Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Pandang hadapan

Posted: 02 Dec 2012 08:20 AM PST

PENYERANG negara, Mohd Safee Sali tidak lagi mahu memandang aksi peringkat kumpulan selepas Harimau Malaya mara ke separuh akhir berdepan Thailand.

Skuad Gajah Perang yang dibimbing Winfried Schafer kini menanti anak buah Datuk K Rajagobal dalam dua peringkat separuh akhir manakala Singapura menentang Filipina bagi merebut dua tiket ke final.


"Berdepan Thailand adalah satu perlawanan berlainan. Kita pernah bermain dengan mereka dalam perlawanan persahabatan. Jadi pada saya, kita perlu membaiki setiap kelemahan yang ada sebelum perlawanan," kata penjaring terbanyak negara dalam Piala AFF dengan lapan gol.

Malaysia dalam satu aksi persahabatan di Bangkok pada awal bulan lalu kecundang 0-2 menerusi jaringan Prayat Bunya pada minit ke-26 dan rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti minit ke-80 bagi menewaskan penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias pada perlawanan itu.


Thailand membuktikan mereka pencabar utama untuk merampas kejuaraan kali ini apabila muncul juara Kumpulan A dengan meraih mata maksimum dalam tiga perlawanan dengan meledak sembilan gol, paling banyak berbanding pasukan lain dan hanya melepaskan dua gol.


"Memang diakui jentera serangan dan pertahanan mereka bagus namun kami perlu menggunakan tempoh yang ada sebaik mungkin," katanya yang baru meledak satu gol.

Safee yang banyak dikritik kerana kegagalannya menyerlah, hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Laos.


Selaku peledak hebat yang beraksi dalam Liga ISL dengan kelab Pelita Jaya dia diharap mempamerkan ketajamannya membolosi gawang lawan.

Namun dia agak tumpul dan kerap melepaskan peluang keemasan di gawang lawan. Begitu juga halnya bagi Norshahrul Idlan Talaha.


"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti dan berharap gol kedua akan menyusul berdepan Thailand nanti.


"Saya harap penyokong bersabar dan tetap memberikan sokongan padu kepada skuad negara," katanya. Mengenai Indonesia, Safee berasakan juara edisi 2010 itu lebih bagus dan berpengalaman berbanding pemain yang tampil bersaing kali ini.


"Saya rasa mereka akan lebih hebat jika mempunyai pemain Liga Super Indonesia (ISL). Saya harap konflik yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Hampiri Mueller

Posted: 02 Dec 2012 08:16 AM PST

MADRID: Lionel Messi semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik Gerd Mueller ketika Barcelona membelasah Athletic Bilbao 5-1 awal pagi semalam untuk mencipta rekod baru permulaan terbaik dalam saingan La Liga dan kekal 11 mata mengatasi Real Madrid.

Real yang juga juara bertahan mengetepikan musuh setempat, Atletico 2-0 dengan Cristiano Ronaldo meledak jaringan bagi meneruskan harapan mempertahankan gelaran.


Barca kini mengumpul 13 kemenangan dan sekali seri dalam 14 aksi terakhir untuk memecahkan rekod sebelum ini dalam liga Sepanyol yang dilakukan Real Madrid pada musim 1991-92.

"Ia sesuatu yang membanggakan namun saya lebih gembira dengan persembahan pemain dan ketika mendahului 5-1 kami terus memberi tekanan dan cuba menjaringkan lebih banyak gol," kata jurulatih Barca, Tito Vilanova. "Masih ada perkara yang kami boleh perbaiki dan kami boleh berusaha lebih keras lagi." Gerard Pique meletakkan skuad Catalan itu mendahului selepas 22 minit diikuti jaringan pertama Messi yang menewaskan pemain pertahanan Fernando Amorebieta di garisan gol sebelum Adriano Correia meledak jaringan ketiga sebelum tamat babak pertama.


Cesc Fabregas kemudian menambah jaringan diikuti jaringan sagu hati Ibai Gomez sebelum Messi meledak sekali lagi.


Messi kini kekurangan satu gol berbanding rekod Mueller yang menjaringkan 85 gol dalam kalendar setahun yang dilakukan pemain itu ketika bersama Bayern Munich dan Jerman pada 1972.

Atletico Madrid, yang berada pada prestasi baik ketika ini untuk menghuni tempat kedua, berasakan ia detik terbaik untuk menewaskan Real Madrid sejak kemenangan terakhir pada Oktober 1999 namun mereka jarang mengancam apabila gagal menenangkan diri dalam perlawanan mencabar itu.


Ronaldo tenang dan mempamerkan dia berada di tahap tersendiri walaupun tanpa sebarang gol dalam tiga perlawanan dengan meledak jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-15 dari jarak 30 meter yang menggegar penjuru gawang. Pemain itu sekali lagi melakukan larian ke dalam kotak penalti selepas 53 minit dan melakukan hantaran kepada Mesut Ozil untuk melakukan sepakan voli dari jarak 15 meter bagi gol kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan