Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Apa lagi drama BAM?

Posted: 04 Mar 2012 07:44 AM PST

APA lagi helah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan Mohd Arif Latif yang berada dalam senarai kelayakan Seluruh England, kejohanan berstatus Siri Super Premier ketika mereka menuntut pemain itu mendapatkan keputusan yang baik di peringkat antarabangsa sebelum badan induk badminton negara itu memutuskan senarai pemain yang akan memperkuat skuad Piala Thomas negara di Wuhan, China Mei depan.

Dikhabarkan pengguguran Arif itu disebabkan persembahan hambar pada pusingan kelayakan Piala Thomas, di Macau bulan lalu namun mengapa cuma Arif yang menjadi mangsa ketegasan BAM? "Saya dapat tahu digugurkan dari Seluruh England Sabtu minggu lalu, saya akui dengan hukuman itu tapi saya berang mengapa saya dihukum dua kejohanan dengan hanya menilai prestasi saya di satu kejohanan," kata Arif ketika dihubungi.


Selain Seluruh England yang akan bermula esok, Arif juga ditarik semula penyertaannya di Terbuka Switzerland yang akan berlangsung minggu depan.

Jika benar BAM mahu menjatuhkan hukuman mengapa mesti Arif seorang menjadi mangsa sedangkan Liew Daren juga gagal menyumbang mata kepada skuad negara dalam kempen kelayakan Piala Thomas lalu.


Malah pencapaian Arif sepanjang 2011 juga lebih baik berbanding Daren apabila melangkah ke separuh akhir GP Emas Terbuka Korea dan beraksi di final Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia, kejohanan yang turut disertai Daren dan Chong Wei Feng yang diserapkan ke Seluruh England.


Wei Feng yang berada di ranking dunia lebih rendah berbanding Arif berada dalam senarai simpanan pertama di Seluruh England, dengan tindakan menggugurkan Arif secara automatik Wei Feng layak beraksi di kejohanan berprestij itu meskipun sekadar pusingan kelayakan.

Dengan penggugurannya daripada dua kejohanan Eropah itu, Arif mula mengesan ada tangan yang cuba menafikan peluangnya beraksi di Piala Thomas kerana sebelum ini BAM berkata mahu menilai pemain terbaik untuk diserapkan ke dalam kejohanan berpasukan itu dan akan mengumumkan nama pemain terpilih pada akhir April.


"Saya kesuntukan masa dan kekurangan kejohanan untuk membuktikan kemampuan kerana saya hanya akan beraksi di GP Emas Terbuka Australia April depan." Apa yang berlaku pada Arif ini mungkin membenarkan khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini yang mengatakan dua jurulatih Rashid Sidek dan Tey Seu Bock serta pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei tidak "sebulu" dengan Arif.

Dikatakan wujud polemik antara Arif, Rashid, Seu Bock dan Chong Wei mengenai satu tuduhan terhadap pemain itu tanpa usul periksa sehingga menyebabkan Arif enggan berlatih dengan tiga individu penting dalam badan induk badminton negara itu.


Menjelang kelayakan Piala Thomas di Macau, Arif ada memohon kepada BAM meminta jurulatihnya Hendrawan turut di bawa ke Macau untuk melatihnya dan Muhd Hafiz Hashim namun BAM menolak.


Malah tindakan menggugurkan Arif dan memasukkan Wei Feng juga mungkin disebabkan BAM mahu Daren dan Wei Feng "sparring" bersama Chong Wei di sepanjang kejohanan di London, bukannya Arif.


Lebih mudah untuk diperkatakan lagi, Daren dan Wei Feng adalah anak didik Rashid sedangkan Arif dilatih Hendrawan.


Jika benar tindakan menggugurkan Arif sekalipun, apa rasional BAM menghukum pemain daripada menyertai sesuatu kejohanan hanya berdasarkan satu kejohanan, malah pemain seangkatan Arif sebelum ini juga pernah menyuarakan rasa tidak senang dengan peraturan itu.


Malah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong sendiri mempertikai tindakan BAM dengan berasakan badan induk badminton negara itu tidak tahu hala tuju.


"Arif lebih muda berbanding Daren dan Wei Feng malah BAM sudah banyak memberi peluang kepada dua pemain itu tapi tetap gagal membuktikan aksi yang baik di pentas antarabangsa. Mengapa mereka masih melakukan eksperimen ke atas dua pemain ini untuk mencipta masa depan gemilang?" kata Zolkples.


"Antara Arif dan Daren, kedua-duanya tidak boleh mengakui diri mereka lebih baik." Daren dan Wei Feng memasuki usia 25 tahun pada tahun ini sedangkan Arif dua tahun lebih muda berbanding mereka.



Mat Zan gusar

Posted: 04 Mar 2012 07:41 AM PST

GEMBIRA dalam duka, itu reaksi jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris apabila melihat aksi goyah pemainnya ketika bertemu Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin yang berkesudahan skuad dari Pantai Timur itu menang tipis 1-0 hasil jaringan Francis Forkey Doe.

Menurutnya, jika corak itu dijadikan ukuran, Terengganu bakal melalui laluan berliku untuk mencatat kemenangan pertama apabila bertandang ke Vietnam bertemu kelab Song Lam Nghe An, esok, dalam saingan Piala AFC.


"Saya gembira kerana kita dapat mengutip tiga mata penuh malam di laman lawan tapi melihat aksi goyah pemain, saya cukup risau dan kurang senang dengan perkembangan ini apatah lagi bakal bertemu kelab dari Vietnam itu.

"Sepatutnya rehat panjang sebelum ini perlu digunakan sebaik mungkin pemain untuk mempamerkan aksi bertenaga dan corak permainan berkesan, namun pemain gagal memikul tanggungjawab dengan baik.


"Pemain terutama jentera serangan gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan, begitu juga barisan tengah yang kurang berfungsi dengan baik dan kealpaan pemain pertahanan jelas kelihatan," katanya.


Selain itu, beliau juga hairan pemainnya gagal bermain dengan baik dan tidak konsisten selain mudah hilang bola serta terlalu membuka ruang kepada lawan berlegar dalam kawasan sendiri.

Bagaimanapun, Mat Zan yang pernah melakar kejayaan membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001 tetap optimis anak buahnya mampu bangkit mempamerkan aksi bertenaga apabila bertemu Song Lam Nghe An.


"Saya mempunyai pemain simpanan yang boleh diharapkan selain yakin kemampuan pemain yang disenaraikan mampu beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan itu nanti," katanya.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan