Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Anuar rampas jersi raja pecut

Posted:

Anuar rampas jersi raja pecut

Anuar rampas jersi raja pecut

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my


Anuar Manan mengangkat tangan di atas podium setelah dinobat sebagai pemilik baru jersi biru atau Raja Pecut LTdL 2001, sejurus tamat perlumbaan peringkat keenam dari Rawang ke Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA - Anuar Manan merampas jersi Raja Pecut yang dimenangi pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu, apabila menduduki tempat kedua pada perlumbaan peringkat keenam LTdL 2011 dari Rawang ke Putrajaya semalam.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu berjaya menyambar jersi biru dari seteru utamanya tahun ini Andrea Guardini (Farnese Vini-Neri Sottoli), walaupun pelumba dari Itali itu berjaya muncul juara pada perlumbaan sejauh 106.7 kilometer itu.

Anuar yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala rakan sepasukan Guardini, Takashi Miyazawa di tempat ketiga.

Bagaimanapun, Anuar, 24, seperti belum puas dengan pencapaiannya setakat ini, kerana sasarannya ialah sekurang-kurangnya memenangi salah satu daripada 10 peringkat perlumbaan pada edisi kali ini.

Dia tetap berasa bersyukur kerana akhirnya dapat menyarung jersi biru selepas enam peringkat perlumbaan. Namun, dia tidak boleh terlalu gembira selagi sasaran memenangi satu peringkat perlumbaan, belum tercapai.

"Saya tidak puas hanya muncul naib juara pada perlumbaan hari ini (semalam)," jelasnya.

Anuar turut mencatatkan kedudukan yang sama pada perlumbaan peringkat ketiga dari Taiping ke Sitiawan, Selasa lalu.

Sehari sebelum itu, Anuar menamatkan perlumbaan peringkat kedua dari Kangar ke Butterworth di tempat ketiga, sekali gus membolehkannya menyarung Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) selama dua hari berturut-turut.

"Saya lebih banyak mengekori Guardini pada perlumbaan hari ini. Ia adalah sebagai strategi untuk terus bersaing dengan pelumba kelahiran Itali berusia 22 tahun itu.

"Kadang-kadang Guardini memperlahankan kayuhannya kerana dia tidak mahu saya mengekorinya tetapi mujur saya dapat bersaing dengannya sehingga ke garisan penamat," kata Anuar.

Menurutnya, perlumbaan semalam juga agak sengit kerana semua pelumba bersemangat dan bertungkus-lumus untuk mengutip mata.

"Saya harus berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan dan juga penyokong-penyokong tempatan yang hadir memberikan sokongan sepanjang perlumbaan.

"Sokongan padu daripada mereka telah menaikkan semangat saya serta rakan-rakan yang lain dan kehadiran mereka tidak sia-sia kerana saya telah menghadiahkan sesuatu buat mereka," katanya.

Kata Anuar, dia tetap optimis mampu merealisasikan sasarannya pada LTdL 2011 dengan memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat perlumbaan.

"Satu mata yang membezakan saya dengan Guardini bukan jurang yang besar, jadi saya harus bertindak lebih agresif jika mahu mengekalkan jersi biru.

"Bebanan semakin berat tetapi semua itu tidak mustahil untuk dicapai kerana saya yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan yang lain," ujarnya.

Anuar yang mewakili pasukan dari Korea Selatan tahun lalu, muncul pelumba pertama negara memenangi satu peringkat selain menjadi pelumba pertama dari Asia yang merangkul gelaran Raja Pecut.

Sementara itu, jurulatih TSG, Syed Mohd. Husaini Syed Mazlan berkata, dia telah menyusun strategi bagi membolehkan anak-anak buahnya memenangi perlumbaan peringkat keenam semalam.

"Sasaran kami mahu menang tetapi tidak ada rezeki lagi. Guardini memang jaguh pecut yang bagus dan terbaik ketika ini, susah buat pelumba kami terutama Anuar untuk menyaingi kehebatannya.

"Saya hanya berharap, kalau ada rezeki, salah seorang pelumba TSG akan menaiki podium selaku juara pada baki empat peringkat perlumbaan selepas ini," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Karathu teruskan taktikal Sathianathan

Posted:

Karathu teruskan taktikal Sathianathan

Karathu teruskan taktikal Sathianathan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Tempoh dua hari yang dimiliki oleh pengendali baru Red Warriors, Datuk M.Karathu mencukupi untuk beliau menyusun strategi bagi menghadapi Perlawanan Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini.

Bekas jurulatih Perak itu berkata, pada pertembungan dengan Selangor, anak-anak buahnya akan turun dengan taktikal yang telah dirancang oleh bekas rakan sejawatnya, B.Sathianathan.

Menurutnya, beliau hanya sempat menjalani latihan selama dua hari bersama pasukan selepas mengambil alih tugas Sathia, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Bagi saya keputusan terbaik adalah mengekalkan taktikal yang digunakan oleh bekas jurulatih Sathia. Tempoh dua hari tidak cukup buat saya untuk mengubah keseluruhan corak permainan pasukan.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Sathia dan Hashim Mustapa untuk pemain merencanakan taktikal terbaik apabila turun menentang Selangor malam esok (malam ini)," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan untuk perlawanan yang berprestasi tinggi hari ini, iaitu aksi pertama musim ini.

"Masalah ini sering berlaku kepada pemain tempatan. Saya kira Selangor juga berdepan masalah yang sama," katanya.

Karathu menjelaskan, untuk perlawanan hari ini, pasukannya berdepan masalah apabila dua penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha belum pasti diturunkan, selepas mengadu kesakitan pada sesi latihan sejak dua hari.

Tambahnya, lebih memeritkan, beliau terpaksa melupakan khidmat pemain lincah, S. Chanturu yang masih cedera.

"Namun kami masih ada dua penyerang muda yang boleh diketengahkan iaitu Nizad Ayub dan Ramzul Zahini Adenan.

"Bagi saya ia satu situasi yang cukup baik apabila semua pemain mempunyai keyakinan untuk turun beraksi dan pentas akhir tidak sama dengan perlawanan biasa, saya mahu para pemain beraksi dengan gembira dan buktikan kemampuan," ujarnya.

Karathu menyifatkan Selangor memiliki kekuatan dari segi serangan kerana memiliki pemain yang bagus seperti Safee (Sali), Amri (Yahyah) dan Amirulhadi (Zainal).

"Ini bermakna barisan pertahanan kami perlu bekerja kuat untuk mengekang mereka," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen