Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Percaturan saat akhir buah hasil

Posted: 29 Apr 2012 09:07 AM PDT

SELEPAS Bertam Ulu FC muncul juara saingan Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro di Zon Tengah, bulan lalu, kelmarin giliran Gelombang FC B pula membuktikan keunggulan mereka apabila mengungguli Zon Timur di Sports Planet Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pada aksi final karnival yang dibawa Kumpulan AmBank, pasukan dari Terengganu itu menundukkan DJ Square A menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.


Kemenangan itu bermakna, Gelombang FC B membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala DJ Square A terpaksa berpuas hati sebagai naib juara untuk meraih RM3,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik Polo Utd yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.


Pengurus pasukan Gelombang FC B, Yahaya Mohd Noor berkata, pasukannya memang tidak menyangka mampu menjuarai saingan Terbuka Lelaki kerana sasaran awal hanyalah untuk menempah tiket ke Grand Final.


"Sebelum perlawanan kami sedar DJ Square sememangnya sebuah pasukan yang bagus, tapi dengan semangat tinggi serta sedikit pengalaman, akhirnya kami dapat memenangi perlawanan akhir ini.

"Sebagai pengurus pasukan, saya hanya meletakkan sasaran untuk layak ke Grand Final saja kerana persiapan untuk pasukan ini tidak dapat dilakukan dengan sempurna.


"Memandangkan pasukan Gelombang mempunyai tiga wakil di sini iaitu Gelombang A, B dan C, kami terpaksa memilih pemain pada saat akhir dengan menggabungkan pemain berpengalaman serta amatur untuk Gelombang B.

"Tapi nampaknya percaturan saat akhir kami menjadi dan kecemerlangan ini diharap dapat diteruskan pada saingan Grand Final nanti," katanya.


Selain Gelombang FC B, DJ Square A dan Polo Utd, lima lagi pasukan yang mengesahkan tempat ke Grand Final adalah Gelombang FC C, Gelombang FC A, DJ Square B, Labu Sayong dan Bari FC.


Zon Timur adalah edisi ketiga Karnival Futsal Harian Metro yang berjaya menarik ribuan pengunjung untuk hadir bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.


Kelebihan laman sendiri

Posted: 29 Apr 2012 08:59 AM PDT

BERAKSI di halaman sendiri memberi kelebihan buat Elly Idzlianizar Ilias untuk meraih kemenangan sulungnya musim ini dalam kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2012 di litar Stadium Utama, Kangar, semalam.

Selain kemenangan peribadi pertama musim ini, Elly turut menghadiahkan gelaran juara pertama buat pasukannya, Suzuki Fortyone Racing dalam kancah saingan kategori perdana.


Elly menamatkan perlumbaan 15 pusingan itu dengan catatan masa keseluruhan 11 minit 31.487 saat mengatasi dua pelumba Faito Motobert Racing, Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Fuad Baharudin. Fazrul menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan masa 11:34.583s manakala Fuad di kedudukan ketiga, 11:35.502s.

Bagi Elly, tiada apa yang lebih manis baginya selain berjaya menghadiahkan kemenangan kepada pasukan dan ahli keluarga serta peminat yang hadir memberikan sokongan.


"Beraksi di laman sendiri membakar semangat dan menambahkan keyakinan saya. Tambahan pula saya tidak mahu mengecewakan sokongan dan harapan mereka. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik sejak saingan pusingan pertama lagi," jelas Elly yang menunggang jentera Suzuki buat musim pertama sepanjang penglibatannya dengan kejuaraan ini.


Mengulas mengenai perlumbaan, Elly berkata: "Keadaan litar licin akibat hujan memberi banyak kelebihan kepada saya memandangkan saya memang cukup gemar beraksi di atas litar basah. Jika diukur dari segi prestasi jentera, sebenarnya keadaan kami semuanya hampir sama saja jadi saya menggunakan kelebihan litar basah untuk mengatasi pelumba lain terutama sewaktu memintas Fazrul pada pusingan keempat," jelas Elly.

Kemenangan Elly bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dalam senarai keseluruhan sekali pun juara Pusingan 2 di Kuala Terengganu itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.


Azlan kekal teratas dengan mengumpul 54 mata diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua dengan 66 mata. Fuad yang mempamerkan prestasi konsisten dengan berada di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan musim ini berada di tangga ketiga, 38 mata.

Sementara itu dalam kategori CP115 menyaksikan Mohd Amirul Ariff Musa akhirnya meraih kemenangan pertama dalam karier perlumbaannya sejak mula beraksi pada 2008.


Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 9:39.338s meninggalkan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) di kedudukan kedua, 9:41.741s diikuti Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga, 9:43.126s.


Mengakui begitu gembira dengan kemenangannya, Amirul berkata: "Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang banyak membimbing saya selama ini hingga akhirnya berjaya meraih gelaran juara kali pertama di sini. Begitu juga dengan sokongan ibu bapa yang terus memberikan dorongan terhadap karier perlumbaan saya," jelas pelumba berusia 21 tahun itu.


Kemenangan itu melonjakkan Amirul ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan 36 mata. Mohd Iskandar Raduan (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan kekal mendahului senarai dengan memungut 53 mata manakala Ahmad di tangga kedua dengan 46 mata.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan