Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Norshahrul, Hadi sudah kembali

Posted:

Norshahrul, Hadi sudah kembali

Norshahrul, Hadi sudah kembali

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my


BARISAN pemain negara giat menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok.


NAMA Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya berada dalam senarai terakhir 23 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok seperti diumum jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam.

Tujuh pelatih digugurkan iaitu Syed Adney Syed Hussein, K. Sasikumar (penjaga gol), Azmi Muslim, Rizal Fahmi Rosid, Hisyamudin Shaari (pertahanan), Yong Kuong Yong (sayap) dan Shahrizal Saad (penyerang).

"Pemain yang digugurkan ini mengalami kecederaan atau baru pulih daripada kecederaan seperti Adney, Azmi dan Shahrizal.

"Manakala bagi Rizal dan Hisyamudin, saya mempunyai ramai pilihan di posisi pertahanan tengah," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Dengan penyenaraian Norshahrul dan Hadi yang telah menjalani latihan penuh semalam, Rajagobal mempunyai pilihan besar di posisi penyerang selain Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani.

Empat pilihan untuk mengemudi jentera tengah ialah Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K. Gurusamy manakala bahagian sayap digerakkan Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Ashari Samsudin dan S. Chanthuru.

Posisi pertahanan tengah pasti memeningkan Rajagobal dengan empat pemain mampu menggalas tugas tersebut iaitu Aidil Zafuan Radzak, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Farisham Ismail.

Posisi pertahanan kanan bakal diisi Helmi Remeli, pertahanan kiri Asraruddin Putra Omar manakala Mahali Jasuli bersedia beraksi di kedua-dua posisi tersebut andai diperlukan.

"Kecederaan Azmi menyebabkan hanya Asraruddin di posisi pertahanan kiri, tetapi kita masih memiliki dua pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut iaitu Mahali dan Fadhli.

"Saya tak kata barisan 23 pemain ini yang terbaik, tetapi inilah pemain yang kita miliki untuk menghadapi Taiwan," jelas Rajagobal.

Bagi posisi penjaga gol, Rajagobal menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nourdin.

Ditanya tentang pasukan lawan, Rajagobal berkata, dia telah menunjukkan video corak permainan Taiwan ketika Kelayakan Piala Cabaran AFC 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Mac lalu kepada anak-anak buahnya.

"Tapi kita tak boleh anggap ia pasukan Taiwan yang sama kerana mungkin kali ini mereka menyenaraikan beberapa pemain baharu yang lebih baik.

"Jadi di sini saya pentingkan persiapan pasukan sendiri dan pada masa sama menghormati juga lawan biarpun ranking mereka lebih rendah," tegas Rajagobal.

Pada Kelayakan Piala Cabaran AFC itu, Taiwan tewas ketiga-tiga perlawanan kepada India (0-3), Turkmenistan (0-2) dan Pakistan (0-2).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Chong Wei sedia gegar dunia

Posted:

Chong Wei sedia gegar dunia

Chong Wei sedia gegar dunia

Oleh HELMI TALKAH
helmi@kosmo.com.my


CHONG WEI berada dalam prestasi terbaik menjelang Kejohanan Dunia di London Ogos depan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei kini sudah bersedia untuk menggenggam gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia di London, England Ogos depan.

Bukan sekadar omongan kosong, namun keyakinan itu disuarakan oleh Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj rentetan kejayaan Chong Wei merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut pada Terbuka Indonesia kelmarin.

Menurut James, ketika ini tidak ada apa yang boleh menghalang Chong Wei bagi bergelar juara dunia berdasarkan prestasi semasanya dan juga sikapnya yang dilihat sentiasa dahagakan kemenangan.

"Chong Wei memang sudah bersedia untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, malah dia mampu bergelar juara.

"Tidak ada orang yang boleh menghalang Chong Wei daripada mencapai matlamatnya itu dan saya tidak akan benarkan sesiapun pun menganggu fokusnya untuk bergelar juara dunia.

"Saya percaya, sikapnya yang sentiasa dahagakan kemenangan itu bakal membantu dia untuk melakar kejayaan nanti.

"Kini, apa yang saya harapkan Chong Wei mampu mengekalkan fokusnya sebelum Kejohanan Dunia bermula," kata James semalam.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih belum pernah meraih gelaran juara pada Kejohanan Dunia.

Gelaran dunia pada tahun ini dilihat sangat penting buat Chong Wei memandangkan pemain No. 1 dunia itu dijangka akan 'menggantung raket' sebaik tamat temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Justeru, mahu atau tidak, Chong Wei perlu merealisasikan impiannya itu bagi meletakkan namanya sebaris dengan jaguh-jaguh badminton dunia seperti perseorangan China, Lin Dan dan Taufik Hidayat (Indonesia) yang terlebih dahulu telah melengkapkan koleksi kejuaraan mereka.

Lin Dan dan Taufik telah mencatat nama selaku juara pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia yang mana ia masih belum dinikmati oleh Chong Wei lagi.

Selepas Kejohanan Dunia, tumpuan Chong Wei akan beralih dalam usaha meraih pingat emas pada Sukan Olimpik di London kelak.

Diminta mengulas mengenai prestasi Chong Wei sepanjang beraksi pada Terbuka Indonesia, James berkata: "Secara keseluruhannya, dia beraksi dengan baik sekali dan itu memang jelas terbukti.

"Cuma, pada peringkat separuh akhir menentang Chen Long, dia menghadapi sedikit kesukaran kerana pemain itu menukar corak permainannya, namun Chong Wei tetap mampu mengatasinya.

"Apa yang menariknya mengenai corak permainan Chong Wei, dia tidak pernah fikir mengenai pemain lain kerana fokusnya tertumpu terhadap corak permainannya sendiri," ujar James.

Pada aksi final di Stadium Istora Senayan kelmarin, Chong Wei membuktikan statusnya selaku jaguh No. 1 dunia apabila mudah membenam cabaran pemain vateran Denmark, Peter Hoeg Gade 21-11, 21-7.

Ia merupakan gelaran keempat Chong Wei pada Terbuka Indonesia selepas kali pertama dia muncul juara pada 2007.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UiTM kuasai gelanggang tenis

Posted:

UiTM kuasai gelanggang tenis

UiTM kuasai gelanggang tenis

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my


TANGKAS... Aksi pemain UPM, Ahmad Najib pada Karnival Sukan Masum 2011 di Kompleks Tenis UPM, Serdang semalam.


PASUKAN pilihan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lebih menyerlah dalam acara tenis pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Masum) 2011.

Pasukan lelaki dan wanita dari kedua-dua universiti tersebut mula menunjukkan penguasaan mereka dalam acara tenis yang mula berlangsung Ahad lalu di Kompleks Tenis Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagi kategori lelaki, UiTM menunjukkan aksi cemerlang apabila mudah menundukkan UniMAP 5-0 dalam Kumpulan A semalam.

Pada aksi pembukaan kelmarin, UiTM juga mudah membenam UPM dengan kemenangan 5-0.

"Saya yakin, bagi kategori lelaki, kami sudah 80 peratus untuk membolot emas," kata pengurus pasukan tenis UiTM, Abdul Nasir Janaro ketika ditemui Kosmo! semalam.

Abdul Nasir optimis UiTM berpeluang cerah muncul juara bersandarkan kelebihan mereka menurunkan beberapa pemain yang pernah beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-14.

"Bagaimanapun, kami harus berwaspada dengan kemampuan UPM dan juga UIAM dalam usaha memburu emas," katanya.

Sementara itu, skuad lelaki UIAM turut meraih dua kemenangan selepas membelasah UPNM 5-0 dan menang 4-1 ke atas UPSI.

Bagi kategori wanita, UiTM mudah menundukkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 3-0 dalam Kumpulan A pada aksi kelmarin.

UIAM pula mengetepikan cabaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kemenangan 2-1 pada saingan Kumpulan B semalam.

Kelmarin, dalam Kumpulan B, Universiti Sains Malaysia (USM) menewaskan UKM 2-1.

Pasukan tuan rumah, UPM turut tidak menghampakan penyokong mereka apabila menewaskan UniMAP 3-0 bagi saingan Kumpulan A semalam.

Dalam saingan Kumpulan C, Universiti Utara Malaysia (UUM) meraih dua kemenangan berturut-turut selepas membenam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kemenangan 2-1.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan