Utusan Online - Sukan |
Jawatankuasa khas siasat dakwaan Posted: Jawatankuasa khas siasat dakwaanOleh AIZAWATI AHMAD Mohd. Yunus Lasaleh (kiri) berdepan hukuman penggantungan selepas ujian sampel B miliknya disahkan positif. KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu merujuk kepada badan induk sukan itu di peringkat antarabangsa sebelum menjatuhkan sebarang hukuman berikutan sampel air kencing B salah seorang atlet kuartet 4x400 meter negara disahkan positif dadah, kelmarin. Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya telah pun menerima laporan rasmi daripada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Indonesia (Inasoc) yang menghantar keputusan penuh makmal menerusi emel, kelmarin. "Keputusan telah pun kita perolehi, jadi selepas ini terpulang kepada KOM untuk menentukan bentuk hukuman yang mana saya difahamkan atlet berkenaan boleh dikenakan penggantungan minimum selama dua tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam. Ini bermakna atlet olahraga terbabit, Mohd. Yunus Lasaleh berdepan hukuman penggantungan - minimum sekurang-kurangnya dua tahun oleh KOM selepas dia disahkan mengambil dadah jenis Metandienone Metabolite yang berfungsi untuk membesarkan otot-otot tubuh. "Bagaimanapun, KOM perlu berhati-hati menjatuhkan hukuman kerana badan induk olahraga antarabangsa serta Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) boleh mengemukakan bantahan jika hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan atlet," tegas Kok Chi. Kok Chi mengulas mengenai isu tersebut selepas mengambil kira kes yang menimpa atlet menembak negara, Bibiana Ng pada 2007 yang gagal melepasi ujian doping dan mendakwa terdapat dalang yang cuba menganiayai penembak berkenaan. Ekoran perakuan Bibiana itu bersama dua rakan sepasukan, jelas Kok Chi, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) telah membuat pertimbangan sendiri dan sekadar memberi amaran kepada atlet berkenaan. "Namun, keputusan itu tidak dipersetujui oleh badan induk antarabangsa dan juga WADA, lalu membawa kes tersebut ke mahkamah timbang tara dan Bibiana dikenakan penggantungan selama dua tahun," ujarnya. Justeru, beliau berkata, bagi menangani kes atlet olahraga itu yang turut mendakwa dia dianiaya, KOM perlu bijak untuk membuat keputusan agar hukuman yang dikenakan nanti tidak menerima bantahan daripada pihak antarabangsa termasuk WADA sendiri. Mengulas dakwaan terdapat campur tangan pihak ketiga yang mengarahkan atlet itu diberi ubat serta suntikan, Kok Chi memberitahu, satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut dan atlet berkenaan juga perlu mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaannya itu. |
'Karim patut diadili secara saksama' Posted: 'Karim patut diadili secara saksama'Oleh TAN MING WAI SHAH ALAM - Setelah didesak hebat, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas bagi mencari kebenaran tuduhan yang dilemparkan terhadap timbalannya, Datuk Karim Ibrahim. Menurut Shahidan, Karim tetap akan bertugas seperti biasa sepanjang tempoh siasatan dijalankan. Turut diwujudkan adalah jawatankuasa bagi menyiasat punca kegagalan atlet 4X400m, Mohd. Yunus Lasaleh dalam ujian doping ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu. Jawatankuasa doping akan dipengerusikan Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai manakala jawatankuasa siasatan kes Karim pula dikepalai seorang bekas hakim mahkamah tinggi yang bagaimanapun tidak dinyatakan identitinya oleh Shahidan. Isnin lalu, satu petisyen yang ditandatangani seramai 58 individu - 16 jurulatih dan 42 atlet telah diserahkan kepada Shahidan, meminta agar Karim disingkirkan. "Saya telah mengambil kira ketidakpuasan hati semua pihak dengan menubuhkan jawatan kuasa siasatan ini. Siasatan terperinci akan menentukan sama ada Karim salah atau tidak, bukan pemberita. Kita kena adil, Karim patut diadili secara saksama. "Kita akan juga memanggil doktor yang terbabit (doktor yang didakwa mempriskripsi pil pelbagai warna dan menyuntik Yunus) untuk menghadiri dan membantu pendengaran kes nanti "Mereka yang bersalah akan dihukum, tak kira siapa pun. KOM berharap segala-galanya akan dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu," kata Shahidan yang ditemui pemberita di Hotel Holiday Inn di sini, semalam. Beliau sebelum itu menghadiri perjumpaan dengan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi dan beberapa pegawai Institut Sukan Negara (ISN) bagi membincangkan isu Yunus yang ujian sampel B telah disahkan positif oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc). Karim yang turut kelihatan di situ, ketika dihampiri pemberita enggan mengulas lanjut. Dia sebaliknya hanya berkata: "Saya tidak mahu mengulas apa- apa. Saya menyerahkan hal ini kepada pasukan perundangan saya." |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan