Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chelsea pecat Di Matteo

Posted:

Chelsea pecat Di Matteo

Chelsea pecat Di Matteo

DI MATTEO dipecat selepas enam bulan membimbing Chelsea.


LONDON – Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo telah dipecat selepas skuad The Blues tewas 0-3 kepada Juventus pada aksi Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara di Stadium Juventus awal pagi semalam.

Pengendali kelahiran Itali itu dipecat selepas enam bulan membimbing Chelsea, sekali gus menerima nasib yang sama seperti pengurus-pengurus sebelum ini.

Chelsea dilaporkan terpaksa mengambil keputusan drastik tersebut bagi mengelak juara Eropah itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada kempen Liga Juara-Juara.

"Prestasi dan pencapaian semasa belum cukup bagus. Pemilik dan ahli lembaga kelab ini merasakan bahawa perubahan wajar dilakukan bagi memastikan hala tuju kami masih berada di landasan yang sepatutnya," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Chelsea semalam.

Selepas tewas 1-2 kepada West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana England hujung minggu lalu, pemilik Chelsea, Roman Abramovich ternyata sudah hilang sabar selepas mereka kalah kepada Juventus.

Kekalahan di peringkat kumpulan itu menyukarkan peluang Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara kerana selain memenangi perlawanan terakhir, mereka juga terpaksa mengharapkan ihsan daripada pasukan lain untuk layak ke pusingan kalah mati.

Sehingga ini, pengganti Di Matteo masih menjadi teka-teki namun Chelsea dalam kenyataannya berjanji akan membuat pengumuman secepat yang mungkin.

"Bagaimanapun, pemilik dan ahli lembaga pengarah kelab tetap mengucapkan terima kasih kepada Di Matteo di atas sumbangan yang diberikannya sejak mengambil alih jawatan pengurus pada Mac lalu.

"Jasa Di Matteo membantu kami menjulang trofi Liga Juara-Juara yang penuh bersejarah dan trofi Piala FA buat kali ketujuh tetap akan dikenang," katanya.

Begitupun, Di Matteo lebih berjaya selaku pengendali sementara musim lalu berbanding menjadi pengurus sebenar apabila menggantikan Andre Villas Boas musim ini.

Beliau merupakan pengurus Chelsea yang kelapan dipecat di bawah rejim Abramovich sejak pemilik dari Rusia itu membeli kelab tersebut pada 2003.

Chelsea bermula baik di awal musim di bawah bimbingan Di Matteo apabila menang tujuh perlawanan berturut-turut dan satu seri untuk menerajui Liga Perdana England.

Bagaimanapun, prestasi mereka tiba-tiba merudum apabila hanya mampu mencatat dua kemenangan daripada lapan perlawanan terbaharu di semua peringkat termasuk liga domestik dan Eropah.

Ketika ini, Chelsea menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana England. – Reuters

Norshahrul tiada dalam senarai

Posted:

Norshahrul tiada dalam senarai

Norshahrul tiada dalam senarai

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

KAFA membuat ketetapan untuk tidak menyenaraikan nama Norshahrul dalam skuad The Red Warriors musim depan.


KELANTAN akan mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tanpa kelibat penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat ketetapan untuk tidak menyenaraikan nama Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo dalam skuad The Red Warriors.

Perkara tersebut disahkan oleh presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam majlis Perarakan Tiga Piala dan Memperkenalkan Pemain skuad The Red Warriors 2013 di Dataran Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Annuar berkata, pengurusan KAFA telah sepakat untuk melepaskan Mat Yo bagi berhijrah ke pasukan baharu setelah meneliti segala aspek seperti keperluan pasukan dan keinginannya sendiri untuk meninggalkan pasukan.

Menurutnya, pihaknya menghormati keputusan Mat Yo dan dia telahpun menghantar surat tamat kontrak untuk tidak lagi bersama pasukan untuk musim hadapan.

"Mat Yo sudah batalkan kontrak dan kami setuju untuk lepaskan. Selebihnya akan diuruskan oleh pihak peguam yang dilantik dan mempunyai pengetahuan dalam bidang sukan untuk menguruskan hal tersebut agar ia dapat diselesaikan secara 'menang-menang'.

"Perkara itu sudah jelas, saya tidak mahu lagi menghangatkan isu Mat Yo, biarlah kami lepaskan dia supaya kami dapat memberikan tumpuan untuk mantapkan pasukan bagi menghadapi saingan musim hadapan,'' katanya.

Terdahulu, Annuar bersama Ketua Pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan barisan pemain, mempersembahkan ketiga-tiga piala yang dimenangi kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Majlis Santapan Malam di Hotel Renaissance.

Bagi menghadapi saingan musim hadapan, KAFA menampilkan lima muka baharu iaitu K. Nanthakumar (Perak), Muhammad Izuan Solahuddin (Harimau Muda A), Zairol Anuar Zailani dan Mohd. Faiz Subri (T-Team) serta Norhadi Ubaidillah.

Bagaimanapun pemain yang bakal menyarung jersi nombor 9 dan 28 masih dirahsiakan KAFA.

Selain Mat Yo, Kelantan turut melepaskan empat pemain iaitu Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor), Azlan Ismail dan S. Chanturu (Perak) serta Nurul Azwan Roya (Johor).

Dalam pada itu, The Red Warriors mengekalkan hampir 95 peratus pemain asal antaranya Mohd. Badhri, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Dausu Jamaludin, S. Subramaniam, Mohd. Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad, Obinna Nwaneri manakala Muhammad Ghaddar masih lagi dalam perbincangan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar mengakui penghijrahan Mat Yo memberi kesan besar daripada aspek penajaan kepada pasukan untuk musim hadapan.

"Sebahagian besar penaja sudah tidak lagi mahu menyambung penajaan mereka dan penaja-penaja yang terdapat pada jersi pasukan kemungkinan besar sudah tidak ada lagi pada musim hadapan.

"Saya anggap ini masalah yang perlu kita selesaikan sama ada memujuk kembali penaja-penaja atau mencari alternatif lain. Kalau terpaksa hilang kita terpaksa terima hakikat ini," katanya.

Najib sampai amanat

Posted:

Najib sampai amanat

Najib sampai amanat

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


NAJIB (berdiri, tiga dari kiri) meluangkan waktu menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.


"BILA kita jatuh, kita bangun semula. Bila kita berjaya, kita lipatgandakan segala usaha,"

Demikian amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada skuad Harimau Malaya ketika 'turun padang' menyaksikan sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, petang semalam.

Najib meluangkan masa bersama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu untuk memberikan kata-kata pembakar semangat kepada pemain dalam misi mempertahankan kejuaraan pada kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012.

Najib yang turut ditemani Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau tetap menaruh keyakinan kepada skuad negara selaku juara bertahan, sekali gus berharap para pemain akan bangkit pada aksi Piala AFF Suzuki yang bakal membukai tirai, Sabtu ini.

Jelasnya, beliau juga berharap barisan pemain negara akan berjuang habis-habisan dan memperbaiki persembahan hambar dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

"Bagi saya, Perdana Menteri dan pemain bola sepak memiliki satu persamaan.

"Ini kerana apabila kita berjaya, kita akan disanjung namun sekiranya kita gagal, kita akan dikritik hebat.

"Menyarungkan jersi Harimau Malaya adalah satu penghormatan (buat pemain-pemain). Mereka adalah insan terpilih untuk membawa imej negara di persada antarabangsa.

"Saya masih percaya dengan jurulatih dan pemain-pemain negara dalam usaha mempertahankan trofi Piala AFF Suzuki dan kita masih memiliki peluang.

"Kita perlu melupakan kekalahan kepada Vietnam (0-1), Thailand (0-2) serta persembahan kurang memberangsang ketika menentang Hong Kong dan Bangladesh yang mana kita sekadar seri 1-1," katanya.

Tambah Najib, beliau selaku wakil kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Harimau Malaya selain bakal mengumumkan ganjaran kepada barisan pemain sekiranya mereka berjaya mempertahankan kejuaraan itu.

"Saya percaya, seluruh rakyat akan memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya. Walaupun saya tahu pemain-pemain bola sepak memiliki pendapatan lumayan tetapi kerajaan akan bagi sesuatu nanti," ujarnya.

Sementara itu, Safiq Rahim selaku kapten Harimau Malaya mengakui terharu dengan kunjungan pemimpin No. 1 negara itu dan berazam untuk mempamerkan aksi cemerlang demi negara.

"Saya berjanji kami akan berjuang dengan sepenuh jiwa raga kami dalam usaha mempertahankan trofi yang diraih dua tahun lalu demi negara," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan