Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Penyu meluap-luap

Posted: 24 Aug 2012 10:17 AM PDT

KAPTEN Terengganu, Mohd Faizal Muhamad mengaku kian bersemangat untuk menghadapi pertemuan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini, susulan kejayaan menundukkan Kelantan, Rabu lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu percaya jurulatih Peter Butler mempunyai strategi dan kekuatan tersendiri untuk melaksana misi memastikan mereka membawa pulang tiga mata penuh ke Kuala Terengganu.


"Kejayaan menewaskan Kelantan memberi keyakinan tinggi kepada saya untuk mempamerkan aksi bertenaga bagi menyekat hajat lawan membolosi pintu gol Terengganu," katanya.

Bagaimanapun, bukan tugas mudah untuk menjinakkan Tentera kerana lawan sebuah pasukan yang liat untuk ditewaskan seperti dibuktikan ketika menewaskan Kedah 2-0, Rabu lalu.


"Kami belum pernah bertemu dan tidak tahu kekuatan serta kelemahan mereka. "Apapun kami hormati mereka dan perlu bekerja keras selain fokus mencatat kemenangan," katanya.


Sementara itu, laungan sama turut disuarakan kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani yang bertekad menyekat hajat Sarawak mengutip mata penuh ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Menurutnya, kekalahan kepada Pahang, Rabu lalu amat perit terutama selepas hanya tewas tipis 2-3 kepada naib juara Liga Perdana itu.


"Saya sudah mengingatkan rakan sepasukan supaya mempamerkan permainan terbaik dan berharap T-Team mampu meraih mata penuh biarpun tanpa kelibat penyerang import, Marco Tulio yang digantung perlawanan selepas menerima kad merah pada pertemuan dengan Pahang," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


Irfan waspada

Posted: 24 Aug 2012 10:05 AM PDT

JUARA Piala Malaysia 32 kali, Selangor kini lebih waspada supaya tidak terus kehilangan mata apabila melayan kunjungan Pahang pada perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam ini.

Episod dikecewakan Sarawak dengan keputusan 1-2 pada perlawanan pembukaan, Rabu lalu menjejaskan moral pemain Merah Kuning yang bercita-cita mendakap piala berprestij itu buat kali ke-33 selepas gagal merealisasikan sasaran itu musim lalu.


Namun di sebalik kekalahan itu, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis meraih dua tiket Kumpulan D ke suku akhir dengan baki lima perlawanan dan jurulatih berpengalaman itu mahu rentak kemenangan bermula apabila menentang Pahang, malam ini.

"Bukan mudah kerana Pahang perlu diawasi sebaik mungkin. Mereka membuktikan kemampuan dengan menewaskan pasukan Liga Super," katanya merujuk kepada kemenangan 3-2 skuad kendalian Dollah Salleh ke atas T-Team dalam aksi pembukaan serta Kedah dan Sabah dalam perlawanan play-off Liga Super sebelum ini.


Menurut Irfan, pasukan Pantai Timur itu mengamalkan corak permainan pantas kerana mempunyai ramai pemain muda sekali gus menyebabkannya terpaksa memasang strategi tertentu bagi memerangkap lawan.


"Saya hanya akan melakukan sedikit perubahan namun paling penting, pemain Selangor kembali fokus dan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan aksi pertama di laman sendiri mampu menghasilkan tiga mata," katanya.

Selangor bagaimanapun belum dapat menggunakan dua tonggak utama, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Bunyamin Omar yang digantung tiga perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.


Saingan Piala Malaysia menjadi kejuaraan terakhir untuk direbut Selangor selepas sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga dan terkandas seawal pusingan kedua Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan