BERITA baik buat pembaca setia Harian Metro dan peminat Cub Prix apabila sebuah kereta bakal menjadi hadiah utama Peraduan Keterangan Gambar Cub Prix bagi musim ini.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, peraduan dianjur bersama Promoter Kejuaraan Cub Prix Petronas Sprinta, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) itu dijangka menarik lebih ramai penyertaan berbanding musim lalu yang menyaksikan lebih 50,000 borang diterima.
"Jumlah penyertaan musim lalu jelas membuktikan Peraduan Keterangan Gambar Cub Prix Harian Metro ini makin mendapat sokongan peminat motosikal tempatan. Oleh itu, kami berasa sudah tiba masanya untuk menawarkan hadiah lebih menarik musim ini," katanya ketika berucap di majlis ringkas penyampaian hadiah kepada 10 pemenang Peraduan Keterangan Gambar Harian Metro 2011 di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad, semalam.
Hadir sama, Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Ahmad @ Salim Bachok, Pengarang Eksekutif (Berita) Othman Mamat dan Pengarang Sukan, Mohd Radzi Wahab.
Menyokong kenyataan Mustapa, Ron berkata, pihaknya memang merancang menawarkan hadiah lebih lumayan berbanding sebuah motosikal sebagai hadiah utama pada masa ini, berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima daripada peminat.
Malah, katanya, langkah itu bertujuan memeriahkan lagi suasana pertandingan Kejuaraan Cub Prix Petronas Sprinta berikutan musim perlumbaan 2012 dijangka lebih rancak dengan kehadiran lebih banyak pasukan dan pelumba dalam semua kategori dipertandingkan.
"Kami setuju menghadiahkan sebuah kereta kepada peserta yang memenangi hadiah utama selain hadiah lain yang tidak kurang menarik. Ia dilihat sebagai nilai tambah bagi peraduan ini yang menerima sambutan amat menggalakkan.
"Justeru, kami meletakkan sasaran peningkatan penyertaan dua kali ganda berbanding musim lalu. Bagaimanapun, mekanisma peraduan tetap sama dengan menggunakan konsep potong dan tampal," katanya. Peraduan Keterangan Gambar Cub Prix Harian Metro anjuran akhbar nombor satu negara ini diadakan sempena Kejuaraan Cub Prix Petronas Sprinta bagi memeriahkan suasana kejohanan serta mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap pertandingan utama sukan permotoran Malaysia.
Peraduan sebanyak 10 siri itu diadakan mengikut setiap pusingan Kejuaraan Cub Prix dengan borang penyertaan disiarkan di ruangan sukan, Arena Harian Metro.
0 ulasan:
Catat Ulasan