Kosmo Online - Sukan |
Dua budak 'jahat' jadi harapan Posted: Dua budak 'jahat' jadi harapanLIVERPOOL - Pertarungan antara Liverpool dan Manchester City di Anfield malam ini bakal menjadi tumpuan dengan kehadiran dua pemain yang dilabel sebagai budak 'jahat'. Tuan rumah memiliki Luis Suarez yang dicemuh oleh peminat bola sepak kerana mengeluarkan perkataan berunsur perkauman terhadap pertahanan Manchester United, Patrice Evra musim lalu. Pemain Manchester City, Carlos Tevez pula menjadi mangsa kutukan selama enam bulan kerana meninggalkan kelab itu namun kembali semula untuk membantu skuad bimbingan Roberto Mancini menjuarai Liga Perdana England. Bagaimanapun, ada cerita menarik tentang mereka. Suarez mendedahkan jika bukan kerana penghijrahan Tevez ke England enam tahun lalu, dia mungkin tidak beraksi bersama The Reds. Suarez yang telah menandatangani kontrak selama empat tahun di Anfield berkata, ketika beraksi di Belanda dengan Groningen dan Ajax, dia terpegun dengan aksi penyerang Argentina itu mengatasi pemain lawan dalam EPL. Kejayaan Tevez di England menjadi pendorong buat pemain Uruguay itu menerima tawaran Liverpool dua tahun lalu. Suarez berkata: "Saya menonton aksi Tevez dan dia bermain dengan cukup baik. Jika dia boleh berjaya sudah tentu saya juga boleh mengikut jejaknya kerana kami mempunyai bentuk fizikal yang hampir sama." Bagaimanapun, pada musim lalu, kedua-duanya dilanda kontroversi. Tevez tidak beraksi selama enam bulan bersama City selepas dia enggan dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich. Suarez pula diketepikan hampir dua bulan selepas insiden menghina Evra dan enggan berjabat tangan dengan bintang United itu apabila mereka bertemu semula pada perlawanan di Old Trafford pada Februari lalu, menyebabkan dia dikritik banyak pihak. Bagaimanapun, Suarez mengakui dia kini memiliki semangat yang tinggi untuk meraih kemenangan dan telah berubah sikap. - Agensi | |
Posted: Nazmi Faiz mula menggegarOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
"JARINGAN itu sebagai hadiah Aidilfitri dan hari jadi saya kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia." Demikian reaksi bintang muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor selepas meledak gol sulung bersama kelab remaja Portugal, S.C Beira-Mar minggu lalu. Dalam aksi persahabatan menentang kelab Loursa pada 18 Ogos lalu, Nazmi Faiz berjaya menyumbang satu gol buat skuad Bawah 19 tahun (B-19) Beira-Mar itu. Dua hari sebelum aksi itu yang menyaksikan skuad B-19 Beira-Mar meraih kemenangan 3-0, Nazmi Faiz telah menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18. Meskipun masih tidak mendapat peluang untuk beraksi bersama skuad utama Beira-Mar, Nazmi Faiz percaya jaringan tersebut menjadi suntikan semangat kepadanya untuk menambat hati pengendali kelab Divisyen Satu Portugal itu. "Saya rasa sangat gembira selepas sebulan berada di Portugal. Walaupun saya tidak beraksi bersama skuad utama Beira-Mar tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik dalam setiap perlawanan. "Selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun, saya berazam untuk berusaha dengan lebih keras untuk memikat pihak pengurusan skuad utama Beira-Mar. "Buat masa ini, saya masih perlu belajar dan jurulatih Beira-Mar, Ulisses Morais telah banyak membantu saya ketika sesi latihan bagi memperbaiki skil serta kemahiran di tengah padang. "Beraksi dalam liga di Eropah sememangnya menjadi impian saya sejak kecil dan saya mahu menimba seberapa banyak pengalaman bersama Beira Mar," ujar Nazmi Faiz ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Portugal baru-baru ini. Sementara itu, bapa Nazmi Faiz, Mansor Mustapha berharap bekas perancang skuad Harimau Muda A itu memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi. Menurut Mansor, beliau yakin Nazmi Faiz akan menjadi lebih matang sebagai seorang pemain profesional jika terus mendapat pendedahan beraksi di peringkat kompetitif. "Kami sentiasa mendoakan kejayaan dia untuk terus lebih maju dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional. "Harapan saya agar dia dapat beraksi bersama skuad utama Beira-Mar dan bijak mengawal emosi jika mendapat peluang diturunkan dalam kesebelasan utama," katanya. | |
Gergasi Merah nyaris gigit jari Posted: Gergasi Merah nyaris gigit jariOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI MAYCON (tengah) diasak dua pemain pertahanan Selangor, P. Gunalan (kiri) dan Mohd. Nasriq Baharom pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. PENYERANG import, Bosko Balaban muncul penyelamat Selangor apabila meledak gol penyamaan bagi membantu skuad Gergasi Merah seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. Biarpun beraksi di laman sendiri, Selangor jelas gagal menggunakan kelebihan tersebut bagi meraih tiga mata berharga selepas kecundang 1-2 di tangan Sarawak Rabu lalu. Pada aksi babak pertama, Pahang yang dilihat menampilkan corak permainan agresif berjaya mengejutkan Selangor apabila mendahului perlawanan menerusi jaringan penyerang import, Maycon Calvalho. Jaringan tersebut hadir selepas pemain kelahiran Brazil itu berjaya melepasi benteng pertahanan Selangor yang diketuai Ramez Dayoub dan P. Gunalan sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-14. Begitupun, kelebihan jaringan skuad Tok Gajah itu sekadar bertahan dua minit apabila perancang utama Selangor, Safiq Rahim menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma. Selangor dan Pahang kembali mengatur serangan sebelum jaringan pemain tengah Pahang, Mohd. Fauzi Roslan sekali lagi menjadi pemisah kedua-dua pasukan. Fauzi bijak memanfaatkan hantaran Maycon untuk meledak gol menarik pada minit ke-24. Kombinasi jentera serangan Pahang yang diterajui Maycon, Kockin Boris dan Azamuddin Akil jelas mengundang bahaya buat Gergasi Merah sepajang 20 minit terakhir babak pertama. Bagaimanapun, Pahang gagal menambah jaringan biarpun memiliki beberapa percubaan merbahaya ke kubu tuan ruman. Bersambung babak kedua, Selangor kembali memperkemas rentak permainan bagi memburu gol penyamaan. Usaha keras Selangor akhirnya berbaloi apabila Balaban menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67. Kedua-dua pasukan ghairah menambah jaringan, namun tiada gol dihasilkan dan keputusan 2-2 kekal sehingga akhir perlawanan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan