Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Malaya digesa segera perbaiki rentak

Posted:

Harimau Malaya digesa segera perbaiki rentak

Harimau Malaya digesa segera perbaiki rentak

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

IMBAS KEMBALI... Skuad Harimau Malaya meraikan kejayaan muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia.


"AKSI menentang Thailand (malam tadi) langsung tidak menggambarkan kita sebagai juara Piala AFF Suzuki."

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah ketika diminta mengulas kekalahan 0-2 skuad Harimau Malaya kepada Thailand pada aksi persahabatana antarabangsa di Stadium Rajamangala, Bangkok malam tadi.

Thailand yang juga tuan rumah Piala AFF Suzuki 2012 bersama Malaysia dilihat menampilkan aksi lebih bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Hasilnya, Thailand memperoleh dua gol menerusi jaringan Prayat Bunya pada minit ke-25 dan Arthit Sunthomphit (81).

Mengulas lanjut, Reduan menegaskan, sudah tiba masanya Harimau Malaya bangkit daripada lamunan jika berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih pada 2010.

Jelasnya, kepincangan bahagian tengah selain ketumpulan jentera serangan, menjadikan persembahan Harimau Malaya hambar ketika berdepan skuad negara Gajah Putih itu.

"Sepatutnya kita sudah kena panik. Tinggal beberapa minggu sahaja lagi (sebelum bermula Piala AFF Suzuki 2012) tetapi kita masih tidak menunjukkan kekuatan kita yang sebenar.

"Sejujurnya, kita juga masih belum melihat corak permainan yang begitu kemas. Mengambil contoh aksi dengan Thailand (malam tadi), bahagian tengah skuad negara bukan sahaja tidak kreatif tetapi mereka dilihat agak gelojoh.

"Berbanding dengan Thailand, gerakan mereka cukup tenang dan tersusun. Baik hantaran pendek satu dua atau hantaran jauh, mereka sudah tahu bagaimana hendak menyusun pergerakan.

"Sebaliknya, skuad negara pula masih mengamalkan corak yang sama dengan melakukan hantaran jauh yang mana pihak lawan sudah boleh baca," kata Reduan kepada Kosmo! semalam.

Reduan yang juga bekas pemain Selangor turut menganggap barisan pemain negara masih tidak mencapai kualiti seperti yang diharapkan.

Katanya, anak-anak buah Rajagobal harus menampilkan corak permainan lebih menarik serta mempunyai fokus sebelum mencipta serangan.

"Bukan itu sahaja, kenapa tidak menggandingkan Badri (Mohd. Radzi) dengan Shakir (Shaari)? Bukankah mereka cukup serasi memandangkan sudah biasa beraksi bersama dalam satu pasukan (Kelantan)?

"Radzi telah mempamerkan persembahan cemerlang bersama Kelantan musim ini dan jelas membuktikan dia adalah pemain tengah yang cukup kreatif.

"Namun, itu sekadar pandangan saya dan selagi kita belum tunjuk siapa kesebelasan utama skuad negara, selagi itu kita tidak akan mencapai keputusan yang lebih memberangsangkan," katanya.

Sabtu lalu, Harimau Malaya tumbang 0-1 kepada Vietnam di Hanoi dan anak-anak buah Rajagobal dijadualkan menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 November ini.

Harimau Malaya akan memulakan aksi Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2012 dengan menentang musuh tradisi, Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 25 November ini.

Wajah baharu Gergasi Merah

Posted:

Wajah baharu Gergasi Merah

Wajah baharu Gergasi Merah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


MAHALI (kanan) antara muka baharu Selangor dalam saingan Liga M musim depan.


SELANGOR bakal berwajah baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selepas sah kehilangan khidmat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang membuat keputusan menyertai Johor, Selangor telah mendapatkan beberapa muka baharu bagi memperkuatkan cabaran skuad Gergasi Merah.

Paling mencuri tumpuan apabila Selangor berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain kebangsaan, antaranya penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli, tonggak pertahanan Harimau Muda A, Mahali Jasuli dan pemain sayap Negeri Sembilan, S. Kunanlan.

Selangor turut berjaya melamar penyerang import Terengganu yang juga pemenang anugerah Kasut Emas musim ini, Francis Forkey Doe bagi menggantikan Bosko Balaban yang tidak melanjutkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin, dengan kombinasi pemain baharu dan lama, ia mampu memberikan satu keputusan positif buat Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

"Kami kini berwajah baharu dan saya menyeru kepada pemain-pemain baharu dan lama Selangor agar menamatkan penantian untuk memenangi trofi Liga Super musim depan.

"Apa yang pasti, saya gembira kerana berjaya mendapatkan pemain-pemain yang memiliki kualiti dan saya percaya, kami berada di landasan tepat pada musim depan.

"Justeru, saya berharap mereka dapat bekerjasama dalam usaha untuk membentuk persefahaman lebih mantap dan mengekalkan reputasi Selangor," kata Irfan semalam.

Ketika diminta mengulas ketiadaan Safiq mulai musim depan, Irfan mengakui, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Gergasi Merah selepas kehilangan pakar sepakan percuma itu.

"Tidak dapat dinafikan, kehilangan Safiq memberikan kesan kepada Selangor. Dia merupakan seorang ketua pasukan yang bagus serta pakar dalam gerakan set-piece.

"Namun, bola sepak adalah semangat berpasukan dan ia bukan dalam bentuk individu.

"Apa yang pasti, saya mahu membantu Selangor muncul sebagai juara Liga Super pada musim depan," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan bahawa pemain tengah, Azidan Saruddin menyertai Pahang musim depan.

Cai Lin impi pecah rekod kebangsaan

Posted:

Cai Lin impi pecah rekod kebangsaan

Cai Lin impi pecah rekod kebangsaan

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

PERENANG wanita negara, Khoo Cai Lin berdepan tugas sukar apabila beraksi pada Kejohanan Renang Asia 2012 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bermula 15 hingga 25 November ini.

Biarpun 'berehat' lebih dua bulan selepas membuat penampilan pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, Ogos lalu, Cai Lin mengakui yang dia bakal mengharungi ujian getir di Dubai nanti.

Ini kerana Cai Lin hanya menjalani latihan intensif sejak minggu lalu bagi menghadapi kejohanan tersebut yang menyaksikan dia tampil dalam lima acara – 200 meter (m), 400m, 800m gaya bebas individu serta 200m dan 400m rampaian individu.

"Disebabkan komitmen saya dengan pelajaran (di Universiti Taylor), saya hanya sempat berlatih kira-kira seminggu dan tempoh itu saya anggap cukup kritikal.

"Kini saya menjalani latihan intensif di bawah bimbingan jurulatih sedia ada. Saya cuba memperbaiki kekuatan fizikal dan mental saya," ujar Cai Lin semalam.

Ditanya mengenai sasarannya pada kejohanan kali ini, Cai Lin memberitahu: "Saya mahu memperbaharui rekod kebangsaan milik saya dalam acara 400m dan 800m gaya bebas (individu).

"Ini kerana saya gagal melakukannya pada Sukan Olimpik di London."

Sebagai rekod, Cai Lin memegang rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas individu dengan catatan 4 minit 10.75 saat dan 800m gaya bebas individu (8:45.36s).

"Selain mahu memecahkan rekod kebangsaan dalam kedua-dua acara itu, saya harap mampu menempah slot final dalam setiap acara yang saya sertai," katanya.

Sementara itu, ketiadaan tiga penerjun pada kejohanan tersebut dilihat sedikit menggoyahkan kemampuan skuad negara dalam acara terjun yang membuka tirainya pada 22 hingga 25 November ini.

Tiga penerjun terbabit ialah Pandelela Rinong yang mengalami kecederaan di bahagian buku lali kiri serta Leong Mun Yee dan Bryan Nickson Lomas yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan di universiti.

Ketiadaan ketiga-tiga penerjun elit itu menyaksikan skuad negara menyandarkan harapan kepada Cheong Jun Hoong, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Chew Yiwei dan Loh Zhiayi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan