Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


China terus berkuasa

Posted:

China terus berkuasa

China terus berkuasa

WUHAN – Keutuhan 'Tembok Besar China' dalam sukan badminton dunia terlalu sukar untuk dirobohkan.

Buktinya, China berjaya mendominasi kempen Piala Thomas/Uber 2012.

Jika kelmarin, skuad wanita China muncul juara Piala Uber, semalam giliran skuad lelaki pula mengungguli saingan Piala Thomas apabila merekodkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

Tampil selaku tuan rumah, China terlalu sukar untuk ditandingi apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan pada final yang berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan semalam.

Bintang sensasi China, Lin Dan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana dia sendiri tidak pasti sama ada masih boleh beraksi atau tidak pada edisi berikutnya dua tahun akan datang.

"Banyak yang saya fikirkan malam tadi (kelmarin) sebelum turun beraksi hari ini (semalam).

"Saya sendiri tidak pasti berapa banyak lagi kempen Piala Thomas yang saya boleh beraksi. Apa yang saya tahu, kali ini Piala Thomas berlangsung di negara saya sendiri dan saya mahu memberikan aksi terbaik.

"Setiap pemain pasti berasa gementar sebelum perlawanan.

"Semasa kamu masih muda, sudah pasti kamu cukup teruja untuk turun beraksi kerana ia pertama kali kamu membarisi skuad negara.

"Namun, apabila kamu sudah tua, pasti banyak pihak meletakkan sandaran di atas bahu kamu. Sebab itu, saya tidak boleh tidur lena malam tadi (kelmarin)," kata Lin Dan sejurus tamat perlawanan semalam.

Pada aksi semalam, Lin Dan yang merupakan pemain No. 2 dunia menyumbangkan mata pertama China apabila mengetepikan cabaran Lee Hyun Il 21-14, 21-17.

Gandingan beregu No. 1 dunia, Cai Yun-Fu Haifeng meneruskan rentak kecemerlangan Lin Dan apabila memastikan mata kedua China selepas mencatat kemenangan ke atas Lee Yong Dae-Kim Sa Rang 21-16, 25-23.

Bintang muda China, Chen Long melengkapkan kemenangan China hasil kejayaan menewaskan Shon Wan Ho 21-9, 21-13.

Dengan kemenangan itu, China kini secara keseluruhannya telah merekodkan sembilan kejuaraan pada kempen Piala Thomas sejak ia mula diperkenalkan pada 1949 di Preston, England.

Sebelum ini, China menjulang trofi berprestij itu pada edisi 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006, 2008, 2010.

Zaqhwan tampil pantas dalam aksi di Banting

Posted:

Zaqhwan tampil pantas dalam aksi di Banting

Zaqhwan tampil pantas dalam aksi di Banting


ZAQHWAN mengungguli saingan bagi kategori CP130 di Banting semalam.


KESAKITAN tidak menghalang Mohd. Zaqhwan Zaidi untuk muncul juara kategori CP130 pada Pusingan 4 Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Bandar Mahkota, Banting semalam.

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 13 minit 44.722 saat, meninggalkan Mohd. Fitri Ashraf Razali (Y-TEQ SCK Honda Racing 2) di kedudukan kedua yang mencatat masa 13:49.409s.

Pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa kelmarin sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga dengan 13:49.585s.

Mengulas kemenangannya itu, Zaqhwan yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah ibu jari tangan kanan selepas terjatuh sewaktu beraksi pada pusingan pembukaan Kejohanan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini berkata:

"Walaupun jari saya masih sakit sepanjang perlumbaan, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk memburu kemenangan.

"Tambahan pula, saya tidak mahu mengecewakan seluruh pasukan yang telah menyediakan jentera cukup baik buat saya pada perlumbaan kali ini."

Zaqhwan yang meraih kemenangan kedua selepas memenangi perlumbaan pembukaan di Batu Kawan berkata, selepas mencatat masa terpantas pada sesi Superpole sebelah pagi, keyakinannya untuk menaiki podium semakin meningkat.

"Permulaan yang baik membolehkan saya berada di hadapan sejak daripada awal perlumbaan lagi. Menyedari pengalaman luas yang ada pada Ahmad Fuad, saya cuba untuk menjarakkan diri daripadanya sejak pusingan awal lagi termasuk menggunakan kelebihan ketika di laluan lurus.

"Strategi saya berjaya dan akhirnya meraih gelaran juara buat kali kedua," jelas Zaqhwan yang kini berada di kedudukan teratas dalam senarai keseluruhan dengan 70 mata.

Mengekori Zaqhwan di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan ialah rakan sepasukan, Mohd. Fitri, Azlan Shah Kamaruzaman yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dengan 60 mata, manakala Ahmad Fuad ketiga, 54 mata.

Pasukan Faito Motobert Racing yang diwakili Ahmad Fuad dan Ahmad Fazrul Sham kekal di tangga teratas dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 100 mata diikuti Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (kedua) dengan 92 mata.

Sementara itu, pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM mencatat kemenangan bergaya apabila dua pelumba mereka, Mohd. Iskandar Raduan dan Shahril Izzuwan Mohd. Noor menamatkan perlumbaan kategori CP115 di atas podium.

Iskandar mempamerkan prestasi cemerlang dengan gelaran juara kedua pada musim ini setelah menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:12.625s.

Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam membuktikan kehebatannya apabila berjaya mengungguli perlumbaan kali ini dengan catatan masa keseluruhan 9:27.550s.

Harimau Malaya uji Filipina

Posted:

Harimau Malaya uji Filipina

Harimau Malaya uji Filipina


WAN ZACK (kiri) mungkin diketepikan pada aksi menentang Filipina akibat kecederaan.


ATAS kertas, Filipina ketika ini mungkin dilihat memiliki sedikit kelebihan berbanding pasukan bola sepak kebangsaan.

Apa tidaknya, skuad kendalian Michael Weiss itu kini melonjak naik lima tangga di depan Harimau Malaya apabila berjaya menghuni tangga ke-148 dunia dalam ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika seri 1-1 dengan skuad negara dalam satu aksi persahabatan di Stadium Memorial Rizal, Manila, pada 29 Februari lepas, skuad yang terkenal dengan jolokan The Azkal itu sekadar menghuni tangga ke-156 dunia.

Meskipun perbezaan ranking tidak dijadikan ukuran, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal pastinya bersedia melunaskan misi mempertahankan maruah negara menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam satu aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Dalam pertemuan di Manila tempoh hari, jaringan penyamaan Ahmad Shakir Ali pada masa kecederaan berjaya menyelamatkan maruah Malaysia yang terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan penyerang tuan rumah, Dennis Wolf seawal minit ke-34.

Ahmad Shakir begitupun ketika ini dilaporkan kurang cergas bersama seorang lagi pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Nor gara-gara kecederaan.

Namun, ia tidak menerbitkan perasaan resah di hati Rajagobal yang percaya dengan kemampuan pemainnya.

"Ahmad Shakir mengalami kesakitan otot paha, manakala Wan Zack pula masih belum pulih daripada kecederaan hamstring, dan diharapkan saya ada pilihan terbaik lain jika keadaan memerlukan.

"Walaupun pelatih kali ini dikatakan terbaik, saya masih perlu melihat keadaan semasa semua pemain kerana kita perlukan pemain terbaik," kata Rajagobal.

Selepas aksi menentang Filipina, skuad Harimau Malaya bakal berkunjung ke Stadium Jalan Besar berdepan Singapura pada 8 Jun ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan