Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Peluang Vettel tawan GP India

Posted:

Peluang Vettel tawan GP India

DARI kiri, Hamilton, Vettel dan Webber bergambar bersama selepas menamatkan sesi kelayakan GP India di Litar Antarabangsa Buddh, India semalam.


GREATER NOIDA, India - Pemandu sensasi Red Bull, Sebastian Vettel semakin hampir mengesahkan kemenangan keempat berturut-turut pada perlumbaan Formula Satu (F1).

Semalam, Vettel berjaya merekodkan catatan terpantas pada saingan Grand Prix (GP) India pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Buddh.

Catatan masa 1 minit 25.283 saat (s) itu sudah cukup untuk memastikan Vettel bermula di petak utama pada perlumbaan akhir hari ini.

Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber turut menampilkan pemanduan cemerlang apabila merakamkan masa kedua terpantas iaitu 1:25.327s.

Pencabar terdekat Vettel yang juga pemandu Ferrari, Fernando Alonso pula akan memulakan perlumbaan di petak kelima selepas mencatatkan kepantasan 1:25.773s.

Petak ketiga dan keempat masing-masing diisi oleh dua pemandu McLaren, Lewis Hamilton yang merekodkan masa 1:25.544s manakala Jenson Button (1:25.659s).

"Saya berjaya mempamerkan prestasi yang hebat sepanjang minggu ini. Tidak ada masalah dengan jentera. Mereka (kru pasukan) telah melakukan kerja yang baik.

"Namun, saingan ini sekadar aksi kelayakan untuk menentukan petak perlumbaan sahaja, kita juga tahu bahawa macam-macam perkara boleh berlaku esok (hari ini).

"Jadi tidak ada apa-apa yang istimewa hari ini (semalam)," kata Vettel yang memburu dunia buat kali ketiga berturut-turut musim ini.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan betapa Vettel yang turut memenangi petak pertama GP India musim lalu masih dianggap sebagai pemandu yang sukar untuk ditandingi.

Pemandu Jerman berusia 25 tahun itu dilihat lebih selesa pada saingan minggu ini kerana dia berjaya mendominasi litar tersebut sejak latihan bebas pertama kelmarin.

Lebih menarik, juara dunia berganda itu hanya menyempurnakan 13 pusingan berbanding Alonso (21) dan Hamilton (23).

Webber yang berada sebaris dengan Vettel pada petak permulaan hari ini mengakui bahawa dia terkejut dengan masa yang dicatatkan semalam.

"Pada selekoh terakhir, saya dapat rasakan ada sedikit gangguan dan tidak dapat menamatkan perlumbaan dengan sempurna.

"Namun, saya tetap meneruskan pemanduan dan jujur saya katakan, saya juga tidak sangka akan menamatkan aksi kelayakan ini di tempat kedua," kata Webber.

Sementara itu, peluang McLaren untuk memberikan saingan lebih kompetitif kepada Vettel dan Webber hari ini dilihat masih ada.

"Kami tidak cukup pantas tetapi kami masih berpeluang untuk mencabar mereka pada perlumbaan akhir nanti. Jarak antara kami juga tidak terlalu jauh," kata Hamilton. - Reuters

Giliran Van Pelt muncul pendahulu

Posted:

Giliran Van Pelt muncul pendahulu

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

VAN PELT melakukan pukulan pada pusingan ketiga CIMB Classic 2012 di lapangan The Mines Golf & Resort, Seri Kembangan semalam.


PENYANDANG juara, Bo Van Pelt mula menunjukkan taring sebenar apabila muncul sebagai pendahulu pada hari ketiga kejohanan golf CIMB Classic 2012.

Selepas gagal berada di posisi pendahulu pada dua pusingan awal sebelum ini, hayunan serta pukulan bertenaga Van Pelt semalam ternyata memberi tuah kepadanya untuk merampas kedudukan daripada Robert Garrigus.

Pada pusingan pertama Khamis lalu, Troy Matteson muncul selaku pendahulu apabila berjaya menyamai rekod lapangan dengan catatan lapan bawah par 63.

Kini buat hari ketiga berturut-turut, Van Pelt meneruskan dominasi pemain dari Amerika Syarikat (AS) di lapangan The Mines Golf & Resort, Seri Kembangan selepas membenam sembilan bawah par 62 untuk catatan keseluruhan 16 bawah par 197.

Selepas merekodkan birdie berturut-turut pada awal permainan, Van Pelt memulakan saingan dengan penuh agresif apabila mencatat 29 pukulan di sembilan lubang pertama.

"Pukulan di lubang pertama yang menghasilkan birdie mungkin menjadi punca kepada semangat saya hari ini (semalam) untuk bermain lebih agresif.

"Saya cuba menjadikan pusingan ketiga sebagai sesuatu yang istimewa dan ia berjaya. Pukulan saya menjadi dengan begitu sempurna dengan 11 birdie.

"Sepanjang permainan, saya kerap memberitahu diri sendiri yang semua pemain lain melakukan birdie dan saya tidak boleh terlepas daripada melakukannya.

"Disebabkan itu, saya bekerja keras mencari posisi terbaik," kata Van Pelt.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Indiana itu agak kecewa dengan cara dia mengakhiri permainannya semalam apabila bola pukulannya termasuk ke kawasan berpasir ketika mengharungi lubang ke-18.

"Saya mempunyai peluang untuk meraih 59 mata jika tidak kerana terperangkap dengan bogey di lubang terakhir dan sudah tentu keadaan itu sedikit mengecewakan.

"Bagaimanapun, saya masih mempunyai peluang (hari ini) dan mungkin, saya boleh melakukan dengan lebih baik pada hari terakhir," katanya kini menyamai rekod kejohanan dengan 16 bawah par 54 yang diciptanya dan Ben Crane pada 2011 dan 2010.

Tiba masa Harimau Malaya 'mengaum'

Posted:

Tiba masa Harimau Malaya 'mengaum'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

IMBAS KEMBALI... Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) meraikan kejayaan skuad Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia.


Menjelang detik tersebut, sama ada sedar atau tidak, bukan sedikit kata-kata 'sumbang' pengkritik bola sepak tempatan yang terpaksa ditelan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal sebenarnya.

Lumrah dalam bola sepak, ketika menang dipuja dan begitu jua sebaliknya.

Segala-galanya dikatakan bermula apabila Harimau Malaya ditunjukkan jalan keluar oleh seteru utama, Singapura di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada tanggal 28 Julai 2011.

Sejak itu, segala-gala yang cuba diterjemahkan Rajagobal dilihat ada sahaja yang tidak kena dari kaca mata pengkritik.

Barangkali, jasa Rajagobal membantu skuad kebangsaan muncul juara Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun sebelum itu seolah-olah tidak membawa sebarang makna.

Sedangkan kejayaan muncul pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara sebenarnya merupakan detik kebangkitan skuad kebangsaan yang mengalami musim suram beberapa tahun kebelakangan ini.

Mungkin, kejayaan tersebut dilihat hadir terlalu awal buat jurulatih kelahiran Selangor itu sehingga langsung tidak diberikan peluang untuk 'berkarya'.

RESIPI SANG JUARA

SEDAR mempertahankan sesuatu kejuaraan lebih sukar berbanding muncul juara buat kali pertama, Rajagobal percaya hanya kejayaan kali ini sahaja mampu menutup mulut pengkritik yang tidak sudah-sudah 'berbunyi' di luar padang.

Setakat ini, hanya Thailand dan Singapura sahaja yang berjaya mempertahankan kejuaraan sejak piala tersebut diperkenalkan pada 1996 (dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger).

Selain edisi 2010, Malaysia hanya sekali melangkah ke pentas final 1996 sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.

"Sebelum kami muncul juara Piala AFF Suzuki edisi 2010, tidak ada seorang pun yang tampil berkongsi resipi kejayaan dengan saya. Situasi itu jelas berubah sekarang.

"Berikan anak-anak buah saya membuktikan kehebatan terlebih dahulu, bila kejohanan itu sudah tamat nanti lainlah cerita," kata Rajagobal sebelum ini.

Menurut beliau, persediaan kali ini juga berjalan lebih baik berbanding dua tahun lepas biarpun dihantui siri kecederaan beberapa pemain utama sehingga menyukarkan Rajagobal mencongak barisan terbaik kali ini.

"Tidak ada mana-mana jurulatih di dunia yang mahukan pasukan masing-masing tewas sebelum berjuang.

"Jadi, berikan kami sokongan dan bukannya hanya tahu menghentam yang bukan-bukan," pinta Rajagobal mohon dimengertikan.

RANKING TIDAK PENTING

DALAM pada itu, kemerosotan Harimau Malaya yang semakin jauh terperosok dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga mengundang kecaman ramai pihak.

Berdasarkan ranking terkini FIFA pada 3 Oktober lalu, skuad kebangsaan sekadar menduduki tangga ke-162 dunia dan ia merupakan ranking terburuk Harimau Malaya pada tahun ini.

Situasi tersebut mungkin disebabkan Harimau Malaya sukar mendapat lawan yang berkualiti bagi mengadakan perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, prestasi tidak konsisten skuad kebangsaan dalam siri persahabatan antarabangsa tahun ini juga jelas menimbulkan persoalan.

Untuk rekod, Malaysia sekadar seri 1-1 dan 0-0 dengan Filipina pada 29 Februari dan 1 Jun lalu.

Mereka kemudiannya seri 2-2 dan menang 2-0 ke atas Singapura (8 Jun dan 12 Jun) sebelum tewas 0-2 kepada Vietnam di Stadium Shah Alam pada 11 September lalu.

Harimau Malaya hanya kembali melakar kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong pada 16 Oktober lalu dan bakal diuji Thailand, Vietnam dan Hong Kong sekali lagi sebelum sepak mula AFF Suzuki.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, momentum dan pengalaman berharga yang diraih pemain sebenarnya jauh lebih penting daripada kedudukan ranking.

"Tidak ada gunanya kita hanya mahu mengejar kedudukan ranking yang lebih baik tetapi gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki," kata Rajagobal.

RAJAGOBAL, KIM SWEE BERSENGKETA?

ANGIN tiada ribut pun tiada, Rajagobal tiba-tiba dikatakan 'bersengketa' dengan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee.

Segala-galanya bermula ekoran keputusan Rajagobal menyenaraikan lima pemain muda negara bagi aksi persahabatan menentang Hong Kong biarpun mereka diperlukan Kim Swee menempuh kejohanan piala jemputan Newspaper Cup di Vietnam.

Lima pemain yang tersebut adalah penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat (Harimau Muda A) serta Zubir Azmi (Terengganu).

Enggan isu itu disensasikan mana-mana pihak, Rajagobal pada satu sidang akhbar di Wisma FAM, 4 Oktober lalu tampil memberikan penjelasan.

"Peluang menyarung jersi kebangsaan sepatutnya lebih menjadi keutamaan, ia bagi menjamin persiapan terbaik kami mempertahankan Piala AFF.

"Jadi, cukup-cukuplah mensensasikan isu ini," katanya.

Kontroversi yang menyelubungi Harimau Malaya juga tidak terhenti di situ apabila penyerang berbisa. Mohd. Safee Sali dikatakan tidak dapat menyarung jersi kebangsaan gara-gara masalah kelabnya, Pelita Jaya yang dikhabarkan 'disenaraihitamkan' Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa ( FIFA) baru-baru ini.

MENGIMBAU PERJALANAN

PIALA AFF SUZUKI 2010

MENGIMBAU semula perjalanan Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki 2010, ranjau yang terpaksa ditempuh skuad kendalian Rajagobal sememangnya cukup berliku.

Sekadar muncul naib juara Kumpulan A dengan empat mata selepas dibelasah Indonesia (1-5), seri tanpa jaringan dengan Thailand sebelum kembali bangkit membelasah Laos dengan keputusan 5-1, mereka tidak lagi menoleh ke belakang sebaik menjejakkan kaki di pentas separuh akhir.

Ketika itu, dua gol ledakan Safee di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 15 Disember 2010 sudah cukup untuk mengesahkan slot ke final sekali gus mengatasi juara bertahan, Vietnam biarpun melakar keputusan seri tanpa jaringan di Hanoi tiga hari kemudian.

Kembali berdepan Indonesia di pentas final, gegak gempita Stadium Gelora Bung Karno akhirnya 'lenyap' apabila Safee sekali lagi berjaya merobek gawang Garuda pada 29 Disember 2010.

Harimau Malaya tewas 1-2 ketika itu, namun ia sudah cukup bagi menobat Malaysia selaku juara buat kali pertama selepas menang menerusi agregat 5-1 gara-gara terlebih dahulu melakar kemenangan selesa 3-0 di Bukit Jalil tiga hari sebelum itu.

Pada edisi kali ini, Harimau Malaya kembali diundi bersama Indonesia, Laos dan juara tiga kali, Singapura dalam Kumpulan B.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November ini diikuti Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia pada 1 Disember depan.

Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008 iaitu Vietnam selain Filipina dan juga Myanmar.

Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand sementara aksi Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 24 November hingga 22 Disember depan.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir dan format perlawanan adalah bermain di tempat sendiri dan lawan dari 8 hingga 13 Disember manakala perlawanan akhir yang turut menggunakan format sama dari 19 hingga 22 Disember.

Sama ada Harimau Malaya mampu mempertahankan kejuaraan kali ini, biarlah masa yang menentukan segala-galanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan