Kosmo Online - Sukan |
Chong Wei hampakan jaguh dari Indonesia Posted: Chong Wei hampakan jaguh dari IndonesiaOleh HELMI TALKAH CHONG WEI (berdiri kanan belakang) dan Taufik (kiri belakang) bergambar kenangan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (berdiri depan tiga dari kiri ) selepas majlis penyampaian hadiah. Turut kelihatan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (berdiri depan, tiga dari kanan). KEJAYAAN merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 ternyata menjadi suntikan semangat buat jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei Ini kerana, pemain ranking No. 1 dunia itu akan turun pula beraksi pada Siri Super Terbuka Korea Selatan bermula Selasa ini. Semalam, Chong Wei yang turun selaku pilihan pertama Terbuka Malaysia tidak berdepan halangan untuk menundukkan perseorangan Indonesia, Taufik Hidayat 21-8, 21-17 pada aksi final di Stadium Putra, Bukit Jalil. Selaku juara, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$30,000 (RM91,800) manakala Taufik meraih AS$15,200 (RM46,512). Ternyata, kemenangan yang dilakarkan Chong Wei itu dianggap sebagai motivasi terbaik buat pemain berusia 29 tahun itu sebelum beraksi pada Terbuka Korea Selatan yang menawarkan hadiah paling lumayan dalam kejohanan Siri Super. Terbuka Korea Selatan menawarkan hadiah wang tunai secara keseluruhannya berjumlah AS$1.2 juta (RM3.6 juta). "Saya harap, kejuaraan di sini (Malaysia) memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan kecemerlangan pada Terbuka Korea Selatan nanti," kata Chong Wei. Bagaimanapun, laluan Chong Wei pada Terbuka Korea Selatan kali ini tidaklah semudah yang disangka apabila undian yang dikeluarkan tidak memihak kepada pemain kelahiran Pulau Pinang itu. Pada aksi pusingan pertama, Chong Wei dijadual berdepan pemain Denmark, Jan Jorgesen. Sekiranya menang dia perlu menentang sama ada pemain sensasi Korea Selatan, Park Sung-hwan atau Chen Jin dari China pada pusingan kedua. Sekalipun laluan Chong Wei pada kejohanan tersebut dilihat penuh berliku namun pemain itu tetap optimis dengan peluangnya untuk menggenggam gelaran juara. CHONG Wei (kanan) dan Taufik bangga dengan hadiah masing-masing selepas muncul juara dan naib juara Terbuka Malaysia yang berakhir di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. "Memang undian tidak memihak kepada saya dan saya perlu berdepan pemain-pemain yang hebat pada pusingan awal. "Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut. "Apa yang penting, saya mahu fokus terhadap diri saya sendiri dahulu. Saya akan fikir satu demi satu perlawanan," jelas Chong Wei. Chong Wei telah berlepas ke Korea Selatan lewat malam tadi. Sebaik selesai kejohanan semalam, Chong Wei dirai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada satu majlis makan malam di bilik orang kenamaan di Stadium Putra, Bukit Jalil. | ||
Posted: Tembok Besar China terus utuhWANG Shixian meneruskan penguasaan pemain wanita China di pentas antarabangsa. PRESTASI barisan pemain badminton China pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 sudah tidak boleh dipersoalkan. Buktinya, aksi final yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam sudah cukup menceritakan segala-galanya. Bermula daripada acara beregu campuran, perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu wanita, gelaran juara semuanya disapu bersih oleh pemain dari negara Tembok Besar itu. Cuma, acara perseorangan lelaki sahaja China tidak layak ke pentas final. Itupun disebabkan keputusan jaguh mereka, Lin Dan yang menarik diri sebelum turun beraksi pada peringkat suku akhir Jumaat lalu. Jika tidak, sudah pasti China terus melebarkan sayap mereka menguasai pentas final kejohanan kali ini. Yang pasti, Tembok Besar China terus utuh menerajui arena sukan badminton dunia. Beregu campuran, He Hanbin/Ma Jin memberi gelaran juara pertama buat China apabila menewaskan rakan senegara mereka, Jiaming Tao/Tian Qing 21-13, 13-21, 21-16 pada aksi final semalam. Rentak kecemerlangan tersebut diteruskan beregu lelaki China, Chai Biao/Gua Zhendong yang berjaya mengenepikan cabaran pasangan Denmark, Mads Conrads-Petersen/Jonas Rasmussen 21-16, 21-14. Pemain perseorangan China, Wang Shixian pula merangkul gelaran juara selepas menundukkan rakan senegaranya, Wang Yihan 21-18, 21-14. Sekalipun Yihan yang merupakan pemain No. 1 dunia pada awalnya dilihat bakal memenangi aksi final tersebut, Shixian tampil dengan prestasi penuh konsisten. "Memang perlawanan tadi (Shixian) nampak mudah bagi saya namun hakikatnya tidak begitu. "Yihan beraksi dengan baik dan suatu ketika dia berjaya merapatkan jurang mata biarpun telah ketinggalan," kata Shixian. Acara beregu wanita pula menyaksikan kehebatan gandingan Tian Qing/Zhao Yunlei yang menewaskan Wang Xiaoli/Yu Yang 21-12, 6-21, 21-17 pada perlawanan akhir. Juara bagi acara perseorangan wanita membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$30,000 (RM91,800) manakala naib juara AS$D15,200 (RM46,512). Manakala juara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran pula membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,600 (RM96,696) sementara naib juara ketiga-tiga acara tersebut AS$15,200 (RM46,512). | ||
Posted: Nadzmi diberikan mandatOleh HELMI TALKAH
KEMELUT peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek belum ada tanda-tanda penyelesaian. Mesyuarat ahli-ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam yang pada awalnya dikatakan bagi membincangkan isu tersebut juga masih gagal menemui jalan damai. Sebaliknya, ahli-ahli majlis badan induk sukan badminton negara itu telah sebulat suara memberikan mandat kepada Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh untuk membuat keputusan. Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Nadzmi dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Stadium Putra, Bukit Jalil. Menurut Nazdmi, ahli-ahli majlis BAM telah memutuskan untuk membiarkan beliau membuat keputusan mengenai isu yang timbul berkaitan peletakan jawatan Misbun. "Ahli-ahli majlis telah menyerahkannya kepada saya dan kini terpulang kepada saya untuk membuat keputusan. "Begitupun, ahli-ahli majlis BAM yang lain telah mendapat gambaran sebenar berhubung isu ini dan mereka juga telah mendapat penjelasan yang secukupnya," jelas Nadzmi. Menurut Nadzmi lagi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Misbun selepas berakhirnya Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 sebelum boleh membuat sebarang keputusan. Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 telah pun melabuhkan tirainya semalam. Sebelum ini, Misbun mengejutkan arena sukan badminton tanah air apabila membuat keputusan untuk meletak jawatan selaku jurulatih pada 31 Disember tahun lalu. Perbezaan pendapat dalam struktur kejurulatihan BAM yang baru dikatakan menjadi punca utama mengapa Misbun membuat keputusan sedemikian. Begitupun, hasil perbincangan antara ahli majlis BAM minggu lalu, badan induk tersebut telah sebulat suara meminta Misbun mempertimbangkan semula keputusannya itu. Difahamkan, Misbun ada meletakkan beberapa syarat kepada BAM seandainya mahukan beliau menarik balik keputusannya. Sekiranya hasil pertemuan Nadzmi dengan Misbun yang dijangka berlangsung tidak lama lagi menampakkan tanda-tanda positif, ini bermakna Misbun akan kembali menggalas tugas selaku jurulatih semula. Namun, persoalannya kini adakah BAM sanggup menunaikan segala syarat-syarat yang diletakkan Misbun itu termasuklah menukar struktur kejurulatihan yang baru itu. Nadzmi yang diminta mengulas mengenai hal tersebut berkata: "Saya tidak fikir kami perlu mengubah struktur kejurulatihan tersebut hanya disebabkan Misbun seorang sahaja yang tidak bersetuju. "Perkara ini dibuat berdasarkan suara majoriti dan ia perlu dihormati "Lagipun...struktur kejurulatihan yang baru ini dibuat berdasarkan kegagalan skuad badminton negara pada Kejohanan Piala Thomas/Uber tahun lalu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan