Utusan Online - Sukan |
Safee sarung jersi Pelita Jaya Posted: Safee sarung jersi Pelita JayaOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
PETALING JAYA - Bukan Persib Bandung, sebaliknya Pelita Jaya menjadi pilihan penyerang kebangsaan dan Selangor, Safee Sali yang akan beraksi di Liga Super Indonesia (ISL) mulai 7 Mac ini. Apa jua kelab yang menjadi pilihan Safee, pemergian pemuda kelahiran Kajang itu ke Indonesia juga dianggap sebagai detik bersejarah kepada bola sepak tempatan kerana dia menjadi pemain pertama Malaysia beraksi di negara jiran itu. Dengan kontrak selama setahun yang akan berakhir pada 31 Disember 2011, Safee akan berangkat ke Jakarta pada 14 Februari ini dan bakal memakai jersi bernombor 10 selaku penyerang utama kelab Pelita. Perpindahan Safee telah diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad pada sidang media di pejabat FAS, Kelana Jaya, semalam. Bagaimanapun, Abdul Mokhtar enggan mendedahkan sebarang butir-butir perpindahan termasuk yuran pembelian kontrak dan gaji yang diterima oleh Safee sepanjang mewakili Pelita. ''Saya tidak boleh dedahkan apakah syarat dan terma mengenai perpindahan Safee dari Selangor ke Pelita, cuma apa yang saya boleh katakan ia ganjaran yang lebih baik dari Selangor. ''Kami tidak menggunakan mana-mana ejen, FAS sendiri yang bertindak selaku orang tengah dalam urusan perpindahan Safee, " katanya. Turut hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd.Amin, jurulatih Selangor, K. Devan dan semua pemain Liga Super Selangor. Bagi Safee, pemilihan bermain di Pelita terletak di tangan FAS tetapi dia tidak dapat menafikan salah satu alasan Pelita menjadi pilihan adalah kerana peluang beraksi dengan kelab yang dikenali jolokan 'Pendekar Gunung Parang' itu lebih cerah berbanding jika beraksi bersama Persib. ''Saya telah menyerahkan kepada FAS untuk membuat keputusan terbaik dan ada memberitahu Datuk Hamidin Mohd.Amin (Setiausaha FAS) dan gaya permainan Pelita lebih sesuai dengan saya. ''Namun, tidak boleh dinafikan, salah satu punca saya pilih Pelita adalah pasukan ini memang ada masalah penyudah di bahagian serangan dan peluang beraksi lebih cerah. Berbanding Persib, kelab itu sudah mempunyai ramai penyerang import. ''Walaupun saya tahu Pelita berada di tangga tercorot liga selepas berakhirnya pusingan pertama, saya akan cuba sedaya upaya membantu naikkan kembali kedudukan liga Pelita. ''Saya sudah benar-benar bersedia bermain di ISL dengan keyakinan yang tinggi dan akan berusaha gigih untuk menunjukkan kualiti sepanjang bersama Pelita, " ujarnya. Dua pemain bertaraf dunia, Mario Kempes dan Roger Milla pernah beraksi bersama Pelita Jaya pada era 90-an manakala bekas pemain import Perlis dan Negeri Sembilan, Mohd. Lamin Conteh juga menjadi salah seorang pemain Pelita selama dua musim iaitu dari 2006 ke 2007. Berada di tangga tercorot dari 15 pasukan selepas melalui 13 perlawanan, Pelita jelas amat menagih sentuhan Safee di barisan serangan selepas hanya mampu menjaringkan 13 gol dan kelab itu telah kalah sebanyak sembilan kali. Dalam masa sama, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata pada perlawanan terakhir Safee Sali bersama Selangor yang akan menentang Kuala Lumpur, 12 Februari ini, dia akan diberikan penghormatan menjadi kapten pasukan. ''Ini adalah sebagai lambang perpisahan kepada Safee yang tidak lagi beraksi bersama Selangor sehingga penghujung musim," katanya. | ||
Posted: Tugas Safee, Fakri gempurOleh ABDUL HAFIZ AHMAD KAJANG - Jentera serangan Malaysia yang dianggap sudah mantap ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, berkemungkinan besar mengalami rombakan dalam menghadapi Hong Kong pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, esok. Gara-gara kecederaan Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali kali ini perlu digandingkan dengan penyerang muda, Ahmad Fakri Saarani yang terlepas tempat dalam skuad juara berkenaan serta Sukan Asia Guangzhou lalu, juga kerana tercedera. "Kesebelasan utama yang muktamad terserah kepada jurulatih (K. Rajagobal) tetapi ketika ini Norshahrul tercedera dan ada kemungkinan Fakri yang menjadi gandingan baru saya," katanya ketika ditemui pada sesi motivasi buat peserta Raja Lawak Astro tajaan Mizi Sports Centre di Country Heights Kajang, kelmarin. Bagaimanapun Safee tidak melihat sebarang perubahan mampu menjejaskan rentak permainan sepasukan, esok, malah amat mengalu-alukan kepulangan ramai tonggak yang terlepas Sukan Asia dan Piala Suzuki lalu termasuk bekas ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak. "Kemasukan mereka kembali menambah sengat pasukan malah memberikan banyak pilihan pemain kepada jurulatih jika berlaku kejadian di luar dugaan," kata Safee yang bakal meninggalkan Selangor dan Malaysia selama semusim untuk mencuba nasib di Liga Super Indonesia, bulan depan. Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat juga sependapat meskipun menyedari posisinya kini turut akan cuba diintai semula oleh Farizal Marlias yang baru kembali menyertai skuad negara dan Sharbinee Allawee Ramli yang cuma beraksi satu perlawanan Piala Suzuki AFF. Turut berkongsi pandangan sedemikian ialah bek tengah, Aidil Zafuan yang berpegang teguh kepada semangat persaingan sihat oleh setiap pemain yang dipanggil dengan matlamat masing-masing akhirnya adalah untuk menjulang dan membanggakan skuad negara. Ketua pasukan negara, Safiq Rahim pula berjanji bahawa dia dan rakan sepasukan tidak akan sesekali memandang ringan kemampuan Hong Kong sekalipun ia sekadar satu persahabatan antarabangsa dan tidak begitu berdaya saing atau segetir menghadapi Piala Suzuki AFF. "Sama ada persahabatan atau pertandingan, ia tiada bezanya bagi kami apabila disandarkan harapan negara kerana hanya persembahan terbaik perlu disajikan khususnya buat peminat yang sudah kembali meyakini bola sepak kita kebelakangan ini," katanya. Sebarang keputusan dengan Hong Kong bagaimanapun masih akan mempengaruhi ranking kini Malaysia, ke-140 yang cuma naik dua tangga dari bulan lalu biarpun menjulang Piala Suzuki AFF, Disember lalu dengan mengatasi pasukan yang lebih tinggi, Indonesia dan Vietnam. Inilah persahabatan pertama buat anak buah Rajagobal menjelang Kelayakan Piala Dunia 2014 yang dijadual berlangsung pertengahan tahun ini selain persediaan bagi pemain bawah 22 tahun ke kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan pada 23 Februari dan bulan depan. Sementara itu, sesi motivasi kelmarin menyaksikan mereka berempat turut berkongsi pengalaman dengan peserta Raja Lawak terutama mengenai bagaimana untuk menangani situasi tertekan, gemuruh, berdepan dengan ramai penonton dan keberanian untuk menampilkan persembahan terbaik. Cenderamata penaja turut dihadiahkan kepada peserta Raja Lawak yang meneka tepat soalan kuiz Piala Suzuki AFF seperti Balas, Najmi, Epy, R2, Pukaw, Lucky di samping sketsa lawak oleh Man yang membuatkan pemain negara tidak kering gusi menonton telatahnya yang meniru aksi pengacara Casa Impian dan Deko Bersama Eric Leong. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan