Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tiada semangat patriotik

Posted:

Tiada semangat patriotik

Tiada semangat patriotik

Oleh NORZASRUDIN
MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN pemain remaja tidak mahu hadir menjalani latihan apabila dipanggil menyertai skuad negara. - Gambar hiasan


PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak pernah mengabaikan usaha mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili skuad negara pada masa hadapan.

Bagaimanapun, sikap mementingkan diri dan tidak memiliki semangat patriotik dalam kalangan pemain dikenal pasti sebagai punca kegagalan melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat dan berwibawa.

Masalah mula timbul apabila para pemain terbabit gagal hadir apabila dipanggil untuk menjalani sesi pemilihan.

Lebih mengecewakan, pelbagai alasan yang diberikan meskipun mereka telah terpilih untuk mewakili skuad sepak takraw negara.

Situasi itu jelas sekali mengecewakan Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad (gambar kecil) yang memandang serius masalah tersebut.

"Selain boleh menyumbang kepada kemerosotan prestasi di pentas antarabangsa, ia juga menjejaskan kedudukan skuad negara dalam ranking dunia.

"PSTPs berasakan bahawa PSM di bawah kepimpinan yang ada telah melakukan yang terbaik dan berusaha keras untuk mela- hirkan pemain berwibawa.

"Mereka (PSM) telah mengambil inisiatif yang proaktif bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk melahirkan barisan pemain muda sebagai pelapis kepada skuad utama negara.

"Ini terbukti dengan wujudnya banyak kejohanan pada peringkat kebangsaan dan pelaksanaan program pembangunan di negeri- negeri yang melibatkan latihan pemain secara sistematik serta kursus-kursus bagi melahirkan ramai jurulatih bertauliah.

"Dengan adanya pelbagai kejohanan pada peringkat kebangsaan, ditambah dengan program pembangunan secara berterusan di setiap negeri, ia akan menjadi pemangkin dalam melahirkan pemain muda berbakat," kata Syed Azmir.

Beliau berkata, PSTPs berasa amat kesal kerana ramai pemain muda yang berpotensi tinggi pada peringkat negeri tetapi enggan beraksi pada kejohanan kebangsaan.

Ini kerana, para pemain terbabit takut dilabel sebagai pemain 'berstatus negeri', sekali gus menghalang mereka daripada bermain pada kejohanan peringkat negeri.

Mereka lebih gemar bermain pada kejohanan pada peringkat kampung dan negeri yang membolehkan mereka mengumpul hadiah wang yang tidak seberapa.

Sikap negatif pemain ini juga telah menular kepada pemain bertaraf negara yang enggan melaporkan diri bagi mewakili Malaysia serta sering gagal menghadirkan diri apabila dipanggil untuk sesi pemilihan peringkat kebangsaan.

"PSTPs menggesa agar pemain yang boleh dilabel sebagai jaguh kampung tersebut tidak dibenarkan sama sekali untuk beraksi pada kejohanan pada peringkat negeri.

"Ini kerana, penglibatan mereka dalam sukan ini seakan-akan tidak ada mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas.

"Sepatutnya, setiap pemain sepak takraw yang berasakan bahawa mereka memiliki kemahiran dan kemampuan luar biasa perlu berazam untuk mencapai ke tahap yang paling tinggi.

"Dengan kata lain, mereka perlu berazam untuk mewakili negara demi memelihara dan mengembalikan maruah sukan sepak takraw pada masa hadapan.

"Setiap kali PSM menganjurkan kejohanan, kita dapat melihat ramai muka baharu yang begitu menyerlah dan berpotensi tinggi untuk menggalas cabaran negara.

"Namun selepas selesai kejoha- nan, mereka tidak bersikap serius untuk menyumbangkan tenaga kepada negara. Ini amat menyedihkan," katanya.

Menurut Syed Azmir, PSTPs juga menyelar segelintir badan sukan di negara ini yang tidak menghormati PSM sebagai badan induk sepak takraw negara.

PSTPs berpendapat bahawa pihak tersebut mestilah tahu akan batasan tugas dan tanggungjawab masing-masing demi memastikan PSM dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan mampu mencapai objektif yang opti- mum.

PSTPs juga menggesa pihak terlibat agar tidak membelakangkan peranan PSM hanya semata-mata untuk membela pihak tertentu yang berkepentingan dengan mereka.

Sekiranya semua pihak tahu peranan masing-masing dan akur serta menghormati autoriti dan kredibiliti yang ada pada PSM, pencapaian sukan sepak takraw akan lebih membanggakan pada masa hadapan.

Dengan kata lain, membantu PSM amat dialu-alukan tetapi jangan mencampuri bidang tugas yang sepatutnya disempurnakan oleh PSM.

Kesimpulannya, pemain muda yang berbakat besar dan memiliki kemahiran tinggi mestilah tahu matlamat dan hala tuju mereka apabila menceburi sukan sepak takraw secara serius supaya penat lelah dan komitmen mereka tidak akan menjadi sia-sia.

Piya tak sabar beraksi

Posted:

Piya tak sabar beraksi

Piya tak sabar beraksi

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


BADRI sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.


KAPTEN pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi atau Piya yang baru sahaja pulih dari- pada kecederaan, mengakui sudah tidak sabar untuk kembali beraksi pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Piya yang sebelum ini mengalami kecederaan pada aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu, 21 April lalu dilihat sudah menjalani latihan bersama The Red Warriors di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pasir Tumboh dekat Kota Bharu semalam.

"Alhamdulillah, kecederaan yang dialami hanya melibatkan ketegangan urat sahaja dan ia hampir sembuh.

"Pertemuan ini cukup penting buat Kelantan kerana ia akan menentukan sama ada kita layak beraksi di pentas akhir Piala FA musim ini atau tidak," katanya ketika dihubu- ngi semalam.

Mengulas mengenai pertemuan kedua di Stadium Darul Aman malam ini, Piya memberitahu, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dalam perlawanan tersebut.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini. Pertemuan kedua ini pasti menjanjikan aksi yang sengit, mahu tidak mahu kita kena bersedia untuk perlawanan ini.

"Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik dalam pertemuan ini walaupun turun tanpa beberapa tonggak seperti Mohd. Daudsu Jamaluddin dan S. Subramaniam," ujarnya.

Tambahnya, ketiadaan dua tonggak itu tidak menjejaskan persiapan pasukan memandangkan Kelantan mempunyai pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan oleh pemain tersebut.

Pemain kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu ini berkata, dia dan rakan-rakanya bertekad untuk mendapatkan jaringan awal bagi menyuntik moral rakan-rakan sepasukan pada pertemuan tersebut.

"Walaupun mereka dilihat mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri, namun saya dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah.

"Kelibat Khryil Muhymeen Zambri perlu diawasi jika kita tidak mahu kecewa pada pertemuan tersebut dan dia seorang pemain yang cukup bahaya buat Kelantan, termasuklah serangan balas mereka," jelasnya.

Pada pertemuan separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 21 April lalu, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.

Iba FC kuasai saingan siri ketiga

Posted:

Iba FC kuasai saingan siri ketiga

Iba FC kuasai saingan siri ketiga


PASUKAN yang menjuarai kategori bawah 16 tahun bergambar kenangan dengan Pengurus Acara dan Penjenamaan Nestle Products Sdn. Bhd. cawangan Pantai Timur, Noor Misbah (berdiri tengah).


SIRI ketiga Karnival Futsal Milo Hidup Bola musim 2012 berlangsung di gelanggang futsal Masterscaff Paka, Dungun Terengganu hujung minggu lalu.

Seperti biasa, sambutan cukup menggalakkan dengan penyertaan daripada 72 pasukan yang bersaing dalam kategori bawah 12 dan 16 tahun.

Jumlah tersebut merupakan satu peningkatan, berbanding hanya 64 pasukan yang turut serta pada edisi tahun lalu.

Ia satu petanda baik bagi pembangunan sukan futsal pada peringkat akar umbi.

Yang menarik pada edisi di Terengganu ini ialah pasukan sejauh dari Lembah Klang, Pahang dan Kelantan turut serta dengan harapan dapat menempah tempat lebih awal ke Grand Final.

Seperti biasa, karnival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai ibu bapa bagi memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka, malah ada antara mereka tampil menjadi pengurus dan jurulatih pasukan.

Ini membayangkan kekuatan asas dalam perkembangan sukan telah wujud.

Karnival Futsal Milo ini akan diadakan di setiap negeri dan mengandungi 14 siri yang akan diadakan pada setiap hujung minggu sehingga pusingan Grand Final.

Sebanyak 32 pasukan terbaik dalam kedua-dua kategori akan berentap pada Grand Final nanti bagi memburu hadiah lumayan berjumlah RM15,000 untuk juara, naib juara RM10,000 dan tempat ketiga dan keempat RM7,000.

Dua pasukan teratas daripada setiap siri layak secara automatik ke Grand Final.

Pada saingan di Terengganu hujung minggu lalu, pasukan Iba FC dari Kota Bharu, Kelantan muncul juara bagi kategori bawah 12 tahun selepas menewaskan Sinaran Muda FC B dari Kerteh, Terengganu pada perlawanan akhir.

Iba FC menewaskan Sinaran Muda FC B 3-0. Bagi kategori bawah 16 tahun pula, Ed United dan No Name FC menempah tiket ke Grand Final.

Ed United muncul juara selepas menewaskan No Name FC 2-1 pada perlawanan akhir.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn. Bhd., Ng Ping Loong menjelaskan, beliau berpuas hati dengan sambutan yang telah diberikan oleh para peserta.

"Jumlah penyertaan juga semakin meningkat berbanding tahun lalu. Mutu permainan juga semakin memberangsangkan dan ini suatu petanda yang menggalakkan untuk mempertingkatkan kualiti sukan futsal pada masa akan datang," kata Ping Loong.

Siri keempat karnival ini akan berlangsung di Kangar, Perlis hari ini dan sudah pasti empat lagi pasukan ke Grand Final akan diketahui.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan