Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Hadiah terbaik

Posted: 26 May 2012 03:11 PM PDT

MADRID: Barcelona memberikan hadiah perpisahan paling sempurna buat jurulatih, Pep Guardiola semalam selepas membelasah Athletic Bilbao, 3-0 di Madrid untuk menjuarai Piala Raja Sepanyol dalam perlawanan terakhir dikendalikan jurulatih itu selepas empat tahun bersama skuad gergasi Catalan itu.

Lionel Messi yang menjaringkan gol ke-73 musim ini dan jaringan berganda Pedro Rodriguez menamatkan saingan skuad Basque pada babak pertama sekali gus menganugerahkan trofi ke-14 buat Guardiola.


Selaku pengurus, Guardiola meninggalkan pasukan yang pernah diwakilinya sebagai pemain dengan menjulang tiga gelaran liga Sepanyol, dua Liga Juara-Juara, dua Piala Kelab Dunia Fifa, dua Piala Super Uefa, tiga Piala Super Sepanyol dan dua Piala Raja Sepanyol.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan Guardiola menjulang trofi pertamanya pada final 2008-09 apabila skuad Catalan membelasah Bilbao, 4-1.


Guardiola tidak pernah tewas kepada Bilbao, menang sepuluh daripada 15 perlawanan antara kedua-dua kelab itu yang mengumpul paling banyak gelaran Piala Sepanyol, apabila Barca meraih 26 gelaran berbanding Bilbao, 23 kejuaraan.


Selepas itu, jurulatih berusia 41 tahun dari Santpedor, 70 kilometer dari Barcelona meluahkan kegembiraan dan menyatakan mengenai sumbangan Messi sepanjang dia mengendalikan kelab itu.

"Empat belas gelaran dalam empat tahun satu standard paling tinggi dan saya gembira meninggalkan kelab ini di kedudukan terbaik dan malam ini kami bermain dengan baik sepanjang 35 minit pertama, kami menempuhi tahun cemerlang dengan empat gelaran musim ini. Saya tinggalkan kelab ini dengan rasa puas," katanya.


"Daripada Messi saya belajar menjadi lebih kompetitif. Tanpanya kami tidak akan memenangi gelaran sebanyak ini dan saya bangga menjadi jurulatih pemain paling hebat pernah saya temui." Marcelo Bielsa, jurulatih veteran Argentina yang mengendalikan Bilbao hanya berfalsafah mengenai kekalahan pasukannya.

"Saya menurunkan pasukan yang mampu menang malam ini tetapi kami tidak mampu memenuhi harapan penyokong," katanya. - AFP


Rebut slot suku akhir

Posted: 26 May 2012 03:08 PM PDT

VICTORIA Institution dan Frenz United Biru mengesahkan tempat ke suku akhir saingan Kejuaraan Piala Frenz Bawah 14 Tahun 2012 selepas selesa menewaskan lawan masing-masing, kelmarin.

Dengan baki dua perlawanan, VI dan Frenz United Biru bersaing hebat untuk muncul juara Kumpulan C.


VI mengatasi pasukan Projek 11, 3-0 manakala Frenz United Biru menumpaskan CIMB-YFA Bintang Muda 4-2. Frenz United Biru dan VI berkongsi tangga teratas dengan 10 mata tetapi VI memiliki kelebihan perbezaan gol. CIMB-YFA tidak mampu memintas kerana sekadar memungut tiga mata dengan baki dua perlawanan.

Rembatan deras pemain VI, Arif Ikhwan Hasrin, pada minit ke-11 menggegar gawang Projek 11 disusuli sepakan leret Khairu Anwar Khazali pada minit ke-18 sebelum Muhammad Afzal Akbar melengkapkan kemenangan bergaya VI pada minit ke-39.


Arwin merapatkan kedudukan dengan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-57.


Frenz United Biru bagaimanapun terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada babak pertama untuk mencatat kemenangan selesa.

Kem CIMB-YFA terlebih dulu meraikan gol apabila sepakan percuma Dinesh Rajasingam menerjah jaringan pada minit ketujuh. Frenz United Biru terpaksa menanti hingga minit ke-38 sebelum menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Syazwi Suhaimi.


Aidiel Nur Iman Nekmat menambah jaringan hasil tandukan pada minit ke-44 hasil satu sepakan penjuru sebelum Akhmar Haiqal Rostam melebarkan jurang.

Kogileswaran Raj Mohan merapatkan jurang pada minit ke-58 menerusi satu sepakan percuma tetapi Akhmar Haiqal membuat penyudah pada minit ke-64.


Dalam Kumpulan D pula, Frenz United Merah mengekalkan momentum dengan mencatat kemenangan keempat berturut-turut selepas membolosi gawang SMK Meru lima kali. Frenz United mengumpul 12 mata maksimum dan menjaringkan 26 gol tanpa bolos.


Frenz United Merah menjaringkan gol pada minit ke-18 menerusi kaptennya Na'aim Abdul Razak sebelum menambah empat gol pada babak kedua hasil penyudah Abdul Rahman Ismawi (minit ke-39), Muhammad Akmal Ahmad Nasir (43, 52) dan Na'aim pada minit ke-60.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan