Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Dilema Zulfadli selesai

Posted:

Dilema Zulfadli selesai

Dilema Zulfadli selesai

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

ZULFADLI (kanan) menjawab soalan pemberita sambil ditemani bapanya, Zulkifli ketika hadir ke pejabat BAM di Bukit Kiara semalam.


TEKA-TEKI penyertaan juara badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkifli dalam sesi latihan pusat skuad negara akhirnya terjawab semalam.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mengenakan sebarang syarat kepada Zulfadli dan lebih penting, pemain berusia 19 tahun itu dibenarkan untuk menggunakan pakaian dan peralatan penajanya, FZ Forza pada setiap sesi latihan mahupun ketika menyertai kejohanan antarabangsa.

Kosmo! semalam melaporkan, bapa Zulfadli, Zulkifli Sidek mahu mengkaji dahulu syarat dan peraturan yang mungkin ditetapkan oleh BAM, terutamanya melibatkan pihak penaja anaknya itu.

Bagaimanapun, hasil pertemuan dengan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh di Bukit Kiara semalam, soal penajaan langsung tidak menjadi halangan kepada Zulfadli untuk mengikuti kem latihan badan induk badminton negara itu.

Zulfadli berkata, dia kini boleh mengikuti program latihan skuad negara sebagai persiapan menghadapi Piala Axiata yang bermula 23 Mac ini di Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Tiada masalah yang timbul berkenaan penajaan (FZ Forza) ketika saya menjalani sesi latihan atau beraksi pada kejohanan antarabangsa.

"Kami telah mengetahui peraturan penajaan yang ditetapkan dan ia akan berjalan seperti sebelum ini ketika saya beraksi pada Kejohanan Remaja Asia dan Dunia," kata Zulfadli semalam.

Bagaimanapun, selaku pemain yang bernaung di bawah Kuala Lumpur Racket Club (KLRC), Zulfadli berkata, dia hanya perlu mendapatkan kebenaran daripada majikannya itu sebelum menyertai latihan BAM.

"Selepas pertemuan dengan BAM hari ini (semalam), saya akan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada KLRC. Saya pasti ia tidak akan menjadi masalah.

"Saya akan kembali semula ke pejabat BAM esok (hari ini) untuk menjawab surat tawaran itu," katanya semalam.

Sementara itu, Zulkifli percaya dan yakin Zulfadli mampu mengikuti setiap program latihan yang dikendalikan oleh BAM.

"Saya tidak mempunyai masalah mengenai cara latihan BAM kerana saya sudah tahu kemampuan Zulfadli kerana saya telah melatihnya sejak berumur empat tahun.

"Saya tahu dari segi kemahiran Zulfadli, cuma dia perlu meningkatkan lagi tahap kecergasan fizikalnya," kata Zulkifli.

T-Team elak dilibas Bujang Senang

Posted:

T-Team elak dilibas Bujang Senang

T-Team elak dilibas Bujang Senang

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


FAIZ (kiri) menjadi senjata T-Team bagi merobek gawang Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.


SELEPAS hampir dua minggu berehat, aksi Liga Super kini kembali menghiasi pentas bola sepak tanah air apabila pasukan berstatus kelab, T-Team melayan kunjungan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Beraksi selaku tuan rumah, anak-anak buah Yunus Alif itu diramal mudah meraih tiga mata, sekali gus memungkinkan mereka melonjak ke tangga kedua liga.

Bagaimanapun, nada rendah diri tetap disuarakan Yunus yang mengakui standard tinggi yang dimiliki pasukan lawan dan mahu pemain-pemainnya tidak memandang mudah pertemuan malam ini.

Katanya, Sarawak merupakan sebuah pasukan yang memiliki semangat tinggi dan mampu menewaskan mana- mana pasukan dalam Liga Super.

"Memang kelebihan memihak kepada kami kerana kami akan bermain sebagai tuan rumah.

"Namun, itu tidak bermakna kami akan mengambil mudah perlawanan ini.

"Bagi saya, semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super memiliki kualiti masing- masing dan sesiapa sahaja boleh memenangi perlawanan," katanya kepada Kosmo!

Justeru kata Yunus, beliau mahu pemain-pemainnya menggunakan tempoh rehat yang panjang sebelum ini untuk tampil dengan corak permainan terbaik.

Jelasnya lagi, semua pemain T-Team kini berada pada prestasi terbaik termasuk perancang tengah, Zairo Anuar Zailani dan pemain sayap lincah, Faiz Subri.

"Hanya kita yang akan bermain pada Jumaat ini (malam ini), manakala pasukan- pasukan lain akan bermain pada keesokan harinya (Sabtu).

"Jadi, ini juga merupakan peluang untuk kami memintas pasukan-pasukan yang berada di atas kami sekali gus melonjakkan lagi semangat para pemain," katanya.

Untuk rekod, T-Team kini menduduki tangga kelima liga dengan 13 mata dan hanya dipisahkan empat mata di belakang pendahulu liga, Kelantan.

Mengenai percaturan pemain, Yunus menjelaskan, beliau masih memberi kepercayaan kepada Zairo untuk merencanakan jentera tengah bagi membuka peluang kepada Faiz dan Fazli Shaari menjaringkan gol.

"Zairo merupakan pemain yang baik dan setakat ini sahaja, dia telah meledak lapan gol dengan kebanyakannya terhasil menerusi sepakan percuma," tambahnya.

Bukan mustahil - Mackay

Posted:

Bukan mustahil - Mackay

Bukan mustahil - Mackay

Daripada NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


MACKAY berjaya menjulang nama Cardiff City sejak dilantik sebagai pengurus pada tahun lalu.


CARDIFF, Wales - Pengurus Cardiff City, Malky Mackay menyuarakan keyakinan bahawa suatu hari nanti pemain Malaysia akan beraksi di benua Eropah.

Meskipun ada pihak yang tidak yakin dengan situasi tersebut, pengendali skuad The Bluebirds itu tetap menganggap ia bukan suatu misi yang mustahil.

Bagaimanapun Mackay berkata, impian itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya para pemain Malaysia diberi latihan yang sewajarnya.

"Tidak mustahil pemain Malaysia akan bermain di Eropah tetapi ia bukan dalam tempoh terdekat. Ia mengambil masa yang panjang. Banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum impian ini menjadi kenyataan.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membentuk dasar yang baik di Malaysia. Selain pemain, jurulatih juga perlu dihantar ke Eropah untuk menjalani latihan dan pendedahan.

"Latihan secara berterusan dalam tempoh yang panjang, terutamanya dalam kalangan pemain-pemain muda perlu diadakan," kata Mac- kay kepada pemberita Malaysia di padang latihan kelab itu semalam.

Menurut Mac- kay, Malaysia perlu 'meniru' program pembangunan yang dilaksanakan di kelab Wales itu.

Ketika ini, terdapat 127 pemain muda menjalani latihan dalam program elit kelab itu, mana- kala seramai 50,000 pemain mengikuti program latihan yang diadakan di beberapa sekolah di selatan dan tengah Wales.

"Akademi Bola Sepak Cardiff City boleh dianggap sebagai 'kilang' yang membekalkan pemain berkualiti buat kelab kami pada masa hadapan.

"Di akademi ini, kami mewujudkan program pembangunan yang sistematik. Kami yakin, golongan pemain muda ini mampu menjadi pemain yang berkualiti sekiranya diberi latihan yang berterusan."

Mackay berkata, Malaysia mempunyai ramai pemain muda yang berkualiti tetapi bakat mereka tidak digilap sepenuhnya.

Lantaran itu, beliau berharap kerjasama yang dijalin antara dua negara iaitu Malaysia dan Wales (Cardiff City) mampu memberi impak serta pulangan yang positif.

Dalam masa yang sama, Mackay menegaskan, keputusan pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan dan pengerusi, Datuk Chan Tien Ghee menyambung kontraknya selama tiga tahun setengah baru-baru ini sebagai sesuatu yang mengejutkan.

"Saya yakin keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa perkara. Meskipun ia boleh dianggap sebagai satu bebanan, saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah tersebut.

"Kami telah berbincang mengenai projek jangka panjang, terutamanya berkaitan dengan program pembangunan yang membabitkan pemain muda di akademi kami.

"Kami mahu membentuk dasar yang baik kerana dengan cara ini kami dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkualti, sekali gus membantu kelab ini menjadi sebuah kelab yang digeruni pada masa hadapan," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan