat emas setelah cemerlang pada peringkat separuh akhir menumpaskan pelumba China, Zhang Lei. "Namun sebaik sahaja tiba di velodrom dan menukar baju, jurulatih John Beasley memberitahu saya bahawa perlumbaan akhir akan berlangsung 20 atau 30 minit lagi. "Ini menyebabkan saya terpaksa memanaskan badan dalam keadaan kelam-kabut," katanya. Jelasnya, dia tidak dapat masa yang secukupnya untuk memanaskan badan kerana perlumbaan dijalankan pada pukul 10.30 pagi, iaitu sejam lebih awal berbanding waktu asal yang ditetapkan penganjur. "Kalau saya cukup masa untuk memanaskan badan badan dan beraksi seperti semalam (kelmarin) sudah tentu saya mampu meraih emas. Saya bukan hendak merungut tetapi sejak dari hari pertama masalah ini sudah berlaku. "Sepatutnya penganjur perlu profesional. Namun saya terima kekalahan ini, mungkin tidak ada rezeki, saya rasa sedih kerana keluarga saya datang. Apa pun saya akan buat yang terbaik dalam acara keirin," katanya. Fatehah berkata, sebaik tiba di velodrom pada pukul 9.30 pagi, dia dimaklumkan perlumbaan akan bermula dalam tempoh sejam lagi, sedangkan jadual asal 11.30 pagi dan tidak mempunyai masa untuk memanaskan badan. "Jadual ditukar penganjur pada saat akhir. Sepatutnya jika ada perubahan ia perlu dimaklumkan sehari sebelum pertandingan. Ia menyebabkan saya gagal mengulangi kayuhan seperti pada peringkat suku akhir dan separuh akhir, kerana kaki saya berasa berat," katanya. Kedua-dua pelumba akan beraksi pada pusingan awal keirin hari ini. | ||
Posted: Ummi sebak gagal beri emasOleh FERZALFIE FAUZI KUALA LUMPUR - Pelumba wanita remaja negara, Ummi Hamimah Mohamad gagal menahan rasa sebak kerana terlalu kecewa apabila pingat emas yang tampak mampu diraih akhirnya lebur ketika berentap dalam acara akhir pecut Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 semalam. Pelumba berusia 18 tahun itu tewas kepada An Hyeji dari Korea Selatan pada pusingan penentuan selepas kedua-duanya terikat 1-1 pada pusingan pertama dan kedua. Ummi Hamimah terpaksa mengambil masa untuk bertenang kerana sebak sehingga menitiskan mata ketika ditemubual wartawan. Dia bukan sahaja kecewa dengan kekalahannya, tetapi mengenangkan ibunya yang sanggup datang dari kampung, Dungun untuk memberi sokongan. "Saya akui taktik saya silap, saya sedih sangat, ibu (Rozita Chik) datang dari jauh memberi sokongan kepada saya, namun hanya sekadar pingat perak yang berjaya disumbangkan," katanya kepada selepas perlumbaan. Jelasnya, dia berazam untuk beraksi dengan labih baik pada perlumbaan keirin bagi menebus kekecewaan. "Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia, kerana gagal menghadiahkan pingat emas. Saya berharap sangat untuk menang perlumbaan ini kerana saya setaraf dengan pelumba Korea Selatan itu. "Pada pusingan pertama saya tersilap menggunakan gear yang berat, namun saya berjaya memenangi pusingan kedua selepas menukar kepada gear ringan, bagaimanapun pada pusingan penentuan saya memberi laluan kepada lawan untuk memintas," katanya. Pada pusingan ketiga Hamimah bertindak sebagai pendahulu manakala Hyeji mengejar, namun pada selekoh kedua dia terlalu membuka ruang dengan mengayuh ke bahagian atas trek, membolehkan lawannya memintas dan kekal kedudukan tersebut hingga tamat. "Jurulatih memberi nasihat kepada supaya kekalkan kedudukan saya sehingga tamat perlumbaan namun disebabkan terlalu gementar saya seperti terlupa pesanannya, " katanya. Skuad remaja negara turut meraih dua gangsa melalui Lauretta Eva Adrian dalam acara 500m ujian masa dan pecut berpasukan yang dibarisi Muhammad Fauzan Nor Azman, Malek Marcus McCrone, Muhammad Asri Suraizi Mat Riadzi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan