BELUM selesai isu membabitkan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, Presiden badan induk itu, Datuk Seri Shahidan Kassim gusar selepas mendedahkan mengenai wujudnya gejala membeli undi menjelang pemilihan Ahli Majlis Tertinggi kesatuan itu pada mesyuarat agung yang dijangka diadakan bulan depan.
Shahidan berkata, beliau mendapat maklumat serta bukti mengenai ada calon terutamanya yang mahu bertanding di jawatan tertinggi menyediakan sejumlah wang yang besar menjelang pemilihan berkenaan.
"Saya ada bukti, malah sedang mengumpul banyak lagi maklumat serta pengakuan mengenai dakwaan yang ternyata mengejutkan saya yang akan mempertahankan jawatan presiden.
"Lebih merisaukan, saya diberitahu individu itu yang juga 'VIP' menawarkan jumlah wang besar sehingga ratusan ribu bagi memancing undi jawatan paling tinggi dalam kesatuan," katanya di Kangar, semalam.
Menurut Shahidan, KOM akan mengadakan mesyuarat agung selewat-lewatnya bulan depan bagi memilih jawatan baru KOM selepas selesai sesi pendengaran kes Karim dan menyiapkan penyata kewangan kesatuan.
Shahidan berkata, mesyuarat agung itu beberapa kali ditunda berikutan penyata kewangan KOM yang belum disiapkan dan mengambil sedikit masa termasuk mesyuarat khas yang sebelum ini beberapa kali diadakan bagi membincangkan isu tertentu.
Menurutnya, selain itu, mesyuarat agung KOM juga mungkin ditangguhkan selepas sesi pendengaran membabitkan timbalannya, Datuk Karim Ibrahim yang bermula Isnin lalu dijangka berlarutan lebih lama.
Katanya, beliau bimbang mengenai gejala membeli undi dalam KOM yang akan menjejaskan semua pihak termasuk kesatuan, kementerian serta negara.
Sementara itu, Ketua Panel Jawatankuasa Siasatan, Tan Sri V C George sebelum ini berkata, pihaknya masih memerlukan tempoh sekurang-kurangnya satu atau dua minggu lagi bagi mendapatkan fakta dan bahan bukti bagi membantu proses siasatan.
"Kami (panel jawatankuasa siasatan) mungkin memanggil beberapa pegawai KOM bagi membantu siasatan justeru kami memerlukan tempoh satu atau dua minggu lagi bagi mendapatkan fakta dan bahan bukti sebenar berhubung kes ini," katanya.
Difahamkan, sesi pendengaran kes yang berakhir Khamis lalu itu akan ditangguh dan disambung pada bulan depan.
Pada 13 Feb lalu, sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen setebal 23 muka surat bertajuk 'Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Shahidan.
Petisyen yang ditandatangani 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga negara itu meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa KOM selama ini.
Ia termasuk kontroversi membabitkan Mohd Yunus yang gagal dalam ujian doping ketika memenangi pingat emas dalam acara 4x400m lelaki pada Sukan Sea 2011 di Palembang, Indonesia, November tahun lalu.
Isu melibatkan enam atlet badan induk itu yang lari daripada ujian anti-doping pada Mei tahun lalu turut dibangkitkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan