Kosmo Online - Sukan |
Posted: 'Saya okay dengan Misbun'Oleh HELMI TALKAH PUNCA peletakan jawatan Misbun daripada BAM terus menjadi tanda tanya. "SAYA tidak ada sebarang masalah dengan Misbun." Demikian pengakuan Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek. Sebelum ini, ada segelintir pihak membuat andaian bahawa keputusan yang dibuat Misbun untuk meletak jawatan disebabkan rasa tidak puas hatinya terhadap James. Ia ekoran tindakan James yang melakukan rombakan terhadap sistem kejurulatihan dan corak latihan yang diterapkan sebelum beliau dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi BAM. Bagaimanapun, James yang memulakan tugasnya pada 1 September 2010 menafikan sekeras-kerasnya andaian tersebut. Menurut James, jika beliau yang menjadi punca keputusan Misbun untuk meletak jawatan, sudah pasti jurulatih tersebut telah berbuat demikian sejak mula dia dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi BAM.
"Itu semua andaian semata-mata. Saya sebenarnya langsung tidak mempunyai sebarang masalah dengan Misbun dan begitu juga dengan dia. "Bukan sebab saya dia meletak jawatan. Saya tahu apa sebenarnya punca dia berbuat demikian, namun saya mahu berjumpa dengan dia terlebih dahulu sebelum memberi penjelasan lebih lanjut," jelas James ketika dihubungi Kosmo! semalam. Menurut James lagi, Misbun ada memberitahunya untuk berjumpa hari ini kerana ada sesuatu yang ingin dibincangkan. "Dia (Misbun) ada beritahu saya untuk berjumpa esok petang (hari ini) dan saya akan berjumpa dengannya." "Saya tahu dia meletak jawatan pun pada hari Sabtu lalu ketika menghadiri upacara pengkebumian abang iparnya dan ketika itu juga dia memberitahu saya yang dia telah letak jawatan," jelasnya lagi. | ||
Posted: Rumah untuk Khairul FahmiOleh YATIMIN ABDULLAH
PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah rumah ekoran kecemerlangannya membantu Malaysia muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berakhir di Jakarta minggu lalu. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri bangga atas kecemerlangan anak muda itu membantu skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan tersebut. Menurut beliau, sebagai mengenang budi dan menghargai jasanya yang berbakti melalui bola sepak, kerajaan negeri memutuskan untuk menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi. "Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood. "Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita menang bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia. "Oleh itu, berapa nilai sesuatu hadiah ini sebenarnya tidak penting," katanya kepada pemberita selepas meraikan wira negara itu di Kota Bharu semalam. Pada majlis itu, lebih 3,000 peminat dan penduduk kampung membanjiri sekitar kampung Cherang dekat Kota Bharu untuk menyambut kepulangan wira negara itu. Khairul Fahmi yang menaiki kereta pacuan empat roda diiringi oleh 40 buah motosikal, tiba di kampung kelahirannya kira-kira pukul 12.20 tengah hari. Ketibaanya disambut oleh kedua ibu bapanya, Che Mat Hussain dan Bidah Ibrahim. Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz turut memberitahu bahawa bersukan merupakan suatu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam. "Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah. "Nabi kita dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun, saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik dan kemudian saya menang," ujarnya. Tambahnya, kerana terlampau gembira, beliau mengangkat kedua-dua tangan dan secara tiba-tiba seekor biawak melintas. "Lalu kuda yang saya tunggangi itu pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," jelasnya Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda itu agar jangan mudah lupa diri setelah dijulang sebagai wira bola sepak negara. "Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepadanya," katanya. Kejayaan skuad negara muncul juara kejohanan itu telah mengakhiri penantian sejak 14 tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan