Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Teliti, fahami undang-undang FAM’

Posted:

'Teliti, fahami undang-undang FAM'

'Teliti, fahami undang-undang FAM'

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah (gambar kecil) mahu penyokong pasukan bola sepak meneliti dan memahami undang-undang FAM sebelum mengeluarkan kenyataan menggesa persatuan bola sepak negeri keluar daripada badan induk bola sepak negara ini.

Baginda bertitah, memang mudah bagi individu terbabit mengeluarkan kenyataan seumpama itu tetapi pada hakikatnya, persatuan bola sepak negeri tertakluk kepada undang-undang FAM.

"Baca perundangan FAM, kita ada undang-undang dan jangan sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang akhirnya akan memberi kesan kepada diri atau pasukan bola sepak kita sendiri.

"Ini bukan kenyataan nak keluar atau masuk rumah, sebaliknya ia melibatkan persatuan bola sepak negeri yang tertakluk di bawah undang-undang FAM," titah baginda ketika ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2012 di Dataran Pekan kelmarin.

Akhbar semalam melaporkan, penyokong pasukan bola sepak Sarawak dalam satu laman web iaitu petisyen.com yang mula dilancarkan kelmarin, meminta Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) keluar daripada FAM selepas tidak berpuas hati dengan tindakan badan induk bola sepak negara ini.

Gesaan itu dibuat kerana menganggap hukuman yang dikenakan terhadap FAS oleh FAM bersifat zalim dan ia juga ekoran tindakan FAM menggantung Timbalan Presiden FAS, Mohd. Abu Bakar Marzuki lapan bulan dan denda RM8,000 atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda percaya tidak semua penyokong bola sepak Sarawak berpendapat sedemikian kerana mereka tahu FAS tidak akan mampu bergerak sendirian jika keluar daripada FAM.

"Kita seharusnya bersatu. Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia, kita 1Malaysia dan kita perlu bersama walaupun berada dalam persatuan bola sepak," titah baginda.

Dalam masa yang sama, Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda akan bertemu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bagi mendapatkan maklum balas beliau mengenai perkara tersebut.

Terdahulu, FAM telah mengenakan denda berjumlah RM46,000 terhadap FAS berdasarkan empat pertuduhan ketika Sarawak menentang Kelantan di Stadium Negeri Sarawak, 7 April lalu.

Sebelum itu, FAS telah dikenakan denda sebanyak RM29,500 gara-gara kegagalan mengawal penyokong dan pemain pada perlawanan menentang Lions XII di Stadium Negeri Sarawak, 17 Mac lalu.

Malaysia benam ego Korea Selatan

Posted:

Malaysia benam ego Korea Selatan

Malaysia benam ego Korea Selatan

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my



MALAYSIA sudah melangkah 'sebelah kaki' ke saingan separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Asia 2012 selepas menewaskan pencabar utama, Korea Selatan 6-3 dalam saingan Kumpulan A di Stadium MBMB, Bukit Serindit malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini mengumpul enam mata maksimum dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan terakhir menentang Jepun esok bagi mengesahkan slot ke separuh akhir.

Pada aksi malam tadi, Korea Selatan bermula garang apabila menguasai lima minit pertama perlawanan dengan serangan bertali arus, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Faizal Saari hasil pukulan sudut penalti pada minit keenam.

Gol pembukaan itu ternyata membakar semangat barisan pemain negara sebelum Mohamad Syamin Mohd. Yusof menambah gol kedua menerusi gol padang pada minit ke-13.

Kapten Korea Selatan, Yang Jihun berjaya merapatkan jurang gol apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Babak kedua bermula dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan, namun Malaysia terlebih dahulu merobek gawang lawan menerusi gol padang Amir Farid Ahmad Fuzi pada minit ke-41.

Malaysia melebarkan jurang gol tiga minit kemudian apabila Faizal tenang menyempurnakan pukulan penalti.

Kelekaan benteng pertahanan Malaysia membolehkan Korea Selatan memperoleh gol kedua pada minit ke-47 apabila pukulan deras Yeongseok Jeong gagal dihalang penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.

Malaysia kembali selesa di hadapan apabila Faizal menjaringkan gol kelima menerusi pukulan cantik pada minit ke-56 sebelum Yang Jihun sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol ketiga Korea.

Kapten Malaysia, Muhamamd Noor Faeez Ibrahim menceriakan kira-kira 2,000 penonton yang membanjiri stadium apabila menjaringkan gol keenam menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-67.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Jepun menghidupkan peluang ke separuh akhir apabila mengalahkan Iran 3-1.

Kelantan dalam kelas tersendiri

Posted:

Kelantan dalam kelas tersendiri

Kelantan dalam kelas tersendiri

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my



PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak tidak mahu mendabik dada biarpun skuad kendaliannya berjaya menjinakkan pendahulu Liga Super, Lions XII 3-0 malam kelmarin.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan jelas sekali berada dalam kelas tersendiri bagi membenam wakil Singapura itu.

Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Kelantan seakan-akan mendapat aura sebaik memulakan saingan pada babak kedua.

Hasilnya, tiga gol diperoleh skuad The Red Warriors itu dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.

S. Chanturu membuka tirai jaringan Kelantan pada minit ke-73, sebelum Norfarhan Muhammad menyumbang gol kedua empat minit kemudian.

Tonggak pertahanan, Rizal Fahmi Rosid melengkapkan malam gemilang Kelantan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-85.

"Siapa pemain terbaik malam ini? Ia suatu yang sukar. Pemain pertahanan begitu cemerlang, Shakir (Shaari) melakukan kerja dengan baik. Mungkin Farhan dan Chanturu lebih layak untuk dikatakan pemain yang beraksi dengan cemerlang.

"Bagaimanapun, saya tidak fikir tiga mata yang dipungut malam ini (malam kelmarin) membolehkan kami dilabel sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara.

"Namun dalam masa yang sama, kemenangan ini meletakkan kami di landasan yang betul untuk tujuan itu," kata Hodak ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Hodak berkata, anak-anak buahnya berjaya mengambil kesempatan untuk memburu gol selepas menyedari barisan Lions XII agak keletihan.

"Setiap pasukan dalam dunia hanya boleh bermain selama 60 minit dengan kecergasan yang maksimum dan 30 minit terakhir mereka akan mula hilang fokus, letih dan melakukan kesilapan.

"Ketika 20 minit terakhir, saya lihat pemain Lions XII banyak memberi ruang kepada pemain saya dan akhirnya kami berjaya memanfaatkan situasi tersebut dengan tiga gol yang cukup penting," ujarnya.

Pada aksi malam kelmarin, Kelantan tidak menurunkan tiga tonggak utama iaitu Muhammad Ghaddar, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin.

Ghaddar dan Zairul Fitree digantung satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning manakala Daudsu masih menjalani penggantungan kerana mengutip kad merah.

"Saya tidak melakukan rombakan besar malam ini (malam kelmarin), cuma memasukkan beberapa pemain yang saya fikir mampu menggalas tugas yang diberikan," jelasnya.

Dengan kemenangan itu, Kelantan mengumpul 34 mata, ketinggalan dua mata di belakang Lions XII yang beraksi lebih tiga perlawanan berbanding The Red Warriors.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan