Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'2 surat berbeza'

Posted: 06 Nov 2012 03:18 PM PST

Azidan jadi pemain kedua terperangkap dalam isu perpindahan musim depan

Ipoh: Belumpun isu penghijrahan Pemain Paling Bernilai 2012, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo dari Kelantan ke Johor reda, timbul pula isu perpindahan pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin ke Perak untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Isu Mat Yo dikatakan kerana soal tebus kontrak bernilai RM1 juta, Azidan pula gara-gara tindakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menghantar dua surat berbeza kepada Persatuan Bola Sepak Perak (KAFA), baru-baru ini.

Surat pertama, FAS memaklumkan Azidan dilepaskan kepada Perak dengan syarat PAFA membayar pampasan.

Bagaimanapun, pada surat kedua yang dihantar kepada PAFA minggu lalu, FAS menjelaskan Azidan akan menyertai Pahang.

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata pihaknya keliru kerana menerima dua keputusan berbeza daripada FAS mengenai isu ini.

"Satu surat melepaskan Azidan dan meminta pampasan tetapi tidak lama kemudian mereka (FAS) hantar surat mengatakan pemain itu untuk Pahang sedangkan pemain itu sendiri menyatakan keinginan menyertai Perak," katanya.

Beliau ditemui pada majlis meraikan pasukan SMK Anderson Ipoh di sebuah hotel di sini, kerana muncul juara Piala 100Plus Super Cup Bawah 17 tahun 2012.
Pada majlis sama, PAFA turut meraikan petugas Stadium Perak yang bertugas pada Liga M musim ini.

Zainol Fadzi bagaimanapun yakin isu perpindahan Azidan ke Perak belum berakhir biarpun dikatakan akan menyertai Pahang musim depan.

Ini katanya kerana Azidan sebelum ini menyatakan persetujuan untuk menyertai pasukan Seladang belum membuat keputusan muktamad.

"Sebenarnya Azidan memang mahu datang ke Perak. Kita sudah mengadakan rundingan dan pertemuan dengannya sebelum ini dan mencapai persetujuan dengan tawaran yang diberikan.

"Saya tidak faham apa gerangan yang sedang berlaku. Apapun kata pemutus terletak di tangan Azidan sendiri.

"Namun bagi saya tiada siapa boleh memaksanya menyertai mana-mana pasukan," katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan peraturan FAM yang disiarkan semalam, Azidan masih berpeluang menyertai Perak sekiranya dia membayar baki nilai kontraknya termasuk gaji dan imbuhan kepada FAS.

Ini berikutan mengikut peraturan 1.1 Isu Kontrak dan Pendaftaran Pemain – FAM menyatakan "Pemain atau pasukan boleh menamatkan kontrak dengan sendiri tetapi pihak yang menamatkan kontrak perlu membayar ganti rugi dari seluruh baki nilai kontrak kepada pihak satu lagi.

Tiada Bambang: Dollah

Posted: 06 Nov 2012 03:16 PM PST

Pahang tolak khabar angin beli pemain Indonesia

Kuantan: Hanya khabar angin! Demikian tegas jurulatih Skuad Tok Gajah, Dollah Salleh mengenai desas-desus pemain sensasi Indonesia, Bambang Pamungkas yang dikatakan bakal menyertai skuad kendaliannya musim depan.

Sambil menyifatkan ia hanya spekulasi yang tidak berasas, Dollah memaklumkan pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung kuota pemain import pasukan negeri itu.

"Perkara ini memang sudah tersebar dalam internet.. laman sosial, namun saya tegaskan ia tidak betul. Kita belum buat apa-apa keputusan dan ujian pemilihan pemain untuk beraksi musim depan juga hanya dilakukan pertengahan bulan ini.

"Apa yang pasti.. dia (Bambang) bukan pemain yang akan kita pilih untuk mengetuai barisan serangan. Kita ada beberapa lagi pilihan dan hanya pemain berkualiti saja akan ditawarkan tempat (kontrak) bersama pasukan Pahang," katanya semalam.

Dollah juga mengakui terkejut dengan khabar angin itu dan berharap pihak berkenaan berhenti membuat spekulasi kerana dirisaukan akan menjejaskan persiapan pasukan itu.

Ada banyak pilihan

"Kita masih dalam proses memburu pemain import bagi beraksi musim depan. Beberapa nama sudah dicadangkan oleh ejen kami, tapi belum ada keputusan muktamad.
"Tumpuan kita untuk mendapatkan khidmat pemain posisi serangan dan tengah yang bagus, dan posisi itu bakal diisi pemain import. Kontrak dua pemain import musim lalu kita tamatkan, walaupun mereka menjadi tonggak penting mencetus kebangkitan pasukan Tok Gajah," katanya.

Musim lalu, kehadiran penyerang Brazil, Maycon Carvalho Inez dan Boris Kochkin berjaya membawa skuad kendalian Dollah layak ke Liga Super serta mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan