Utusan Online - Sukan |
Posted: Misbun bukan untuk Chong WeiOleh Norzie Mohd. Khasbi KUALA LUMPUR - Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, namun kepulangannya bukan untuk Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya beliau diberi cabaran baru, melahirkan pengganti jaguh No. 1 dunia itu dengan sasaran adalah Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016. Keputusan tersebut dicapai oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mesyuaratnya semalam, yang memutuskan Misbun akan membimbing sekumpulan pemain pelapis yang belum dikenal pasti, pada ketika Chong Wei pula kekal di bawah bimbingan Tey Seu Bock dan Rashid Sidek sehingga tamat Sukan Olimpik London 2012. Bermakna, permintaan jurulatih berpengalaman itu untuk membimbing anaknya, Misbun Ramdan Misbun, antara punca beliau meletakkan jawatan sebelum ini, hampir akan dikabulkan oleh BAM. Namun, butiran terperinci mengenai siapa pelatih yang bakal bernaung di bawah beliau hanya akan diputuskan selepas mesyuarat exco 28 April ini. "Kami mencadangkan Misbun mengendalikan skuad campuran, gabungan pemain elit dan pelapis. Kita belum menentukan senarai pelatih yang akan berada di bawah beliau, tetapi yang pasti beliau tidak akan bekerja secara langsung dengan Lee Chong Wei. "Keputusan ini dicapai selepas mendapatkan pandangan daripada semua rakan kongsi BAM iaitu barisan jurulatih kebangsaan, Lee Chong Wei dan MSN (Majlis Sukan Negara), namun ia perlu diluluskan oleh exco yang bermesyuarat minggu depan," kata Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai, yang mempengerusikan mesyuarat hampir tiga jam di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. Chin Chai berkata, Misbun sudahpun dijelaskan mengenai skop baru tugasnya apabila kembali ke skuad kebangsaan dan jurulatih itu menyambut cabaran tersebut dengan baik biarpun hingga hari ini belum menjawab kontrak baru yang diserahkan oleh BAM, minggu lalu. "Kami sudah beritahu Misbun mengenai skop tugasnya nanti dan beliau menerima dengan baik. Pemilihan pemain yang akan dibimbingnya bakal dibuat secara bersama. Kami sudah berbincang dengan jurulatih lain, termasuk Hendrawan mengenai kemungkinan menyerahkan pemain mereka dan semua menerimanya dengan baik kerana ia adalah demi kepentingan negara. "Pemilihan pemain, bergantung kepada kesesuaian corak permainan dan beberapa kriteria. Mungkin akan ada satu atau dua pemain skuad elit berada di bawah Misbun bersama pemain pelapis, tetapi mungkin juga tidak, namun siapapun yang akan dipilih, ia sama sekali tidak akan menganggu atau merubah struktur kejurulatihan kebangsaan," kata Chin Chai lagi. Selain Chong Wei, terdapat empat lagi pemain elit yang dikendalikan Seu Bock dan Rashid iaitu Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Chan Kwong Beng dan Liew Daren, manakala ada sembilan pemain pelapis yang dilatih Hendrawan, iaitu Mohd. Arif Latif, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Fang Yang, Muhd. Syawal Ismail, Misbun Ramdan Misbun Sidek, Loh Wei Sheng, Kuan Kam Chung, Goh Soon Huat dan Tew Gee Chong. Dalam perkembangan lain, BAM sudah menyerahkan surat tawaran kepada ratu badminton negara, Wong Mew Choo untuk menjadi jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi menggantikan Chi Zhangrong yang dinaikkan sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, mengisi kekosongan Wong Tat Meng. Zhangrong akan membawa bersama dua pemainnya, Sonia Chia dan Yang Li Lian. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Selangor kembali terajui liga Super Posted: Selangor kembali terajui liga Super
KUALA LUMPUR - Selangor merampas semula teraju carta saingan bola sepak Liga Super 2011 daripada Terengganu yang bermain lebih awal kelmarin setelah menundukkan Perak 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam. Rembatan kaki kanan ketua pasukan negara, Safiq Rahim pada minit ke-68 yang memanfaatkan keadaan kelam-kabut depan gol, memadai untuk melonjakkan Gergasi Merah mengumpul 26 mata setakat ini berbanding Terengganu 24 mata. Kemenangan anak buah K. Devan ini turut menunda langkah skuad Seladang di tangga ketiga, yang turut mengidam ke tangga teratas selain Kelantan dari tangga keempat setelah Wira Merah sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Kota Bharu. Perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV itu turut menyaksikan jurulatih Sabah, Gary Phillips diarah meninggalkan bangku simpanan pasukan kerana mendapat kad merah setelah membantah keputusan pengadil pada minit ke-22. Kegagalan Kelantan mengutip tiga mata itu membolehkan Kedah merapati di tangga keempat setelah menundukkan Pahang 1-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar menerusi jaringan V. Thirumurugan, minit ke-56. Jaringan tunggal Irfan Fazail pula memastikan skuad bawah 22 tahun negara, Harimau Muda A merampas tangga keenam milik Felda United apabila mengatasi kelab Johor, Johor FC 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang. Kuala Lumpur mengejutkan T-Team 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sementara Perlis menghampakan hasrat Negeri Sembilan mengutip kemenangan sulung di bawah jurulatih baru, Azraai Khor Abdullah dengan menewaskan pelawat 3-2 di Stadium Utama, Kangar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan