Kosmo Online - Sukan |
Posted: 'Kami tak terlibat'Oleh NASRI JAMALUDIN
PEMAIN kami tidak terlibat dalam kegiatan mengatur keputusan perlawanan. Demikian tegas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam yang yakin bahawa skuad Johor tidak terbabit dengan gejala rasuah meskipun seorang bookie ditahan polis dipercayai terbabit dalam mengendalikan pertaruhan pada perlawanan Piala Malaysia ketika aksi menentang Kedah di Stadium Larkin, Selasa lalu. Naib Presiden 1 PBNJ, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, meskipun terkejut dengan perkara tersebut, beliau yakin skuad Johor bebas daripada gejala negatif itu. Katanya, ini berdasarkan pihaknya sentiasa memantau aktiviti para pemain dan pengurusan yang dilakukan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). "Di peringkat dalaman, kita telah mengambil langkah-langkah awal dalam menangani masalah rasuah termasuk mengadakan ceramah berkaitan rasuah kepada pasukan ini. "Selain itu, kita sering memantau dan mengawal aktiviti serta para pemain tahu karier mereka akan musnah jika terbabit dengan rasuah," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Pulai Perdana, Johor Bahru semalam. Turut hadir jurulatih Johor, Azmi Mohamed dan para pemain skuad berkenaan. Akhbar semalam melaporkan, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun ketika sedang sibuk mengatur pertaruhan membabitkan perlawanan Johor dan Kedah menerusi telefon di tempat duduk utama di stadium berkenaan. Penahanan kira-kira pada pukul 10.50 malam itu dilakukan hasil maklumat dan intipan sepasukan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor. Polis turut merampas dua telefon bimbit dan kertas catatan pertaruhan yang memaparkan jumlah pertaruhan membabitkan kedua-dua pasukan itu. Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya berkata, isu bookie tersebut tidak mengganggu tumpuan skuad Johor pada perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh malam ini. "Walaupun kalah kepada Kedah Selasa lalu, komitmen dan semangat skuad Johor tetap tinggi dan kita akan memberikan aksi terbaik di Perak nanti," katanya. Dalam pada itu, Azmi turut percaya para pemainnya tidak terbabit dengan aktiviti rasuah atau mengatur perlawanan. Jelasnya, pihak pengurusan telah mengambil langkah sepatutnya dalam menangani isu tersebut dan ketika ini semangat skuad Johor tetap tinggi untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini. "Saya lihat komitmen, semangat juang para pemain adalah tinggi dan mereka tidak tertekan untuk menghadapi perlawanan menentang Perak malam esok (hari ini). "Meskipun Perak tanpa lima tonggak utama yang digantung lima perlawanan, kami tetap berhati-hati kerana pemain simpanan yang diturunkan pasti memberikan aksi terbaik agar terus mendapat kepercayaan untuk beraksi," katanya. | |
Posted: Kelantan hormati Johor FCOleh YATIMIN ABDULLAH KARATHU (kanan) mengingatkan para pemainnya agar berhati-hati dengan ancaman Johor FC. MESKIPUN dilabel sebagai pasukan pilihan, juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan tetap merendah diri. Mereka tidak mahu mengambil mudah pertemuan dengan Johor FC dalam aksi kedua peringkat Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed ke-IV, Kota Bharu malam ini. Ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu mahu barisan pemainnya meneruskan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan ketika menumbangkan Sarawak 2-0 dalam aksi pembukaan minggu lalu. "Kejayaan menumbangkan Sarawak dalam perlawanan pembukaan itu merupakan permulaan yang baik buat Kelantan, jadi saya harap kita dapat meraih tiga mata dalam pertemuan malam esok (malam ini). "Walaupun kita pernah menumbangkan mereka dalam saingan Piala FA dan liga lalu, namun saya tidak akan mengambil mudah pertemuan kali ini. "Saya tahu Johor FC merupakan sebuah pasukan yang baik dan sukar untuk dikalahkan," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kota Bharu semalam. Tambahnya, dia yakin Johor FC akan berjuang habis- habisan seterusnya mencipta kejutan untuk menumbangkan skuad The Red Warriors. Karathu berkata, para pemainnya sudah bersiap sedia dan tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan tersebut yang merupakan aksi pertama di gelanggang sendiri. "Kita akan menurunkan barisan terkuat dalam pertemuan ini. Saya berharap para pemain dapat memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki dengan menjaringkan gol bagi memastikan kita meraih kemenangan," ujarnya. Dalam pada itu, jurulatih yang kaya dengan pengala- man itu memberitahu, kemenangan dalam perlawanan ini cukup penting buatnya untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya. "Kemenangan dalam perlawanan malam ini akan mencerahkan peluang buat The Red Warriors mengumpul mata maksimum dan melangkah ke saingan sete- rusnya," ujarnya. | |
Posted: Irfan waspada ancaman PKNSOleh MUSTAPA LAKAWA IRFAN (kiri) mengingatkan para pemainnya agar jangan leka berdepan dengan Selangor PKNS malam ini. KELEBIHAN selaku tuan rumah masih belum mampu memberi kelegaan kepada pengendali Terengganu, Irfan Bakti apabila menanti kunjungan Selangor PKNS pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia malam ini. Sebaliknya Irfan mengakui, pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu pasti menjanjikan kesukaran berdasarkan reputasi lawan selaku juara Liga Premier. Kata Irfan, pengalaman PKNS mendominasi saingan Liga Perdana tidak boleh diperlekehkan, sekalipun skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi pertama Selasa lalu. "Kami tidak boleh leka dengan PKNS kerana mereka hadir sebagai juara Liga Premier. Lagipun, pasukan ini baru sahaja mengalami kekalahan dan saya menjangkakan, mereka pasti bangkit di Kuala Terengganu," jelas Irfan kepada Kosmo! semalam. Tambah jurulatih kelahiran Kelantan ini, kekuatan PKNS sudah pasti terletak di bahagian tengahnya terutama posisi sayap seperti yang dibuktikan ketika menentang Negeri Sembilan sebelum ini. Justeru katanya, kombinasi dan keserasian Joseph Kalang, Resha- fiq Alwi dan Ashaari Shamsuddin di bahagian tengah begitu ditagih dalam misi juara Piala FA itu mengutip tiga mata di hadapan penyokong sendiri. "Satu-satunya berita baik yang kami peroleh ialah kehadiran semula Ismail Faruqi selepas tidak disenaraikan pada pertemuan menentang Sime Darby tempoh hari. "Dengan kehadiran Ismail, ia akan memberi lebih banyak pelu- ang kepada saya untuk menyusun strategi bagi membolehkan gandingan Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi menjaringkan gol," katanya. Pada perlawanan pembukaan Kumpulan B lalu, Terengganu menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila menang mudah 3-0 ke atas pendatang baharu, Sime Darby. Dalam pada itu, Irfan yang memburu kejuaraan sulungnya di pentas Piala Malaysia turut mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Peteh dalam misi merealisasikan hajat persatuan memburu gelaran kedua musim ini. "Kami berjaya menduduki tempat kedua dalam Liga Super, muncul juara Piala FA dan kini, kami bersaing untuk mencari tempat ke pusingan kedua Piala Malaysia. "Besar impian saya untuk melihat Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok (malam ini) dipenuhi penyokong-penyokong Terengganu," ujarnya lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan