Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Proton gah di Sakhir

Posted: 22 Apr 2012 09:50 AM PDT

MANAMA: Selepas pasukan Mercedes AMG Petronas mengharumkan nama Malaysia apabila meraih kemenangan pada perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu China menerusi Nico Rosberg, semalam giliran Lotus Renault yang dimiliki oleh Proton pula menyerlah di Bahrain apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Pada perlumbaan semalam yang dimenangi juara dunia dua kali, Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull Renault, Kimi Raikkonen yang hanya bermula dari petak ke-11 mempamer pemanduan cemerlang untuk menduduki tempat kedua dengan hanya ketinggalan 3.3 saat di belakang Vettel.


Sementara rakan sepasukannya yang juga muka baru dalam F1, Romain Grosjean di tangga ketiga sekali gus podium pertama untuknya selepas bermula di petak ketujuh.

Bagaimanapun bagi Raikkonen, podium kedua yang dimenanginya semalam masih belum cukup untuk memuaskan hatinya meskipun ia adalah kejayaan terbesar buatnya setakat ini selepas melakukan penampilan semula pada saingan F1.


"Saya sedikit kecewa kerana ada melakukan kesilapan pada awal perlumbaan, namun selepas itu segala-galanya tampak berjalan lancar dengan berjaya memotong satu persatu kereta lain.


"Saya rasa kami sepatutnya mampu memenangi perlumbaan ini, tapi podium kedua sudah cukup bagus selepas melalui minggu yang agak sukar kerana jentera kami tidak berada pada prestasi 100 peratus," katanya.

Sementara bagi Grosjean, tiada yang mampu diungkapkan selain mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana berjaya membantunya meraih podium pertama pada saingan F1.


"Sudah tentu saya amat gembira dengan kejayaan ini. Kami tahu kami mempunyai jentera yang kompetitif, cuma segala-galanya bergantung kepada strategi pasukan," katanya.

Kejayaan kedua-dua pemandu itu menyaksikan Lotus Renault kini naik ke tangga ketiga kategori pengeluar dengan meraih 57 mata sementara Raikkonen mengumpul 34 mata untuk menduduki tempat ketujuh kategori pemandu, diikuti Grosjean kelapan dengan 23 mata.


Ketika Vettel meraih kemenangan pertama musim ini, rakan sepasukannya, Mark Webber menduduki tempat keempat manakala Rosberg yang memenangi GP China sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.




Hazwan teruja

Posted: 22 Apr 2012 09:32 AM PDT

PELUANG penyerang muda negara, Ahmad Hazwan Bakri untuk tampil di pentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya buat kali pertama kini terbuka luas apabila dia dipanggil menjalani latihan pusat kendalian Datuk K Rajagobal bagi persiapan menghadapi Sri Lanka, Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

Pemain berusia 20 tahun itu mula mendapat perhatian Rajagobal selepas aksi cemerlangnya mengemudi jentera serangan Harimau Muda A dalam kempen Liga Singapura (Liga-S) musim ini.


Biarpun teruja dengan peluang yang diberikan itu, Hazwan, bekas pemain Kuala Lumpur, sedar saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bukan mudah jika dia tidak memberikan aksi terbaik.

"Ini kali pertama saya dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dan saya rasa cukup bertuah diberikan peluang ini. "Bagi saya saingan merebut tempat bukan mudah kerana ramai penyerang yang bagus.


"Tapi saya percaya, jika saya berusaha bersungguh-sungguh pasti suatu hari nanti saya boleh menyarung jersi kebangsaan," katanya.


Selain Hazwan, Rajagobal turut memanggil penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali, Azamuddin Mohd Akil (Pahang), Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan).

Dan kehadiran Safee dianggap tonik tambahan buat Hazwan yang mengimpikan bergandingan dengan penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu.


"Memang saya meminati Safee, cara permainan dia, kalau diberikan peluang memang saya ingin beraksi bersamanya," jelas Hazwan.

Bagaimanapun di sebalik keyakinan itu, pemain yang mendapat bimbingan jurulatih Ong Kim Swee itu tetap berdoa badi buruk yang menimpanya apabila kerap mengalami kecederaan sebelum ini tidak berulang.


"Sebelum ini saya mengalami kecederaan hamstring dan terpaksa berehat selama lebih sebulan. "Jadi saya harap kecederaan ini tidak berulang," katanya yang turut terlepas peluang beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara ketika muncul juara Sukan Sea Indonesia tahun lalu.


Sebaik pulih daripada kecederaan dan beraksi semula Mac lalu, Hazwan yang berasal dari Labuan berjaya meledak tiga gol dalam empat perlawanan untuk membantu Harimau Muda A di tangga kelima liga.


Skuad negara memulakan latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya, Jumaat lalu dan bakal beraksi dalam perlawanan berstatus A kedua tahun ini menentang Sri Lanka selepas seri 1-1 dengan Filipina di Manila, 29 Februari lalu.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan